Isnin, 27 April 2015

Kuching oh Kuching


Sarawak River
Keindahan menyusuri Sungai Sarawak.

Kuching merupakan salah sebuah bandar yang menarik untuk dikunjungi, yang juga merupakan bandar utama bagi negeri Sarawak. Sebagai jalan masuk utama ke negeri ini, Kuching sudah semestinya menjadi tumpuan utama bagi para pelancong untuk singgah sebelum meneruskan perjalanan mereka ke tempat-tempat lain yang menarik di seluruh Negeri Sarawak.

Pengalaman ringkas berkunjung ke Kuching memberikan sedikit sebanyak gambaran tentang keindahan dan kemajuan Bandar Kuching. Namun begitu terdapat beberapa kekurangan yang seharusnya diberikan tumpuan oleh pihak pentadbir negeri, bagi memastikan bandar istimewa ini sentiasa memberikan para pengunjung kepuasan seperti yang diharapkan ketika berada di sini.

Kepesatan Bandar Kuching pintu masuk ke Sarawak.

Keseluruhan Bandar Kuching sememangnya sudah tersedia prasarana yang lengkap untuk para pelawat mendapat kepuasan ketika melawat ke bandar ini. Sejak sekian lama, Bandar Kuching telah diperlengkapkan dengan pusat-pusat lawatan yang menarik dan kemudahan-kemudahan asas yang lain seperti hotel, pusat penjaja, kemudahan pengangkutan udara, darat dan air, terutama bagi menyeberangi Sungai Sarawak yang merentasi tengah bandar ini.

Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan tempat-tempat pelancongan sudah semestinya, Bandar Sarawak perlu berada di dalam keadaan yang sentiasa bersedia untuk menyediakan pelancong-pelancong yang singgah di sini, satu pengalaman yang menarik samada sebelum meneruskan perjalanan atau sebelum pulang ke tempat masing-masing.

Muzium-muzium di sekitar Bandar Kuching

Komplek Tun Jugah di mana Muzium Pua Kumbu terletak.

Bandar Kuching menyediakan beberapa Muzium menarik untuk dikunjungi, daripada Muzium Negeri sehinggalah kepada Muzium Cina yang diselenggarakan sendiri daripada sumbangan orang ramai. Walaupun Muzium Negeri Sarawak mempunyai bahan pameran yang agak unik dan menarik, namun ianya agak hambar ketika saya mengunjunginya. Pada masa yang sama, dengan penutupan bangunan muzium-muzium lama, mengurangkan lagi tarikan yang ada di sini.

Satu lagi keunikan muzium di Bandar Kuching yang cuba dikunjungi adalah, Muzium Phua Kumbu yang terletak di Komplek Tun Jugah di Jalan Tunku Abdul Rahman. Sayang sekali muzium ini kurang diketahui oleh penduduk bandar ini sendiri. Manakala ia hanya dibuka pada hari biasa (Isnin-Jumaat) sahaja - agak mengecewakan bagi saya yang berkunjung pada hari minggu.

Civic Centre

Keindahan senibina Civic Center, hanya menjadi tatapan sahaja.

Bangunan yang memiliki senibina yang menarik ini direka bagi menyediakan ruang pandang 360° Bandar Kuching dari atas, sama seperti Menara Kuala Lumpur. Ia juga menyediakan pusat pameran Planetarium antara yang terawal di negara kita. Ia juga mengalami nasib yang sama iaitu, hanyalah tinggal kenangan. Pusat yang bukan sahaja menyediakan bahan pendidikan dan tarikan pelancongan ini, tidak lagi diberikan perhatian seperti mana yang sepatutnya.

Mujur masih terdapat beberapa tarikan yang masih bertahan dan mungkin tidak seceria seperti mana yang sepatutnya, seperti Kuching Water Front, Taman Orkid, My Village Baruk Restaurant, River Cruise, bangunan-bangunan lama dan mungkin beberapa tarikan lagi.

Amat dirasai pengalaman berjalan di hujung minggu di Kuching Water Front, tidak semeriah seperti di mana-mana pusat tumpuan pelancongan yang lain. Ini memberikan impak yang amat tinggi kepada para peniaga mahupun pengusaha-pengusaha lain yang mengharapkan pengunjung dari dalam dan luar negara.


Walaubagaimanapun kunjungan ke Kuching masih memberikan serba sedikit pengalaman menarik kerana banyak memberikan pengalaman baru. Adalah lebih baik lagi sekiranya, semua tarikan yang sedia ada dapat dikekalkan dan diperbaiki bagi memastikan para pengunjung merasa puas dengan kunjungan mereka disamping serba sedikit menjana pendapatan peniaga-peniaga di sekitar Bandar Kuching.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog