Quokka merupakan haiwan comel berasal dari Australia. |
Australia menyimpan pelbagai keunikan disebalik lokasinya yang terpinggir jauh di Timur dan ke Selatan dunia. Memandangkan saiznya yang besar itu, ia juga menyimpan 1001 macam keunikan dari bentuk muka bumi mahupun haiwan-haiwan yang menghuni pulau gergasi tersebut.
Kebanyakan haiwan yang menghuni Australia jauh berbeza daripada haiwan-haiwan yang terdapat di bahagian-bahagian yang lain di dunia. Ini mungkin kerana kedudukan Australia yang jauh terpisah dari benua-benua lain yang menyebabkan haiwan-haiwan yang berada di Australia daripada berhijrah ke kawasan-kawasan yang lain, atau mungkin juga manusia sendiri tidak ramai menghuni kepulauan ini pada awalnya dan seterusnya menyebabkan haiwan ini selamat daripada kepupusan.
Walaupun kebanyakan haiwan unik ini menghuni di kawasan darat Australia, kawasan perairan Australia juga mempunyai keunikan tersendiri, di mana Australia memiliki kawasan terumbu karang terbesar atau lebih dikenali sebagai “Great Barrier Reef” yang menjadi kawasan yang dihuni pelbagai spesies hidupan laut yang juga unik.
Antara haiwan yang popular menghuni kepulauan Australia seperti yang kita ketahui adalah kangaro. Walaupun ia bukanlah merupakan satu-satunya haiwan yang unik bagi Australia. Ini kerana haiwan-haiwan lain juga merupakan haiwan yang hanya terdapat di sana seperti Beruang Koala, Platypus, Tasmanian Devil, Wombat, Numbat, Quoll, Wallaby dan macam-macam lagi.
Kesemua haiwan ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza sekali dengan haiwan-haiwan yang biasa terdapat di kawasan lain di dunia. Kangaro misalnya mempunyai keunikan di mana ia mempunyai kantung khas untuk membawa anaknya ke mana-mana sahaja sehingga anak tersebut mencapai usia yang selamat untuk berdikari dengan selamat.
Berbanding Platypus pula, ia adalah haiwan yang memiliki persamaan dengan beberapa haiwan lain seperti itik dan memerang. Dengan memiliki muncung seperti itik dan kaki renang yang juga seperti itik, tetapi mempunyai badan dan bulu seperti memerang pula. Mungkin bagi kali pertama anda melihat haiwan ini akan membuatkan anda berfikir, adakah haiwan ini hasil kacuk kedua binatang yang berasingan iaitu itik dan memerang? Atau ia sememangnya adalah haiwan yang dicipta sedemikian rupa bagi menyesuaikan dengan gaya kehidupannya?!.. Selain itu, platypus juga merupakan haiwan yang bertelur untuk membiak! Jadi adakah ia tergolong dalam kumpulan haiwan mamalia atau burung adalah amat merumitkan..
Numbat haiwan unik pemakan anai-anai. |
Berbeza dengan Numbat, yang kurang mendapat perhatian namun tetap unik. Numbat adalah merupakan haiwan pemakan anai-anai atau menyamai ‘anteater’, yang menghuni di kawasan-kawasan lain di dunia. Anteater adalah, haiwan berbulu pemakan anai-anai seperti juga tenggiling di kawasan Asia Tenggara – namun tenggiling adalah bersisik. Perbezaan numbat yang paling ketara adalah, ia lebih mirip kepada tupai berbanding dengan haiwan-haiwan pemakan anai-anai yang lain.
Begitu juga dengan haiwan yang dikenali sebagai ‘bettong’, kerana ia merupakan haiwan yang mirip sekali dengan tikus. Boleh mencapai berat sehingga 2 kg, ia mungkin mempunyai saiz yang agak besar. Memandangkan bettong tinggal di persekitaran liar – tidak seperti tikus yang menyesuaikan diri tinggal di kawasan yang dihuni manusia. Bettong kelihatan lebih bersih dan menarik.
Bettong kelihatan seperti 'Kangaroo Rat'. |
Kebiasaannya, bettong menjadikan serangga- serangga kecil dan pucuk-pucuk tumbuhan sebagai sumber makanan. Selain itu ia juga menjadikan kulat yang tumbuh di dalam tanah sebagai makanan kegemarannya. Haiwan unik ini amat mirip dengan ‘kangaroo rat’, yang biasanya menghuni kawasan gurun. Memiliki bulu berwarna coklat-kelabu dan bahagian bawah yang berwarna putih, ia kelihatan amat comel sekali. Bettong membiak sepanjang tahun, malah dalam masa yang sama ia juga menjadi sumber makanan haiwan-haiwan lain yang menghuni kawasan kepulauan di Australia.
Bilby unik kerana mempunyai telinga seperti arnab. |
Haiwan usik seterusnya dikenali sebagai 'bilby', yang ada di antara spesiesnya dikatakan telah mengalami kepupusan. Bilby merupakan haiwan unik yang mempunyai telinga mirip seperti arnab dan mempunyai ekor panjang dan badan yang lebih tirus. Mempunyai saiz yang lebih panjang (kerana ekornya juga panjang) dan mampu mencapai berat sehingga 2.5 kg. Berbeza dengan kangaroo, kantung bilby mempunyai bukaan ke arah belakang bagi mengelakkan tanah masak kedalam kantung tersebut (bilby tinggal di dalam lubang dan suka menggali tanah).
Bilby merupakan haiwan yang hanya keluar pada waktu malam. Ia juga mempunyai lubang yang digali seperti skru (spiral) sehingga mencapai kedalaman 2 meter. Ia menjadikan haiwan-haiwan kecil dan tumbuhan-tumbuhan lembut sebagai makanan seperti juga bettong. Bilby tidak meminum air kerana mendapat air yang cukup daripada makanannya. Ia boleh membiak sepanjang tahun dan menjaga anaknya di dalam kantung sehingga anaknya mencapai usia yang selamat untuk berdikari.
Quokka haiwan comel yang periang. |
Mari kita lihat pula keunikan haiwan Quokka. Quokka merupakan haiwan yang amat comel dan mesra dengan sesiapa sahaja. Malah haiwan ini juga mendapat jolokan sebagai haiwan yang paling periang! Kejinakan haiwan ini juga merupakan salah satu punca ianya menjadi semakin terancam. Mendiami sebahagian kawasan kecil di Barat Daya Australia dan juga beberapa kepualuan kecil di bahagian Barat. Pulau yang dihuni oleh haiwan ini lebh dikenali sebagai “Rottnest Island” kerana orang menyangka Quokka adalah tikus.
Quokka merupakan haiwan yang aktif pada waktu malam dan mampu mencapai berat sehingga 2.5 ~ 5 kg. dan antara 40 ~ 90 centimeter (ia adalah agak besar). Walaupun ia sememangnya jinak dan akan menghampiri sesiapa sahaja, anda tidak digalakkan untuk mengusik haiwan yang comel ini. Ini kerana perbuatan kita mungkin akan memberikan kesan buruk untuk jangka panjang haiwan comel ini. Benar, sekiranya kita ingin membantu haiwan ini, cara terbaik adalah dengan mengelakkan ia diganggu dari habitatnya ataupun cara hidupnya.
Sekiranya kebanyakan haiwan yang unik di Australia adalah pemakan serangga kecil dan tumbuh-tumbuhan, 'quoll' pula adalah merupakan haiwan pemangsa seperti kucing. Malah ia juga lebih dikenali sebagai ‘Native Cat’ atau ‘Tiger Cat’. Walaupun sebahagian spesies haiwan unik ini turut terdapat di kepulauan berhampiran seperti di Papua New Guinea, ia masih boleh dianggap sebagai salah satu haiwan unik kepulauan Australia.
Saiznya yang sederhana iaitu di antara 25 ~ 75 cm dan berat yang di antara 1.3 ~ 4 kg. bagi spesies yang besar seperti ‘Tiger Quoll’. Rupanya juga agak berbeza daripada kucing biasa, di mana muncungnya adalah lebih panjang disamping warna tompokan pada badannya, manakala pada hujung hidungnya berwarna merah muda kelihatan amat menarik.
Seperti juga kebanyakan haiwan Australia yang lain, ia turut mempunyai kantung yang menempatkan anak-anaknya yang masih kecil sehingga mencapai usia yang sesuai untuk berdikari. Apa yang membimbangkan, quoll juga mengalami ancaman yang disebabkan oleh perpindahan manusia ke Australia. Selain daripada pertambahan penempatan manusia, haiwan-haiwan yang dibawa ke sana juga turut menjadi pesaing dan adakalanya menyebabkan kematian pada haiwan unik ini. Antara haiwan yang di bawa ke sana dan menjadi ancaman kepada quoll ini adalah ‘Cane Toad’ yang beracun dan boleh mengakibatkan kematian haiwan ini.
Itu adalah sebahagian daripada haiwan-haiwan unik yang menghuni bumi Australia. Banyak lagi keunikan-keunikan haiwan dan alam di sana. Mungkin akan dibentangkan di dalam artikel yang lain. Sekiranya anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai keunikan bumi Australia, bolehlah membuat sedikit carian di internet untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut. Semoga dengan ini kita akan lebih menghargai kehidupan sesama makhluk dan mengamalkan sikap saling menghormati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan