Ikan jerung sering diberikan gambaran menakutkan oleh media. |
Jerung atau ‘sharks’ merupakan sejenis kumpulan ikan yang merangkumi pelbagai spesies dengan pelbagai saiz. Pengenalan mengenai jerung mungkin tertumpu kepada spesies-spesies yang bersaiz besar dengan fizikal yang menyerupai jerung putih kerana ia lebih mendapat tumpuan atas saiz dan keganasan yang sering dipaparkan media. Namun begitu kumpulan jerung merangkumi pelbagai bentuk dan saiz yang menghuni perairan di serata dunia.
Ikan jerung tukul mempunyai muncung yang unik. |
Kepentingan spesies jerung mungkin kurang mendapat perhatian sebelum ianya diberikan jolokan spesies yang terganas di lautan. Hanya beberapa spesies sahaja yang mungkin pernah berhadapan dengan manusia samada sebagai tangkapan ataupun menyerang manusia secara tidak sengaja. Seperti yang kita ketahui hidangan ‘sup sirip yu’ yang amat popular menjadikan spesies ini semakin terancam. Manakala terdapat spesies yang mampu menyusur sungai seperti ‘bull shark’ dan ‘river shark’ yang mungkin menyebabkan serangan terhadap manusia berlaku.
Ikan yu paus di Georgia Aquarium. |
Keseluruhan spesies jerung merangkumi satu kumpulan yang besar daripada spesies jerung putih atau ‘great white’ yang masih hidup sehingga ke hari ini sehingga kepada spesies terkecil yang dikenali sebagai ‘dwarf lanternshark’ yang hanya berukuran sepanjang 17 centimeter. Namun begitu spesies jerung terbesar yang masih hidup sehingga hari ini adalah yu paus atau ‘whale shark’ yang mampu menjangkau saiz sehingga 12 meter. Berbeza dengan kebanyakan spesies, kerana yu paus adalah spesies yang memakan hidupan kecil dan plankton.
Keunikan spesies jerung bukan setakat itu sahaja, ia merangkumi pelbagai saiz, rupa bentuk dan berbagai lagi yang menjadikan ia sebagai kumpulan ikan yang menarik untuk dikenali. Mungkin anda pernah melihat gambar ikan jerung dari spesies jerung tukul atau ‘hammerhead shark’, begitu juga dari spesies dengan muncung panjang dan bergerigi seperti dari kumpulan ‘sawshark’, manakala terdapat pula spesies jerung yang menyerupai ikan pari, spesies yang mendiami laut dalam seperti ‘goblin shark’ dan mungkin terdapat beberapa spesies lagi yang masih belum dikenal pasti.
Antara spesies ikan jerung yang menarik. |
'Thresher shark', menggunakan ekornya yang unik untuk memburu mangsa. |
Seperti juga spesies paus, spesies jerung merangkumi spesies yang agresif dan juga spesies yang hanya memakan hidupan kecil dan plankton. Manakala spesies-spesies lain yang lebih kecil adalah sama sahaja seperti ikan-ikan biasa yang tidak mendatangkan bahaya kepada manusia. Oleh kerana kumpulan ikan jerung yang merangkumi pelbagai spesies, boleh dikatakan ia terdapat di mana-mana dari perairan yang cetek sehinggalah ke lautan dalam. Ya, dan adakalanya ia juga boleh menyusuri sungai air tawar.
Walaupun seperti yang telah diketahui spesies jerung terbesar yang telah pupus seperti ‘Megalodon’ lebih menyerupai kepada spesies jerung yang ganas seperti ‘great white’, namun spesies jerung-jerung yang lain juga menarik untuk dikenal pasti. Ini kerana mungkin juga terdapat spesies dari pemakan plankton yang telah pupus dan belum ditemui.
Angle shark kelihatan mirip kepada ikan pari. |
Artikel kali ini tidak dapat menyentuh mengenai jerung secara terperinci namun memberikan satu ruang yang besar untuk para pembaca mencari maklumat lebih lanjut mengenai spesies-spesies jerung ini. Melalui pemahaman yang mendalam mengenai kumpulan jerung ini, mungkin akan mengubah pandangan anda mengenai dunia jerung yang biasa dikaitkan dengan keganasan yang menakutkan.