Kumbang Tahi memindahkan tahi ke kawasan yang sesuai untuk dijadikan sarang. |
Dung Beetle atau juga dikenali dengan nama “Kumbang Tahi” mungkin kurang
menarik bagi anda, namun setelah anda membaca artikel kali ini anda mungkin
tahu bahawa kumbang ini amat istimewa dan penting sekali dalam ekosistem. Kumbang
tahi bukan sahaja berbentuk kurang menarik dan berwarna gelap, malah
pekerjaannya dalam menjadikan najis haiwan lain sebagai makanan mungkin agak
menggelikan.
Sebenarnya kumbang tahi merupakan serangga yang amat istimewa malah penting
sekali dalam ekosistem. Selain daripada membersihkan najis haiwan lain ia
mengelakkan merebaknya wabak penyakit dengan pembiakan serangga dan haiwan penyebar
penyakit seperti lalat.
Dung beetle - Onitis aygulus |
Dung beetle - Onthophagus nigriventris |
Sebahagian kumbang-kumbang hanya memakan najis haiwan-haiwan tertentu
sahaja manakala ada juga yang memakan pelbagai jenis. Oleh kerana najis haiwan
herbivor mengandungi kandungan makanan yang tidak dihadamkan oleh haiwan-haiwan
ini, maka ia menjadi sumber makanan yang sesuai bagi kumbang tahi. Namun begitu
kajian daripada University of Nebraska mencadangkan kumbang ini lebih tertarik
kepada najis haiwan omnivor kerana mengandungi nutrient dan juga bauan yang
lebih mudah untuk dikesan.
Walaupun kebanyakan kumbang tahi menggulingkan najis ke lokasi yang sesuai
untuk ditanam dan dijadikan sarang. Namun banyak spesies lain yang mempunyai
kaedah unik masing-masing untuk menjadikannya sebagai makanan dan untuk tujuan
pembiakan. Ada yang akan tinggal berdekatan dengan kawasan najis tersebut
dijumpai atau terus tinggal di dalam najis tersebut.
Kumbang ini amat penting, di negara-negara yang mempunyai industri penternakan haiwan seperti lembu dan kambing, memerlukan kumbang ini untuk membantu
membersihkan najis haiwan ternakan yang dihasilkan. American Institute of Biological Sciences melaporkan kumbang ini telah membantu industri penternakan
lembu di United States sebanyak USD380 juta setahun dalam pembersihan najis
haiwan ternakan yang berada di atas tanah.
Perbezaan cara kehidupan spesies-spesies kumbang tahi |
Malah penggunaan kumbang tahi juga digunakan di negara Australia bagi
membantu negara tersebut menangani masalah yang sama dalam industri penternakan
lembu di negara itu. Melalui pengenalan 23 spesies kumbang dari Afrika Selatan
dan Eropah, ia memberikan hasil yang amat memberangsangkan dalam menjaga
kebersihan kawasan ragut dan mengurangkan pembiakan serangga perosak seperti
lalat.
Banyak lagi perkara menarik mengenai kumbang ini yang perlu anda ketahui.
Mungkin kehidupan serangga ini sedikit menggelikan anda, namun kepentingan
serangga unik ini kepada alam amatlah besar. Tanpa kumbang ini tentu kita akan
berhadapan dengan masalah kebersihan yang lebih serius.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan