Sabtu, 14 Mac 2015

Empangan Hidroelektrik Terbesar Three Gorges Dam di China


Three Gorges Dam
Pemandangan Empangan Three Gorges Dam dari udara.

Tenaga elektrik merupakan sumber tenaga terpenting untuk pembangunan sesebuah negara. Usaha dalam penjanaan tenaga elektrik dibangunkan dalam pelbagai usaha bagi memastikan ia dapat dihasilkan dengan lebih efisyen dari segi kos mahupun kesannya kepada alam sekitar.

Penghasilan tenaga elektrik melalui empangan hidro merupakan antara kaedah yang paling menjimatkan. Berbanding penghasilan tenaga menggunakan arang batu ataupun pembakaran petroleum, ia tidak membawa kepada pencemaran udara. Namun begitu ia mungkin membawa kesan kepada kemusnahan kawasan takungan yang luas dan juga mendapan kepada sungai.

Pembinaan Empangan Three Gorges Dam yang dibina di Hubei, China merupakan empangan hidro terbesar dari segi kapasiti penjanaan tenaganya yang mampu mencapai sehingga 22,500 MW, manakala Empangan Itaipu di Brazil/Paraguay pula mampu menjana sehingga 14,000 MW yang siap dibina pada tahun 2003.

Empangan yang dibina di lembangan Sungai Yangtze yang juga merupakan sungai terbesar merentasi China mengambil masa lebih 10 tahun untuk dibina (Desember 14, 1994 – 2008 : tarikh siap sebenar 2012) dan menelan belanja sekitar USD26 billion. Selain daripada membekalkan tenaga elektrik ia juga bertujuan untuk mengawal banjir selain daripada menyediakan laluan kapal yang melalui sungai terbesar di China ini.

Three Gorges Dam constrution
Kerja-kerja pembinaan empangan sedang dijalankan.

Antara keunikan empangan terbesar ini adalah laluan kekunci air untuk laluan kapal perdagangan dari Shanghai menuju ke Chongqing. Pembinaan laluan kapal ini bertujuan membolehkan jumlah pengangkutan kapal di laluan tersebut dipertingkatkan daripada 10 juta tan ke 100 juta tan setahun. Hasilnya bukan sahaja kapasiti laluan kapal yang dapat dipertingkatkan malah kos pengangkutan kapal juga dapat dikurangkan sebanyak 25% yang pastinya dapat mempertingkatkan lagi kadar perdagangan di kawasan tersebut.

Sememangnya China memerlukan jumlah penghasilan tenaga yang amat tinggi. Ini kerana jumlah permintaan tenaga yang semakin meninggi tidak dapat menampung keupayaan penghasilan tenaga yang mampu dihasilkan daripada empangan-empangan hidro sedia ada di serata China. China masih lagi bergantung kepada penghasilkan tenaga menggunakan bahanapi fosil iaitu arang batu dan petroleum pada kadar yang jauh lebih tinggi berbanding tenaga yang dihasilkan oleh empangan hidroelektrik ini.

Locks
Kunci air yang unik untuk laluan kapal.

Ianya memerlukan 366 gram arang batu untuk menghasilkan 1 kWh tenaga elektrik melalui kajian yang dijalankan pada tahun 2006. Pada penghasilan penuh Empangan Three Gorges dapat mengurangkan penggunaan arang batu sebanyak 31 juta tan setahun dan mengelakkan penghasilan 100 juta tan pembebasan gas rumah hijau, jutaan tan habuk, satu juta tan sulfur dioksida, 370,000 nitrik oksida, 10,000 tan karbon monoksida dan sejumlah besar merkuri. Selain daripada megelakkan kerja-kerja perlombongan, pembersihan dan pengangkutan arang batu dari bahagian Utara China.

Walaupun ia membawa kesan yang baik kepada penghasilan tenaga dan ekonomi kepada China. Empangan ini juga turut menghasilkan pelbagai kesan kepada alam yang turut mendapat tentangan daripada dalam dan luar negara. Ia bukan sahaja menenggelamkan sejumlah besar kawasan penempatan biasa, malah kawasan pertanian dan 1,300 kawasan arkeologi di mana sebahagian besarnya tidak dapat dipindahkan.

flooded areas
Kawasan yang dibanjiri oleh empangan.

Walaupun pembinaan empangan terbesar dunia ini mempunyai penghasilan tenaga yang amat diperlukan oleh China, ia terpaksa mengorbankan banyak perkara yang tidak ternilai harganya. Apa yang menarik bagi peminat dunia kejuruteraan pembinaan empangan gergasi ini memberikan satu inspirasi baru tentang pembinaan berskala gergasi. Namun begitu seperti yang kita ketahui China masih memerlukan kapasiti penghasilan tenaga yang jauh daripada mencukupi.


Banyak lagi perkara yang perlu anda ketahui mengenai empangan terbesar ini  yang perlu anda terokai sendiri. Adalah diharap ianya sedikit sebanyak menarik minat anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang teknologi penghasilan tenaga, pembinaan, ekonomi dan sebagainya. Adalah diharap di dalam artikel-artikel yang akan datang lebih banyak teknologi kejuruteraan yang akan dapat dikongsikan untuk tatapan para pembaca. 


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog