Ahad, 14 Disember 2014

Penjelajahan Laut Dalam Oleh James Cameron


James Cameron Deepsea Challenge
James Cameron keluar daripada Deepsea Challenger.

Pada tahun 2012 dunia digemparkan lagi oleh pengarah terkenal James Cameron. Kali ini bukanlah dengan cerita terbaru arahan beliau tetapi dengan satu lagi pencapaian beliau yang merupakan cita-citanya sejak kecil lagi iaitu penjelajahan laut dalam. Mengapa peristiwa ini dianggap sebagai salah satu perkara yang begitu besar bukan sahaja bagi beliau, malah kita semua sebagai masyarakat dunia.

James Cameron yang biasa tampil dengan kelainan di dalam filem-filem arahannya yang terkenal termasuk The Abyss, Terminator 2, Titanic dan juga Avatar sebenarnya menyimpan satu cita-cita dan minat yang tidak pernah padam iaitu untuk menerokai laut dalam. Cita-cita beliau ini dapat dilihat dalam filem arahan beliau The Abyss sendiri malah beberapa dokumentari yang dihasilkan yang berkait rapat dengan laut dalam sebelum ini antaranya Expedition: Bismarck, Ghost of the Abyss dan Aliens of the Deep.

Deepsea Challenger diagram
Gambarajah kapal selam Deepsea Challenger.

Bagi menghasilkan dokumetari beliau kali ini iaitu untuk menjelajah ke dasar laut cabaran pertama yang perlu dilalui beliau adalah untuk menyediakan kapal selam yang mampu untuk menyelam sehingga kedalaman yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kapal selam yang lain.  Seperti yang kita ketahui untuk menyelam pada kedalaman tersebut kapal selam yang diperlukan oleh James Cameron perlulah mampu untuk menahan tekanan air yang amat tinggi bagi tujuan keselamatan peralatan dan beliau sendiri, yang akan mengendalikannya.

Kapal selam yang digunakan oleh James Cameron untuk penjelajahan ini dikenali sebagai Deepsea Challenger dibina dalam diam di Australia dengan kerjasama antara National GeographicSociety dan tajaan bersama oleh Rolex – di mana dalam ekspedisi ini Rolex turut menjalankan ujian terhadap kemampuan jam tangan keluarannya yang dikenali sebagai “Deepsea” – 2012. Malah jam tangan tersebut berjaya menjalani ujian tersebut dengan jayanya.

Deepsea Pilot Sphere
Kebuk pemandu daripada keluli setebal 2.5 inci.

Deepsea Challenger dibina oleh Acheron Project Pty Ltd dengan diketuai oleh jurutera Ron Allum. Ron Allum dan kumpulan yang membina Deepsea Challenger adalah rata-ratanya mereka yang juga aktif dalam aktiviti selaman gua dalam laut selama beberapa tahun. Jadi kumpulan ini merupakan mereka yang mempunyai banyak pengalaman dalam membina kapal selam yang diperlukan James Cameron dalam ekspedisinya itu nanti.

Sebagai satu-satunya kapal selam yang mampu menjelajah ke dasar laut dalaman Deepsea Challenger amat berbeza daripada kapal-kapal selam yang lain. Selain daripada ianya dibina secara menegak ia juga hanya boleh membawa seorang penumpang sahaja. Penumpang tersebut pula perlu berada di dalam sebuah bola keluli dengan ketahanan untuk menampung tekanan yang tinggi. Ia merupakan langkah pertama dalam pembinaan kapal selam ini kerana ia menentukan keselamatan pemandunya yang akan berada beberapa ribu meter di dasar laut.

Deepsea Challenger dive
Deapsea Challenger diturunkan ke air.

Sudah tentu pembinaan Deepsea Challanger bukanlah satu proses yang mudah dan menjalani beberapa kali ujian disamping kesuntukan masa yang diperlukan untuk mebolehkan ia melakukan selaman seperti yang dijadualkan. Kesemua cabaran ini dibentangkan di dalam dokumentari “James Cameron’s Deepsea Challenge” di mana dari situ dapat kita lihat ia bukanlah boleh dilakukan tanpa kepakaran, kegigihan dan kesungguhan dari setiap ahli yang terdapat di dalam kumpulan tersebut. Ini kerana pembinaan kapal selam tersebut bukanlah sekadar menyediakan sebuah bebola keluli yang mampu bertahan pada tekanan tinggi malah ia perlu memastikan keselamatan pemandunya, kandungan udara, suhu, peralatan komunikasi, navigasi, dan macam-macam lagi.

Bagi yang pernah membaca mengenai James Cameron dan ketelitian beliau dalam filem-filem arahannya tentu menyangka bahawa ini merupakan sesuatu yang boleh dilakukan dengan mudah. Ya, ia bagaikan sebuah peralatan yang siap untuk digunakan tanpa anda perlu merasa risau. Hakikatnya, Deepsea Challenger perlu dikendalikan oleh sekumpulan pakar – walaupun ia akan dipandu oleh seorang pemandu. Sebaik sahaja pemandunya memasuki ruang pemanduan, ianya akan dikunci rapat dari luar - dan ia tidak akan boleh dibuka daripada dalam.

Rolex Deepsea
Rolex 'Deepsea' yang dibawa turun ke dasar laut bersama Deepsea Challenger.

Sehingga pada March 26, 2012 James Cameron berjaya melakukan penyelaman pada kedalam 10,908 meter (35,787 kaki) yang juga merupakan penyelaman ke-empat bagi Deepsea Challenger. Pada kedalaman ini James Cameron berjaya melakukan beberapa perkara penting seperti menjelajahi dasar laut dalam, mengumpul spesimen hidupan dan juga sendimen malah tidak dilupakan untuk memeriksa jam Rolex yang dibawanya bersama (ketika itu berada di luar kapal selam tersebut).

Walaupun mungkin ia merupakan cita-cita seseorang (James Cameron), malah ia juga turut membawa pelbagai kebaikan kepada yang lain. Bagi kumpulan yang membina kapal Deepsea Challenger juga sudah pastinya merupakan satu kejayaan yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kumpulan lain. Begitu juga bagi kita sebagai masyarakat dunia – penjelajahan ini sedikit sebanyak memberikan kita gambaran sebenar di dasar lautan dalam yang sebelum ini belum pernah diteroka oleh mana-mana manusia (apatah lagi bersama video yang boleh ditonton). Maka dengan itu setiap dari kita perlu mempunyai cita-cita yang akan membawa kebaikan untuk kita bersama.


Anda juga mungkin berminat:




Free Download



Sabtu, 15 November 2014

Projek Menjejaki Komet 67P Oleh ESA

Rosetta dropped Philae into 67P
Rosetta menjatuhkan Philae ke atas komet 67P.

Bermula sejak 10 tahun dahulu projek Rossetta dijalankan untuk menjejaki komet yang mengorbit berhampiran bumi. Terdapat ratusan komet yang diketahui berada di persekitaran ini, jadi selain daripada mengenal pasti akan komet-komet yang berpotensi antara lain projek ini perlu menitik beratkan kelengkapan yang diperlukan untuk menjejaki calon komet yang berpotensi.

Kecenderungan para saintis untuk menjejaki komet ini bukanlah hanya menjadi impian para pengkaji angkasa sahaja, malah sebenarnya ia adalah bertujuan untuk lebih mengenali tentang bagaimana hidupan mula terbentuk di bumi (mungkin berbillion tahun dahulu). Maka dengan menjejaki komet ini, pengetahuan bagaimana perpindahan bahan atau mungkin hidupan yang dibawa oleh komet ini akhirnya sampai ke sesebuah planet yang dihentam oleh komet tersebut apabila berlaku perlanggaran dengan sesebuah planet.

67P/Churyumov-Gerasimenko (67P)
67P/Churyumov-Gerasimenko dari dekat.

Keunikan satelit yang diberikan nama Rosetta ini mengandungi 2 unit utama iaitu satelit pengorbit yang juga bertindak sebagai induk dan juga Philae yang akan mendarat di atas komet tersebut untuk melakukan kajian yang lebih terperinci. Walaubagaimanapun ia mengambil masa selama 10 tahun daripada mula ianya dilancarkan sehinggalah berjaya mendaratkan Philae di atas permukaan komet 67P/Churyumov-Gerasimenko (67P).

Komet Churyumov-Gerasimneko ditemui oleh dua orang angkasawan dari Rusia pada tahun 1969 semasa beberapa angkasawan dari Kiev membuat perjumpaan di Alma-Ata Astrophysical Institute di Kazakhstan untuk melakukan penelitian terhadap komet-komet. Di sinilah dua angkasawan iaitu Klim Churyumov dan Svetlana Gerasimenko yang secara tidak sengaja menemui komet 67P.

Rosetta and Philae
Kedudukan Philae pada Rosetta.

Kejayaan Rosetta mendaratkan Philae di atas 67P bukanlah berlaku dalam satu masa yang singkat. Dari masa pelancaran sahaja sehingga kepada tarikh pendaratan tersebut mengambil masa selama 10 tahun. Namun begitu dalam tempoh ini banyak perkara yang telah dilakukan oleh Satelit Rosetta seperti melewati beberapa komet, melewati dan melakukan pemeriksaan ke atas Marikh dan juga 3 kali melewati di atas bumi. Rosetta juga diletakkan dalam keadaan hibernasi selama 3 tahun iaitu daripada tahun 2011 sehinggalah pengaktifannya semula pada 20 January 2014 untuk meneruskan perjalanannya memintas laluan 67P

Kawalan dan penyelenggaraan pergerakan ke atas Rosetta di lakukan melalui stesyen kawalan European Space Operation Centre (ESOC), di Darmstadt, Germany. Projek ini juga turut mendapat sokongan daripada NASA di mana ia sepatutnya dijalankan bersama di antara kedua ejensi tersebut pada awalnya.

Control room at ESOC
Suasana di pusat kawalan Rosetta di ESOC.

Pada awalnya Rosetta dijadualkan pelancaran pada 12 Januari 2003 untuk mengiringi komet 46P/Wirtanen pada tahun 2011. Perancangan ini diubah oleh kerana berlaku kegagalan pada roket pembawa Ariane 5. Perancangan in kemudiannya diubah kepada calon baru iaitu 67P dengan tarikh pelancaran pada 26 Febuari 2004 dan dijadulakan mengiringi komet tersebut pada tahun 2014 apabila orbit komet tersebut menghampiri matahari sekali lagi pada tahun 2015.

Kedudukan satelit Rossetta boleh diikuti melalui link ini.

Land of Philae
Akhirnya misi Philae berjaya untuk mendarat di atas 67P.

Melalui misi ini nanti banyak pengetahuan baru yang akan terjawab mengenai komet. Selain daripada rupa bentuk dan komposisi, ia juga berpeluang untuk mengetahui akan perubahan fizikal yang akan berlaku apabila 67P melewati matahari pada tahun 2015 nanti. Walaupun manusia sejak dahulu telah mengetahui serba sedikit mengenai perilaku komet, namun ianya masih lagi bersifat ramalan sehingglah kali ini sebuah mesin pengkaji ‘Philae’ dapat menjalankan kajian di atas komet itu sendiri.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai misi Rosetta dan komet 67P ini bolehlah melewati lama web European Space Agency melalui link ini. Adalah diharap ia akan menjadi sumber inspirasi peminat-peminat dunia sains teknologi untuk meneruskan usaha dan minat di dalam bidang tersebut.




Free Download



Sabtu, 8 November 2014

Hyperloop Merupakan Sistem Pengangkutan Darat Terpantas Masa Hadapan

'Hyperloop' memerlukan terowong khas.

Pada masa ini pengangkutan pantas masih lagi dikuasai oleh sistem pengangkutan udara kerana selain daripada mempunyai kepantasan ia juga mampu merentasi halangan bentuk muka bumi dan lautan. Pengangkuan pantas di darat pula masih dikusai oleh keretapi-keretapi magnet (maglev) yang menggunakan sumber tenaga yang tinggi untuk beoperasi.

Untuk terus meningkatkan lagi mutu pengangkutan darat, inovasi terbaru diperlukan bagi mengatasi batasan maksima sistem pengangkutan sedia ada. Maka bagi menjangkaui kemampuan ini pereka inovasi perlu berani menampilkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang sedia ada.


Hyperloop capsule/pod
Contoh 'capsule' atau 'pod' untuk 'Hyperloop'.

Sistem pengangkutan amat penting bagi memastikan banyak urusan dapat dilakukan dengan lebih pantas. Walaupun sistem pengangkutan udara adalah pantas, tetapi ia memerlukan banyak urusan yang menyebabkan para pengguna perlu meluangkan masa yang panjang seperti ‘daftar masuk’, ‘urusan bagasi’, ‘menunggu’ dan sebagainya yang menyebabkan ia memakan masa yang lebih lama.

Bagi memudahkan lagi para pengguna yang memerlukan pengangkutan pantas bagi destinasi-destinasi penting maka sistem pengangkutan baru iaitu ‘Hyperloop’ dicadangkan dalam menyingkatkan tempoh perjalanan. Sekiranya sistem pengangkutan ini dapat disiapkan, pengguna akan menikmati sistem pengangkutan darat yang mempunyai kelajuan pengangkutan udara. Ini bermakna bukan sahaja ia akan menawarkan perjalanan yang pantas, malah urusan perjalanan yang mudah seperti sistem pengangkutan darat yang lain.

‘Hyperloop’ berbeza dengan sistem pengangkutan darat biasa kerana memerlukan terowong khas. Selain itu juga ia meluncur di atas kusyen udara seperti ‘hovercraft’ dengan kelajuan sehingga 1,223 km/h (760 mph). Pada kelajuan ini ia mampu membawa penumpang dari Los Angeles ke San Francisco dalam masa 30 minit yang berada pada jarak 645 km. Jadi para pengguna dapat memanfaatkan masa yang sebelumnya dihabiskan dengan menunggu dengan perkara yang lebih penting.


Elon Musk
Elon Musk penyumbang idea disebalik 'Hyperloop'.

‘Hyperloop’ diilhamkan oleh pengasas Paypal, SpaceX dan Tesla Motors iaitu Elon Musk yang setakat ini telah membawa perubahan kepada orang ramai dari segi kehidupan dan ekonomi. Sekiranya ia berjaya dilakukan di Los Angeles, maka tidak mustahil ia akan turut di bina di lokasi-lokasi lain bagi menghubungkan bandaraya-bandaraya penting di seluruh dunia.


Hyperloop route
Laluan cadangan sistem 'Hyperloop'.

Perubahan yang diketengahkan oleh sistem pengangkutan ‘Hyperloop’ jauh berbeza daripada sistem pengangkutan laju darat sedia ada iaitu keretapi magnet (maglev). Ini jelas menunjukkan inovasi berterusan membawa kita keluar daripada sistem keretapi magnet yang telah sekian lama digunakan. Ini kerana sistem tersebut menggunakan kuasa elektrik yang tinggi.

Mungkin ia akan mengambil masa beberapa lama untuk dibina dan diuji dari segi pelbagai aspek. Walaubagaimanapun idea dan usaha untuk membina sistem pengangkutan ‘Hyperloop’ ini merupakan sesuatu yang perlu dilihat positif. Adalah diharap, bukan ‘Hyperloop’ sahaja yang akan berjaya, malah banyak lagi rekaan yang dapat membawa manfaat kepada manusia di masa-masa akan datang.


Free Download



Ahad, 26 Oktober 2014

Mengenal Spesis Jerung Dengan Lebih Dekat

Great white shark
Ikan jerung sering diberikan gambaran menakutkan oleh media.

Jerung atau ‘sharks’ merupakan sejenis kumpulan ikan yang merangkumi pelbagai spesies dengan pelbagai saiz. Pengenalan mengenai jerung mungkin tertumpu kepada spesies-spesies yang bersaiz besar dengan fizikal yang menyerupai jerung putih kerana ia lebih mendapat tumpuan atas saiz dan keganasan yang sering dipaparkan media. Namun begitu kumpulan jerung merangkumi pelbagai bentuk dan saiz yang menghuni perairan di serata dunia.

hammerhead shark
Ikan jerung tukul mempunyai muncung yang unik.

Kepentingan spesies jerung mungkin kurang mendapat perhatian sebelum ianya diberikan jolokan spesies yang terganas di lautan. Hanya beberapa spesies sahaja yang mungkin pernah berhadapan dengan manusia samada sebagai tangkapan ataupun menyerang manusia secara tidak sengaja. Seperti yang kita ketahui hidangan ‘sup sirip yu’ yang amat popular menjadikan spesies ini semakin terancam. Manakala terdapat spesies yang mampu menyusur sungai seperti ‘bull shark’ dan ‘river shark’ yang mungkin menyebabkan serangan terhadap manusia berlaku.

whale shark in aquarium
Ikan yu paus di Georgia Aquarium.

Keseluruhan spesies jerung merangkumi satu kumpulan yang besar daripada spesies jerung putih atau ‘great white’ yang masih hidup sehingga ke hari ini sehingga kepada spesies terkecil yang dikenali sebagai ‘dwarf lanternshark’ yang hanya berukuran sepanjang 17 centimeter. Namun begitu spesies jerung terbesar yang masih hidup sehingga hari ini adalah yu paus atau ‘whale shark’ yang mampu menjangkau saiz sehingga 12 meter. Berbeza dengan kebanyakan spesies, kerana yu paus adalah spesies yang memakan hidupan kecil dan plankton.

Keunikan spesies jerung bukan setakat itu sahaja, ia merangkumi pelbagai saiz, rupa bentuk dan berbagai lagi yang menjadikan ia sebagai kumpulan ikan yang menarik untuk dikenali. Mungkin anda pernah melihat gambar ikan jerung dari spesies jerung tukul atau ‘hammerhead shark’, begitu juga dari spesies dengan muncung panjang dan bergerigi seperti dari kumpulan ‘sawshark’, manakala terdapat pula spesies jerung yang menyerupai ikan pari, spesies yang mendiami laut dalam seperti ‘goblin shark’ dan mungkin terdapat beberapa spesies lagi yang masih belum dikenal pasti.

saw shark
Antara spesies ikan jerung yang menarik.
thresher shark
'Thresher shark', menggunakan ekornya yang unik untuk memburu mangsa.

Seperti juga spesies paus, spesies jerung merangkumi spesies yang agresif dan juga spesies yang hanya memakan hidupan kecil dan plankton. Manakala spesies-spesies lain yang lebih kecil adalah sama sahaja seperti ikan-ikan biasa yang tidak mendatangkan bahaya kepada manusia. Oleh kerana kumpulan ikan jerung yang merangkumi pelbagai spesies, boleh dikatakan ia terdapat di mana-mana dari perairan yang cetek sehinggalah ke lautan dalam. Ya, dan adakalanya ia juga boleh menyusuri sungai air tawar.


Walaupun seperti yang telah diketahui spesies jerung terbesar yang telah pupus seperti ‘Megalodon’ lebih menyerupai kepada spesies jerung yang ganas seperti ‘great white’, namun spesies jerung-jerung yang lain juga menarik untuk dikenal pasti. Ini kerana mungkin juga terdapat spesies dari pemakan plankton yang telah pupus dan belum ditemui.

Angel shark
Angle shark kelihatan mirip kepada ikan pari.

Artikel kali ini tidak dapat menyentuh mengenai jerung secara terperinci namun memberikan satu ruang yang besar untuk para pembaca mencari maklumat lebih lanjut mengenai spesies-spesies jerung ini. Melalui pemahaman yang mendalam mengenai kumpulan jerung ini, mungkin akan mengubah pandangan anda mengenai dunia jerung yang biasa dikaitkan dengan keganasan yang menakutkan.



Free Download



Ahad, 19 Oktober 2014

Menghuni Marikh dan Projek Biosphere 2

Biosphere 2 Complex
Keseluruhan bangunan Biosphere 2.

Bagi peminat-peminat cereka Sci-Fi persekitaran kehidupan di angkasa atau kehidupan di planet lain biasa digambarkan dengan pelbagai keadaan. Mungkin bagi sesetengah kita hanya menganggapnya sebagai sebuah hasil filem atau cereka yang dihasilkan untuk tujuan hiburan semata. Namun begitu bagi mereka yang optimis, idea untuk mendirikan penempatan di angkasa telah lama dilakukan.

Biosphere 2, sebuah projek yang telah lama dilakukan iaitu sejak tahun 1985 lagi. Tujuan eksperimen ini adalah untuk meninjau keadaan kehidupan di Marikh dengan menyediakan kehidupan sama seperti di bumi. Walaupun eksperimen ini mungkin tidak dapat memberikan jawapan yang 100% positif untuk peluang manusia tinggal di Marikh, namun ia memberikan sedikit-sebanyak maklumat yang berguna atau peluang untuk memperbaiki sebarang kesilapan yang dapat dikenal pasti di peringkat awal. Malah ia juga turut memberikan sedikit-sebanyak tentang jawapan kehidupan di bumi sendiri.

Oceanic area at biosphere 2
Kawasan yang mewakili lautan turut menempatkan turumbu karang.

Biosphere 2 adalah sebuah kemudahan yang didirikan dan menempatkan ruang kehidupan sama di bumi dengan dilengkapi kawasan seperti hutan tropika, kawasan paya bakau, gurun dan lautan dalam skala yang kecil. Keseluruhan sistem ini bertujuan bagi menyediakan satu ekosistem lengkap untuk membantu kehidupan di planet lain seperti di Marikh. Di sini, beberapa penyelidik menghabiskan masa kira-kira 2 tahun bagi meninjau samada ia dapat memberikan kemudahan bagi peserta disepanjang masa yang dilhabiskan di dalam Biosphere 2.

Bagi keseluruhan sistem Biosphere 2 ia mengandungi 1,900 meter persegi kawasan hutan hujan, 850 meter persegi lautan (turut menempatkan terumbu karang), 450 meter persegi kawasan paya, 1,300 meter persegi kawasan savannah, 1,400 meter persegi kawasan gurun, 2,500 meter persegi kawasan untuk aktiviti pertanian penghuninya. Ia juga dilengkapi dengan jaringan saluran bawah tanah untuk mengawal suhu dan membekalkan tenaga. Ia merupakan kawasan yang tertutup sepenuhnya dengan binaan kaca bagi membolehkan cahaya matahari menembusi struktur tersebut untuk membantu pertumbuhan hidupan di dalam ekosistem di dalamnya.

Savannah area biosphere 2
Kawasan savannah di dalam Biosphere 2.

Sepanjang tempoh daripada pembinaannya Biosphere 2 telah digunakan sebanyak 2 kali untuk mejalankan eksperimen di mana para peserta akan meluangkan masa beberapa ketika di dalam ruangan Biosphere 2 dan tidak dibenarkan keluar. Pada kali pertama peserta menghabiskan masa untuk 2 tahun daripada tahun 1991 hinggalah ke 1993 dan pada eksperimennya berikutnya iaitu kira-kira enam bulan yang menekankan lebih kepada aspek-aspek pembaik pulihan. Kini Biosphere 2 dibuka kepada orang ramai untuk tujuan lawatan dan tinjauan. Ia sudah tentu amat menarik untuk dikunjungi.

Living area biosphere 2
Antara ruangan untuk penghuni di Biosphere 2.

Sudah pastinya eksperimen ini mengalami pelbagai cabaran. Membina sebuah bumi kecil bukanlah mudah walaupun hampir kesemua ekosistem dihimpunkan di dalam satu bangunan yang kecil namun ianya tidak dapat memenuhi keperluan sebenar ekosistem ini. Biosphere 2 juga mengalami perbezaan tekanan udara di antara siang dan malam yang diakibatkan oleh kesan pengembangan udara. Ia juga mengalami kandungan Karbon Dioksida yang tinggi kesan daripada ketidak seimbangan ekosistem di dalamnya. Terdapat juga keadaan di mana para peserta mengalami kekurangan makanan dan sebagainya.

Walaupun Biosphere 2 tidak mungkin akan dibina di Marikh namun eksperimen ini sedikit sebanyak memberi banyak pengajaran kepada para penyelidik yang terlibat terutamanya dari segi keperluan rekabentuk dan juga ekosistem yang terdapat di dalam Biosphere 2. Dari percubaan inilah banyak perkara dapat diperbaiki dan kelemahan dapat dikenalpasti. Eksperimen seumpama ini mungkin akan terus dijalankan sehingga manusia berjaya dalam apa yang diusahakannya. Sehubungan dengan itu apa yang penting bukanlah kejayaan semata, tetapi usaha yang berterusan sehingga berjaya.



Free Download



Sabtu, 18 Oktober 2014

Teknologi 3D Printing Berpotensi Untuk Diterokai

3D Printing Structure
Antara struktur yang boleh dihasilkan oleh 3D printer dengan mudah.

Teknologi 3D printing bukanlah sesuatu yang baru, namun baru-baru ini ia semakin berkembang dengan pesat sekali. Kerap kali kita berhadapan dengan hasil terbaru kreativiti penggunaan teknologi 3D printing yang merangkumi pelbagai bidang dari senibina, teknikal, perubatan sehinggalah ke bidang makanan. Sehubungan itu teknologi 3D printing amat penting untuk diberikan perhatian serius bagi perkembangan teknologi ini dapat digunakan lebih berkesan dimasa-masa akan datang.

Pada permulaan pengenalan teknologi 3D printing ianya dihasilkan dengan saiz yang amat besar dengan kos yang amat tinggi. Kepesatan teknologi internet membolehkan lebih ramai peminat teknologi mengembangkan teknologi ini dengan pelbagai variasi dari segi teknik dan penggunaan teknologi 3D printing membolehkan ianya berkembang dengan lebih pantas. Walaupun hari ini tiada 3D printer yang benar-benar dipasarkan seperti mana printer inkjet yang digunakan di rumah, namun telah banyak 3D printer yang dihasilkan untuk menghasilkan pelbagai produk yang berguna.

Kelebihan 3D Printer

3D Printer products
3D printer menghasilkan barangan dengan lebih mudah.

Tidak seperti printer biasa, 3D printer menghasilkan objek yang boleh digunakan. Ia bergantung kepada bahan yang digunakan dan juga saiz printer tersebut. Ia amat penting bagi menghasilkan sesuatu produk baru kerana 3D printer mempunyai fleksibiliti dalam menghasilkan sample yang diperlukan. Melalui penggunaan 3D printer, penghasilan sesuatu sample produk dapat dipercepatkan disamping kosnya juga dapat dikurangkan.

Dari segi penggunaan bahan 3D printer juga memberikan teknologi ini skop yang lebih luas. Ia boleh menggunakan hampir apa sahaja bahan yang bersesuai seperti yang diperlukan. Bagi tujuan kajian dan rekaan untuk sesuatu produk baru, 3D printer amat penting dalam penghasilan sample untuk kuantiti yang kecil. Ini dapat menggalakkan lagi rekaan produk-produk baru oleh syarikat-syarikat yang kecil ataupun orang persendirian. Bukan itu sahaja, ia mungkin turut menghasilkan produk yang anda perlukan di masa akan datang.

3D products design
3D printer mempercepatkan proses rekaan produk.

Kebanykakan 3D printer adalah dihasilkan sendiri oleh ‘hobbyist’ berbanding yang dihasilkan untuk tujuan komersil. 3D printer yang dihasilkan adalah kebanyakannya untuk tujuan rekaan produk, kajian dan hanya sebahagian kecil sahaja yang dijual kepada pengguna dalam kuantiti yang kecil. Manakala pengguna 3D printer juga adalah terdiri daripada syarikat-syarikat kecil dan individu yang menghasilkan produk untuk tujuan rekaan produk terbaru. Ada juga yang menghasilkan semula bahagian produk-produk yang telah ada sebagai bahagian gantian dan sebagainya.

Antara Produk Menarik Teknologi 3D Printing


Penggunaan 3D printing membolehkan rekaan sesuatu produk diuji dari segi fizikalnya sebelum ianya dihasilkan secara komersil. Jurutera-jurutera yang mereka bentuk sesuatu peralatan baru misalnya perlu menghasilkan sample ini untuk membuat kajian yang lebih terperinci sebelum ianya boleh digunakan. Bayangkan suatu masa dahulu sesuatu sample bangunan atau rekaan perlu dihasilkan secara manual dengan memakan masa yang panjang. Ia merupakan satu proses yang panjang atau lebih tepat tidak efektif (masa tersebut boleh digunakan untuk melakukan sesuatu perkara yang lebih penting).

Penghasilan bahagian badan tiruan (prosthetic parts) adalah merupakan salah satu contoh kegunaan 3D printer yang amat membanggakan. Menggunakan 3D printer, bahagian yang direka mudah dipadankan dengan saiz yang sesuai mengikut pesakit yang memerlukan anggota tersebut. Kerja-kerja pengubahsuaian juga mudah dilakukan dengan hanya membuat bahagian yang diperlukan sahaja.

Prosthetic limb
Penghasilan anggota tiruan ini amat penting bagi yang memerlukan.

Bagi bidang mekanikal pula, penggunaan 3D printer amat membantu dalam mereka bahagian-bahagian baru dalam rekaan sesuatu produk. Dengan adanya 3D printer, rekaan bahagian struktur rekaan dapat dipercepatkan, dan tumpuan dapat diberikan pada bahagian lain seperti elektronik dan hidrolik yang juga merupakan aspek penting dalam sesuatu rekaan.

Malah 3D printer boleh menghasilkan hampir apa sahaja mengikut keperluan dan kesesuaian 3D printer yang digunakan. Ia boleh digunakan untuk membuat cetakan makanan sehinggalah kepada bahan keluli. Bayangkan anda memerlukan sesuatu rekaan yang hanya memenuhi citarasa anda dan tiada dijual di pasaran. Maka jawapannya anda boleh membuat satu rekaan baru dan membuat cetakan terus menggunakan 3D printer! Ia bagaikan yang biasa digambarkan dalam cerita kartun ataupun cereke ‘science fiction’.

3D printed food
Makanan juga menggunakan teknologi 3D printing.

Teknologi Mengubah Dunia





Teknologi 3D printing akan terus berkembang dan mengubah cara hidup manusia dalam penghasilan sesuautu barangan. Baru-baru ini 3D printing turut digunakan dalam penghasilan bangunan. Malah syarikat 3D Printer dari Itali yang dikenali sebagai WASP, mereka 3D printer yang mampu membina struktur bangunan menggunakan lumpur dan serat. Printer ini amat besar dan dapat membina satu struktur bangunan ringkas dalam masa yang singkat. Apabila teknologi ini terus diperbaiki, kita mungkin akan memiliki bangunan dengan rupa bentuk yang diluar jangkaan dan dibina dalam masa yang singkat pula. Apa yang penting ia sudah tentu dapat membantu mereka yang memerlukan tempat berlindung seperti penduduk di Benua Afrika dan kawasan-kawasan yang sesuai didirikan bangunan menggunakan bahan tersebut.

Apa yang menarik mengenai teknologi 3D printing ini sebenarnya adalah penghasilan 3D printer itu sendiri. Ianya dihasilkan dengan kebolehan untuk membuat pelbagai cetakan seperti yang dimahukan oleh perekanya. Sehubungan itu selain daripada mendapatkan 3D printer, mungkin apa yang lebih penting adalah kaedah bagaimana untuk menghasilkan 3D printer anda sendiri.





MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Arkib Blog