Sabtu, 12 April 2014

Perkara Yang Perlu Kita Ketahui Mengenai TV

TV lama
Salah sebuah peti TV lama.

Televisyen (TV) merupakan peralatan yang boleh dikatakan ada hampir di setiap rumah hari ini. Oleh kerana kepesatan teknologi menyebabkan hari ini terdapat pelbagai jenis TV yang disediakan untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna. Namun begitu sebelum kita membeli set TV yang baru beberapa perkara perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan pembaziran.

Tahukah anda yang menukar set televisyen anda yang lama mungkin dapat menjimat bil elektrik anda? Ia merupakan satu perkara yang penting mengapa kita perlu menukar peti TV dengan jenis TV yang baru kerana ia jauh menjimatkan dari segi penggunaan tenaga elektrik. TV dari jenis Plasma dan LED menggunakan tenaga elektrik yang lebih rendah (dengan keluasan skrin yang sama) berbanding peti TV yang lama menggunakan CRT (Cathode Ray Tube). Namun begitu TV LED adalah lebih menjimatkan berbanding TV Plasma dan mempunyai kualiti gambar yang lebih baik – dengan nisbah contrast yang tinggi.

HD TV
LED TV bukan sahaja nipis malah mempunyai gambar yang lebih menarik.

Teknologi TV lama yang menggunakan CRT bukan sahaja mempunyai saiz yang besar dan berat malah memerlukan voltan tinggi untuk membolehkan ia menghasilkan gambar pada permukaan skrin. Oleh kerana peti TV lama mempunyai litar ber-voltan tinggi, ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya cuba dibaiki oleh seorang yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang membaiki TV. Bagi TV warna pula ia mempunyai 3 senapang elektron untuk menghasilkan tiga cahaya utama (primer) iaitu merah, hijau dan biru.

Manakala TV yang baharu seperti TV plasma dan LED dihasilkan melalui teknologi yang jauh berbeza. Ia sama seperti skrin telefon anda cuma saiznya yang lebih besar. Selain daripada mempunyai skrin yang lebih rata ia juga membolehkan fail video dengan format komputer (seperti .avi, .mp4, .flv, . mpg, .mov, .wmv, .3gp dan sebagainya) dimainkan terus – mengikut keserasian peralatan yang telah diprogramkan. Ini menjimatkan lagi kos bagi mengurangkan peralatan tambahan seperti set pemain pita video untuk TV CRT yang lama.

Set TV yang baru juga mempunyai kelebihan untuk digunakan dengan set peralatan yang baru seperti decoder TV satelit dan kabel TV. Peralatan-peratalan lain seperti pemain cakera BlueRay dan set permainnan video games seperti Sony Playstation atau Xbox boleh disambung dengan mudah. Malah anda juga boleh menggantikan paparan komputer dengan menjadikan TV anda sebagai skrin paparan – untuk mendapatkan paparan yang lebih luas.

Resolusi TV
Perbezaan resolusi TV.

Namun begitu kemajuan teknologi TV ini juga berkembang dengan cepat dan semakin banyak teknologi baru diperkenalkan seperti 4K TV dan akan datang ialah 8K TV. Adalah dinasihatkan supaya anda tidak terlalu cepat menukar set TV anda berikutan teknologi ini masih belum disediakan untuk kegunaan umum – masih kurang bahan video atau saluran yang menyediakan rancangan dalam format ini. Namun begitu anda berlu besedia kerana suatu masa nanti kita juga perlu bertukar kepada teknologi semasa.

Jadi buatlah keputusan yang boleh memberikan anda faedah jangka panjang dari segi penjimatan tenaga yang digunakan juga perbelanjaan yang perlu anda keluarkan untuk memenuhi keperluan hiburan ataupun pekerjaan

MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog