Halaman

Khamis, 5 Mac 2015

Mengenali Hutan Malaysia di FRIM

Keruing
Keunikan pokok kapur yang dapat dilihat daripada bawah pokok ini. Gambar: myrokan.com

Bagi warga kota yang tinggal di Kuala Lumpur dan kawasan yang berdekatan mungkin akan berasa sedikit keberatan untuk menjelajah keluar kota bagi melawat kawasan hutan hujan di negara kita. Kawasan-kawasan menarik di luar bandar seperti Taman Negara, Gunung Kinabalu, kawasan-kawasan air terjun di luar bandar mungkin agak sukar dilawati bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur. Namun begitu, bagi mendapat serba sedikit pengalaman sedemikian warga kota bolehlah berkunjung ke FRIM (Forest Reaearch Institute Malaysia) yang terletak tidak jauh dari ibu kota.

Melalui lawatan anda ke FRIM anda bukan sahaja dapat merasai suasana berada di kawasan hutan Malaysia, malah di sini anda boleh merasa pelbagai keadaan yang berbeza daripada segi tumbuh-tumbuhannya mahupun suasana seperti kawasan jeram, bukit-bukau, paya dan sebagainya. Ini kerana kawasan di sini dirancang bukan sahaja untuk mendidik para pengunjung malah juga untuk tujuan peyelidikan. Sekiranya anda menjejakkan kaki dan menjelajahi kawasan ini, anda telahpun menjelajah sebahagian besar keadaan kawasan hutan di negara kita.

Kawasan yang diliputi oleh FRIM adalah seluas 545-ha dengan kawasan yang meliputi pelbagai keadaan muka bumi. Tujuan asalnya untuk menjalankan kajian yang dapat memberikan manfaat dalam penggunaan mahupun pemuliharaan sumber hutan. Dengan adanya pusat kajian ini, sumber hutan negara kita dapat diselenggarakan dengan lebih efektif dan sistematik. Ini dapat mengelakkan kepupusan sesetengah spesis tumbuhan malah dapat memanfaatkannya pula sekiranya sesuatu tumbuhan tersebut boleh digunakan secara komersil.

Kawasan FRIM yang luas ini dibahagikan kepada beberapa blok untuk memudahkan para pengunjung membuat tinjauan semasa berkunjung ke sini. Terdapat banyak tarikan yang boleh memberikan sedikit sebanyak pengetahuan baru kepada para pengunjung. Kawasan-kawasan ini boleh dilihat di dalam  peta kawasan yang terdapat di tempat-tempat utama lawatan. Sekiranya pengunjung perlu mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mahupun bantuan, maka pengunjung bolehlah melawat ke FRIM One Stop Centre yang boleh memberikan bantuan yang diperlukan.

Tarikan-tarikan Utama;

Terdapat banyak tarikan yang disediakan untuk para pengunjung yang berkunjung ke sini. Selain daripada tarikan dari segi tumbuh-tumbuhan mahupun kawasan-kawasan riadah yang disediakan. Ia juga sering menjadi kawasan yang dijadikan sebagai laluan untuk berjogging mahupun aktiviti berbasikal pada hujung minggu oleh ramai warga kota.

Canopy Walkway
Canopy walkway yang perlu dikunjungi.


Canopy Walkway


Canopy Walkway merupakan antara tarikan utama semenjak ianya dibina bagi tujuan kajian flora dan fauna (pada ketinggian yang tidak dapat dilihat dari bawah). Ianya dibina pada tahun 1992 dengan kepanjangan binaan sepanjang 150 meter.

Terletak di atas kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong pada ketinggian kira-kira 300 meter dari aras laut ia juga turut menyediakan panorama menarik kawasan berhampiran termasuk pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur. Melalui titian ini, anda dapat melihat keadaan hidupan yang berada di atas pokok selain daripada debaran melalui titian itu sendiri.

Untuk melalui titian ini, anda perlu mendapatkan tiket daripada FRIM One Stop Centre, kerana ianya hanya dibuka untuk waktu-waktu tertentu sahaja. Bagi tujuan keselamatan pengunjung adalah penting bagi mematuhi setiap peraturan yang diberikan oleh pihak pengurusan.

Keadaan dari atas 'Canopy Walkway'.


Laluan-laun Khusus


Terdapat beberapa laluan khusus yang menarik untuk dilawati para pengunjung seperti ‘Keruing Trail’, ‘Salleh Nature Trail’, ‘Engkabang Trail’, ‘Rover Track’, ‘Sebasah Trail’ dan ‘Razak Walk’. Setiap laluan-laluan ini mempunyai keunikan tersendiri yang mungkin menarik minat pengunjung-pengunjung tertentu. Manakala nama laluan mungkin diberikan sempena nama tumbuh-tumbuhan tertentu mahupun sempena nama tokoh-tokoh yang berkaitan dengan Insitusi FRIM ini.

Bagi saya sendiri laluan yang menarik ingin dilawati semasa melawati FRIM adalah ‘Keruing Trail’ yang dinamakan sempena pokok dari family: Dipterocarpaceae yang juga dikenali sebagai pokok kapur. Keunikan pokok ini adalah daunnya yang tidak menyentuh antara pokok-pokok lain dapat dilihat dengan jelas daripada bawah. Selain itu juga pokok kapur telah digunakan oleh masyarakat setempat sejak dahulu lagi bagi menghasilkan bahan bauan. Bagi melihat pokok ini dengan lebih jelas, satu-satunya tempat yang paling sesuai adalah di FRIM.

Keunikan alam di FRIM.

Banyak lagi perkara yang anda perlu tahu mengenai taman yang unik ini. Bagi mengetahuinya dengan lebih lanjut anda bolehlah melawati laman web FRIM untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci. Manakala pengalaman yang menarik hanya akan anda alami apabila berkunjung ke sini nanti. Untuk sebarang maklumat atau tempahan untuk ‘Canopy Walk’ pula anda bolehlah membuat tempahan awal dengan menghubungi ‘FRIM One Stop Centre’ dengan nombor seperti yang tertera di bawah.

FRIM One Stop Centre
Tel: 03-62797592 / 03-62797649
Fax: 03-62804619

Email: frim_enquiry@frim.gov.my


Free Download



4 ulasan:

  1. good content keep it up

    BalasPadam
  2. Kapur bukan keruing.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih, terima kasih kerana memberi teguran. Saya ingin menerangkan yang ianya adalah dari family yang sama iaitu (Dipterocarpaceae).


      Teguran membina seperti amat dialu-alukan.

      Padam
  3. Tuan.saya ingin mengenali spesis pokok pokok hutan di malaysia.bagaimana untuk saya mendapat info seperti gambaran daun,isi kayu,ciri ciri batang dan sebagainya

    BalasPadam