Khamis, 31 Disember 2015

Kemahiran Asas Mengenal Awan

Awan memberikan banyak petunjuk berkenaan cuaca.

Awan merupakan petanda awal mengenai keadaan cuaca samada cerah, mendung, hujan, dan ribut yang akan berlaku. Mengenal pasti awan merupakan perkara yang paling asas dalam meteorology dan sebagai ‘survival skills’ yang perlu ada bagi setiap orang. Mengenal pasti awan bukanlah satu perkara yang sukar kerana hanya memerlukan sedikit penelitian.

Awan terbentuk daripada titisan-titisan wap air yang tersejat daripada permukaan bumi (laut, sungai, tasik, dan seluruh permukaan bumi). Wap air dibawa tinggi ke atas atmosfera disebabkan oleh beberapa faktor iaitu ‘convective’, ‘orographic’ dan juga ‘frontal lifting’. Ia adalah proses yang berlaku dalam skala yang amat besar – jadi anda perlu melihat semua faktor tersebut dengan lebih dekat untuk memahaminya dengan lebih lanjut.

Wap air yang terkandung di dalam udara memerlukan partikel yang bertindak sebagai ‘condensation nuclei ’yang boleh terdiri daripada habuk, dan partikel-partikel mikroskopik daripada garam ataupun kotoran. Apabila wap air ini mencapai ketepuan, awan akan terbentuk dan boleh dilihat. Semua awan terbentuk di dalam lapisan ‘troposphere’, iaitu lapisan yang paling bawah di dalam atmosfera bumi. Hanya sebahagian daripada wap air ini dikatakan melepasi sehingga ke lapisan stratosphere dan mesosfera yag adakalanya membentuk awan nipis sekiranya suhu berkeadaan sejuk.


Manusia memberikan nama-nama untuk jenis-jenis awan yang berlainan.

Bentuk awan 'lenticular' yang amat cantik

Pengkelasan awan dimulakan oleh Luke Howard, iaitu seorang ‘pharmacist’ dan merupakan ‘meteorologist’ amatur pada tahun 1803. Beliau menghasilkan buku yang bertajuk “The Modifications of Clouds”, menamakan beberapa jenis awan melalui pemerhatiannya. Pengkelasan dan ‘terms’ yang digunakan juga adalah dipersetujui oleh komuniti meteorologi yang digunakan sehingga hari ini.

Pengkelasan daripada Luke Horward ini kemudiannya dilengkapkan lagi oleh  World Meteorological Organization (WMO) yang kemudiannya membahagikan awan-awan tersebut kepada 10 kelas utama yang juga dipanggil ‘genera’. Pengkelasan utama awan-awan ini adalah mengikut ketinggian awan-awan tersebut boleh didapati iaitu:- cloud low (CL); awan rendah , cloud medium (CM); awan pertengahan  and cloud high (CH); awan tinggi.


Ketinggian Awan (ft)
Jenis Awan


High Clouds (CH) – awan tinggi



Biasanya berada pada ketinggian 20,000 kaki dan ke atas.
* Cirrus
* Cirrocumulus
* Cirrostratus


Medium Clouds (CM) – awan pertengahan



Kebiasaannya berada di antara ketinggian 6,500 dan 20,000 kaki.
* Altocumulus
* Altostratus
* Nimbostratus


Low Clouds (CL) – awan rendah



Kebiasaannya terdapat pada ketinggian 6,500 kaki dan ke bawah.
* Stratocumulus
* Stratus
* Cumulus
* Cumulonimbus

Sebahagian dari jenis awan cirrus - cirrus spissatus undulatus.

Contoh lain awan cirrus.

Secara ringkasnya nama-nama awan dikelaskan seperti beriut:

Stratus/strato – rata/berlapis dan lebih sekata

Cumuls/cumulo – berketul/membonjol, seperti bunga kobis

Cirrus/cirro – berada tinggi/nipis

Alto – aras pertengahan

Nimbus/nimbo – awan yang membawa hujan

Kehadiran awan boleh menandakan tentang keadaan cuaca yang akan berlaku. Namun kemahiran ini perlulah dipelajari dengan teliti untuk mendapatkan ketepatan yang lebih baik kerana ia bersifat ramalan seperti yang sering diperingatkan kepada kita iaitu “mendung tidak bererti akan hujan”.


Stratocumulus cumulogenitus.

Awan cumulonimbus yang mengandungi hujan.

Sekiranya anda berminat untuk mempellajari lebih mendalam mengenai awan anda bolehlah memuat turun panduan untuk mengenal awan ini dari Met Office, UK di sini. Di dalam panduan tersebut terdapat senarai awan-awan yang mudah dikesan dan mengenali sifat-sifanya degan lebih tepat.


Aktiviti mengenal awan adalah antara aktiviti yang menarik untuk dilakukan bersama rakan-rakan dan keluarga. Ia juga merupakan kemahiran asas bagi para nelayan, petani, peminat sukan aktiviti luar dan sebagainya.




Free Download



Rabu, 30 Disember 2015

Mungkinkah Ini Jawapan Rahsia Kekal Muda Selamanya?

Hydra hidupan yang akan terus hidup tanpa kesan penuaan.

Rahsia keremajaan merupakan impian manusia sejak dahulu lagi baik lelaki mahupun peremuan. Dalam mencapai tujuan ini palbagai kaedah yang dilakukan termasuklah dengan penggunaan pelbagai petua, barangan kosmetik, amalan pemakanan, senaman dan juga pembedahan kosmetik. Usaha mencari jawapan untuk kekal muda dan sihat selamanya sentiasa menjadi buruan tanpa henti manusia.

Setakat ini jawapan sebenar masih belum ditemui tetapi beberapa kajian hampir menunjukkan beberapa hidupan mungkin boleh memberikan panduan mengenai rahsia tentang bagaimana untuk mengekalkan keremajaan semulajadi mereka. Daripada kajian ini, ia boleh memberikan manusia panduan bagaimana keremajaan tersebut boleh dikekalkan. Antara lain tujuan mengekalkan keremajaan adalah untuk memastikan tahap kesihatan yang lebih baik selain hanya mengekalkan rupa dan fizikal seseorang.

Manusia sejak dahulu lagi mengkaji alam sekeliling untuk mempelajari teknik-teknik ini dengan melihat jangka hayat hidupan yang mampu hidup paling lama antaranya termasuklah;

Rougheye rockfish (Sebastes aleutianus) – 205 tahun

Olm (Proteus anguinus) – 102 tahun

Painted turtle (Chrysemys picta) – 61 tahun

Blanding's turtle (Emydoidea blandingii) – 77 tahun

Eastern box turtle (Terrapene carolina) – 138 tahun

Red sea urchin (Strongylocentrotus franciscanus) – 200 tahun

Ocean quahog clam (Arctica islandica) – 507 tahun

Great Basin bristlecone pine (Pinus longaeva) – 4,713 tahun (tumbuhan)

Namun dengan kaedah saintifik moden, pemahaman mengenai keremajaan ini, bukanlah semata-mata berdasarkan jangka hayat sahaja kerana kesan penuaan tetap berlaku kepada hidupan yang mempunyai umur yang panjang. Kesan keremajaan ini dapat dikekalkan apabila sesuatu hidupan dapat mengekalkan kadar pertumbuhan sel yang sama di sepanjang hayatnya. Ini kerana sel-sel tidak akan mampu membahagi setelah mencapai tahap yang dikenali sebagai “Hayflick limit”, disebabkan kerosakan pada struktur DNA atau pemendekan “telomeres”. Jadi kajian terbaru menumpukan kepada beberapa hidupan yang dijangkakan berpotensi.

Tardigrades


Dari segi ketahanan, tiada yang menandingi tardigrades.

Tardigrades atau “water bears” telah diketahui sebagai hidupan yang paling tahan dengan pelbagai keadaan yang extreme seperti suhu, radiasi, tekanan, kekeringan malah keadaan vakum di angkasa. Hidupan ini mampu berada dalam keadaan pasif  (Cryptobiosis) sehingga menunggu keadaan kembali sesuai untuk ia kembali aktif.

Namun begitu untuk membantunya hidup lama tardigrades perlu berada dalam keadaan “cryptobiotic”. Jangka hayat hidupan ini adalah kurang setahun sekiranya ia tidak berada dalam keadaan tersebut. Jangka hayat biasa tardigrades yang dapat menukar keadaan antara aktif dan “cryptobiotic” adalah sehingga 60 tahun – namun kebiasaannya adalah 10 tahun. Bagi rekod yang diketahui adalah specimen yang disimpan di muzium selama 120 tahun dalam keadaan kering dan mengandungi tardigrades; apabila dilembabkan, sebahagian daripada tardigrades ini kembali hidup semula, namun kemudiannya mati beberapa minit kemudian.

Bakteria dan Yis


Yeast boleh membiak secara symmetrik dan menghasilkan sel yang baru.

Proses pembahagian sel akan menjadi semakin berkurangan bagi hidupan unisel (bakteria dan yis). Perkara ini berlaku kepada bakteria dan yis yang membahagi secara asimmetrik (asymmetrically), namun sebaliknya bagi bakteria dan yis yang membahagi secara simmetrik (symmetrically) pula akan kekal dalam keadaan yang sama dalam persekitaran yang ideal. Pembahagian sel secara ‘symmetrically’ ini akan menghasilkan dua sel baharu yang mengembalikan semula ia kepada keadaan asalnya. Bagi pembahagian secara ‘asymmetrically’ pula, satu sel baru terbentuk daripada tunas dari sel asal dan sel akan menua dan mengakibatkan ia mati.

Hydra


Hydra akan terus menghasilkan sel-sel baru dan kekal dalam keadaan yang sama.

Hydra merupakan bahan kajian yang paling penting dalam subjek ini. Ini kerana hydra mempunyai sel-sel yang sentiasa membahagi dan tidak mengalami penuaan sel (senescence) yang menepati ciri-ciri keremajaan yang dimaksudkan. Hydra mengambil masa antara 5 – 10 hari untuk mencapai usia kematangannya, namun dalam kajian yang dijalankan selama 4 tahun, hydra tidak menunjukkan kesan-kesan penuaan.

Kajian susulan dilakukan sekali lagi untuk mendapatkan hasil yang lebih tepat oleh Daniel Martínez, seorang biologist di Panama College untuk tempoh yang lebih lama iaitu 8 tahun. Kali ini kajian bukan sahaja dilakukan untuk tempoh yang lebih lama, malah dalam jumlah yang lebih banyak iaitu 2,256 hydra. Walaupun terdapat hydra yang mati, namun ia tidak menunjukkan kesan-kesan penuaan. Kadar kematian ini pula adalah kecil iaitu setiap satu daripada 167 hydra bagi setahun. Kematian ini adalah berpunca daripada persekitaran dan bukan disebabkan kesan fisiologi hydra tersbut.

Sehubungan itu hidupan ini memberikan bukti yang kukuh mengenai kebolehannya mengekalkan ciri-ciri keremajaan untuk rahsia hidup yang kekal dalam keadaan yang sesuai.

Obor-obor (jellyfish)


Turritopsis dohrnii, mempunyai kitar hidup unik.

Sejenis obor-obor yang dikenali sebagai Turritopsis dohrnii, yang hanya berukuran 5 mm (0.2 in) yang menggunakan kaedah transdifferentiation untuk mengembalikan ia semula ke keadaan asalnya. Keadaan ini akan terus berulang bagi obor-obor ini dan menjadikan ia kekal hidup selamanya. Hidupan yang berasal dari Caribbean ini kini tersebar ke bahagian-bahagian lain di dunia.

Lobster


Lobster, mempunyai kelebihan unik.

Lobster juga dikatakan mempunyai kadar regenerasi yang kekal di sepanjang hayatnya dan lobster menjadi semakin subur mengikut usia. Namun ini tidak cukup untuk menjadikan lobster sebagai hidupan yang kekal dalam erti kata biologi dan lobster juga mempunyai jangka hayat tertentu.

Namun lobster mempunyai kelebihan dengan ‘telomerase’ iaitu enzim yang memperbaiki struktur DNA di hujung kromosom. Telomerase adalah perkara biasa bagi hidupan ‘vertabrate’ di peringkat embrio namun ia hilang apabila mencapai usia dewasa. Bagi lobster pula ‘telomerase’ ini terus kekal di sepanjang usianya. Pusingan hidup haiwan istimewa ini memerlukan ia untuk terus melakukan pertukaran kulit (moulting) dan lobster dewasa dikatakan akan berhenti untuk menukar kulitnya – kerana ia satu proses yang memerlukan banyak tenaga. Tanpa proses penukaran kulit ini, kulit lamanya akan menjadi rosak, dijangkiti, mengelupas dan boleh mengakibatkan ia mati. Antara spesis lobster iaitu ‘European lobster’ dikatakan mempunyai umur di antara 31 tahun bagi jantan dan 54 tahun bagi lobster betina.

Planarian flatworms


Polycelis felina - dari jenis planarian flatworms.

Terdapat dua jenis ‘Planarian faltworms’ iaitu yang membiak secara seks dan juga aseks. Kajian ke atas genus ‘Schmidtea mediterranea’, mencadangakan spesis hidupan ini mampu memperbaiki semula bahagian-bahagiannya yang rosak. Manakala dari spesis yang membiak secara aseks pula didapati menunjukkan kadar telomerase yang berterusan untuk membantu perkembangan stem sell pada usia dewasa. Sebenarnya kedua-dua spesis ini menunjukkan kesan penuaan dengan kadar pengurangan telomerase. Sehubungan itu kadar usia pada spesis yang membiak secara seks boleh menjangkau sehingga 3 tahun, sebaliknya bagi spesis yang membiak secara aseks pula mampu mencapai usia sehingga 15 tahun.

Bagi kesemua spesis hidupan di atas, hydra merupakan satu-satunya hidupan yang dikatakan mempunyai ciri-ciri ‘immortal’ seperti yang diinginkan. Ia dikatakan akan terus hidup selagi mempunyai persekitaran yang sesuai tanpa mengalami penuaan (penurunan kadar regenerasi). Penemuan ini bagaimanapun perlu mencari bagaimana ianya boleh dipindahkan kepada hidupan lain, tentunya manusia.


Jadi begitulah bagaimana manusia mempelajari dan mendapat kebaikan daripada pemerhatian alam sekeliling. Adakalanya penemuan tersebut ditemui daripada hidupan yang amat kecil yang mungkin sukar untuk dikesan tanpa pengamatan yang teliti. Walaupun manusia tidak semestinya boleh hidup selamanya, adalah penting bagi mengekalkan kesihatan dan kesan penuaan dapat dielakkan. Semoga berjaya.



Free Download



Selasa, 29 Disember 2015

Arapaima Gergasi Air Tawar

Arapaima, antara spesis gergasi air tawar yang terkenal.

Arapaiman bukan sahaja ikan yang mempunyai saiz yang amat besar, malah rupa bentuk dan juga warna yang amat cantik. Ikan gergasi air tawar ini dikenali sebagai “pirarucu” atau “paiche” oleh penduduk tempatan mempunyai nama saintifik ‘Arapaima gigas’ – sebagi salah satu spesis daripada beberapa spesis di dalam genus Arapaima. Namanya ‘pirarucu’ adalah bermaksud “pira”, iaitu ikan dan “urucum” yang bermaksud merah. Ikan ini mempunyai rupa dan warna yang amat menarik dan ada yang mengelarnya sebagai ‘ikan naga’.

Ikan-ikan arapaima boleh menjangkau ukuran sehingga 3 m (9.8 ft) dan berat sehingga 200 kilogram. Ia juga sering menjadi ikan hiasan bagi penggemar-penggemar ikan hiasan yang berkemampuan untuk memelihara spesis gergasi ini. Namun ia boleh bertukar menjadi spesis invasif sekiranya dilepaskan ke kawasan yang bukan merupakan habitat asal mereka. Kini ikan-ikan arapaima bersaiz besar adalah sukar untuk didapati di habitat asal mereka oleh kerana penangkapan berlebihan, kehilangan habitat dan sebagainya.

Ikan arapaima ini terdiri dari beberapa spesis berbanding pada asalnya ia dianggap hanya satu spesis sahaja. Spesis-spesis tersebut adalah;

  • Arapaima arapaima
  • Arapaima agassizii
  • Arapaima gigas
  • Arapaima leptosoma
  • Arapaima mapae


Spesis-spesis ini bertaburan di sepanjang lembangan Amazon dan jarang sekali melakukan migrasi ke bahagian-bahagian lain menyebabkan para pengkaji perlu melakukan pencarian ke kawasan spesifik mereka. Jadi kebarangkalian terdapat spesis lain adalah tinggi.

Penduduk tempatan menangkap ikan arapaima.

Warna sisik ikan arapaima yang menarik.

Merupakan antara ikan yang diminati untuk dipelihara.

Ikan-ikan arapaima akan mula membiak semasa musim perubahan dari air cetek dan sebelum musim banjir bermula kebiasaannya ia adalah sekitar May hinggalah ke August. Sarangnya akan dibina dengan keluasan 50 cm (20 in) lebar dan 15 cm (5.9 in) dalam di dasar yang berlumpur. Anak-anak ikan akan menetas apabila air mula naik dengan jumlah makanan yang lebih banyak.

Salah satu lagi ciri-ciri unik ikan arapaima adalah, ia menjaga anak-anaknya di dalam mulut ikan jantan seperti juga beberapa spesis ikan yang lain, antaranya adalah arowana (Osteoglossidae) dan juga ikan haruan (Channa striata). Manakala pada masa yang sama, ikan betina akan berada berdekatan dan mengawasi bahaya di persekitaran.

Memancing arapaima aktiviti yang diminati oleh sebahagian orang.

Arapaima di Thailand.

Anak-anak arapaima berenang dalam kumpulan.

Gambar tengkorak kepala ikan arapaima.

Ikan arapaima diburu secara berlebihan oleh manusia yang menyebabkan ianya hampir pupus. Walaupun ikan ini kemudiannya tersebar ke beberapa kawasan di serata dunia termasuk Malaysia dan Thailand, namun populasinya adalah semakin berkurangan di habitat asalnya. Gaya hidupnya yang kurang difahami, menyebabkan ia dengan mudah mencapai kepupusan sekiranya langkah-langkah pemeliharaan tidak diambil.


Walaupun ikan arapaima adalah antara gergasi air tawar, ia tidak disenaraikan sebagai ikan air tawar terbesar. Seperti yang saya katakan dalam artikel yang lepas, kita akan melihat beberapa spesis gergasi air tawar lagi untuk sama-sama menilai, spesis manakah sebenarnya yang merupakan ‘ikan air tawar terbesar’.








Free Download



Isnin, 28 Disember 2015

Kefahaman Mengenai Peralatan Tanah

Barangan tanah pada asalnya hanyalah berbentuk seperi ini.

Peralatan tanah masih lagi memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia sehingga ke hari ini. Peralatan tanah merujuk kepada peralatan yang diperbuat daripada tanah liat yang dikenali sebagai “Earthenware”, boleh menghasilkan pelbagai barangan keperluan seharian manusia. Semenjak ia mula diperkenalkan, manusia terus memperbaiki kualiti barangan tanah ini sehinggalah hari ini.

Peralatan tanah secara kasarnya boleh dibahagiakan kepada 3 kumpulan utama iaitu "earthenware," "stoneware," dan "porcelain". Barangan ini terhasil daripada bahan tanah liat yang digunakan dan juga kaedah penghasilan (teknik pembakaran pada suhu yang berbeza). Barangan siap setelah pembakaran akan menghasilkan kadar porositi yang berbeza, seterusnya menentukan pula barangan yang susuai untuk dihasilkan dengan teknik tersebut. Kadar porositi ini diukur dengan menimbang berat barangan siap ketika kering. Ia kemudiannya direbus di dalam air selama 2 jam. Setelah itu air berlebihan akan dikeringkan menggunakan tuala sebelum ianya ditimbang semula. Pertambahan berat adalah pertambahan air yang meresap ke dalam peralatan tersebut.

Peratus pertambahan air dapat diukur dengan:

(Berat setelah direbus – berat kering)/
Dibahagi dengan berat kering.


Penggunaan 'porcelain' di Eropah, lebih kepada barangan perhiasan.


Pasu bunga merupakan barangan 'earthenware' paling mudah.
'Stoneware' pula menghasilkan barangan keperluan yang lebih praktikal.

Barangan “Earthenware”, merupakan barangan asas yang dihasilkan dengan teknik yang paling mudah, kebiasaanya pada suhu pembakaran paling rendah. Tanah liat yang digunakan juga tidak memerlukan teknik pengasingan benda asing yang ketat. Barangan pada kelas ini mempunyai porositi yang paling tinggi sehingga 10 hingga 15 peratus seperti pasu bunga, batu-bata, tiles dan barangan yang tidak menyimpan air untuk tempoh yang lama. Bahan asing di dalam tanah ini memberikan ia warna seperti merah, coklat dan hitam.

“Stoneware” pula adalah barangan yang mempunyai kadar porositi daripada 2 – 5 peratus. Barangan seperti ini dihasilkan melalui proses pembakaran pada suhu 2,100 hingga 2,372 °F. Barangan “stoneware” mempunyai ketahan yang lebih tinggi dan juga dikenali sebagai barangan tembikar pada hari ini. Ia biasanya disaluti dengan ‘glaze’ dan tidak telap air menjadikan ia sesuai untuk menghasilkan barangan dapur seperti ‘mug’ dan pinggan mangkuk.

Oleh kerana penggunaan bahan yang lebih baik, warna barangan ‘stoneware’ adalah lebih terang dari seakan-akan warna tanah ke kelabu terang hinggalah ke coklat atau kelabu gelap. Suhu pembakaran memainkan peranan penting dalam penghasilan barangan ‘stoneware’ dalam menentukan kualiti barangan yang akan dihasilkan.

“Porcelain”, merupakan barangan terbaik yang dihasilkan daripada kelas barangan ini. Barangan ‘porcelain’ juga hanya mempunyai kadar porositi dari 0 hingga 1 peratus. Walaupun ia dihasilkan dengan tanah liat istimewa yang dikenali sebagai ‘koalin’, ‘porcelain’ hari ini turut dihasilkan menggunakan bahan-bahan lain. Antara sebab lain penggunaan bahan lain termasuklah mengurangkan suhu pembakaran dan juga menambahkan sifat ‘plasticity’ (mudah bentuk), kepada ‘koalin’. Namun begitu penghasilan ‘porcelain’ sememangnya memerlukan suhu yang lebih tinggi berbanding barangan lain yang dihasilkan daripada tanah ini.

Oleh kerana partikel yang digunakan dalam penghasilan ‘porcelain’ adalah lebih halus dan juga tidak mengandungi bahan asing (dari bahan logam) ia dapat menghasilkan beberapa perkara iaitu; mempunyai sifat separa telus cahaya, dan juga warna yang lebih cerah sekata. Barangan ‘porcelain’ boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan daripada barangan keperluan sehinggalah kepada barangan hiasan.


Barangan 'porcelain' dari Dinasti Ming.

Insulator yang dihasilkan dari 'porcelain'.

Panel pada bangunan ini juga adalah daripada 'porcelain'.

Speaker yang dihasilkan daripada 'porcelain'.

Hari ini bahan yang sama juga turut digunakan untuk tujuan perindustrian seperti penghasilan ‘insulator’ bagi kabel bervoltan tinggi dan juga sebagai bahan gantian dalam bidang pergigian. Antara syarikat yang menggunakan ‘porcelain’ ini termasuklah NGK Insulators, Ltd. dalam penghasilan insulator, manakala Murata Manufacturing Co. pula menghasilkan ‘low-temperature-sintering porcelain’ untuk tujuan aplikasi elektronik.


Jadi begitulah menariknya penggunaan bahan daripada tanah mampu digunakan oleh manusia sejak ribuan tahun dahulu sehingga hari ini terus diperbaiki dalam membantu manusia mencapai kemudahan dalam hidup. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bahan dan juga barangan yang dihasilkan dari tanah ini, silalah lakukan rujukan lanjut di internet.



Free Download



Arkib Blog