Sotong gergasi seperti yang biasa digambarkan. |
Sotong gergasi bukanlah satu perkara baru yang diperkatakan malah telah lama diceritakan sebagai lagenda rakyat ratusan atau mungkin ribuan tahun dahulu. Selain daripada sotong gergasi ini beberapa haiwan ganjil yang lain turut mendapat perhatian di dalam cereka rakyat antaranya adalah ikan duyung, naga, garuda, kuda bertanduk dan berbagai lagi. Walaupun dalam kecanggihan dunia moden hari ini kita masih lagi tidak mampu membuktikan kesahihan kewujudan makhluk-makhluk ganjil ini tetapi sebahagiannya telah mula dikesan.
Oleh kerana keterbatasan teknologi di zaman dahulu kala tiada bukti kukuh yang dapat menjawab kenyataan kewujudan makhluk ini, apapun bukti-bukti kewujudan samada terdapat di dalam cerita-cerita rakyat ataupun lukisan yang menceritakan penemuan tersebut. Bukti sahih seperti penemuan rangka ataupun gambar adalah lebih mudah diterima, walaupun hari ini bukti gambar juga perlu diperiksa secara terperinci kerana ia juga mudah dimanipulasi demi kepentingan sesetengah pihak. Sehubungan itu kajian daripada para saintis (yang bertujuan mencari kesahihan tanpa perlu membenarkan atau sebaliknya) adalah lebih penting bagi menjawab persoalan seperti ini.
Salah satu gambar awal yang berjaya diambil. |
Pencarian sotong gergasi sebenarnya bukanlah suatu perkara yang baru, bagaimanapun penemuan terhadap bukti kewujudan sotong gergasi ini telah membuahkan hasil setelah puluhan tahun usaha dijalankan. Walaupun penemuan terhadap sotong gergasi pernah direkodkan sejak ratusan tahun dahulu bukti-bukti terbaru dan maklumat mengenainya hanya dikongsi kepada orang ramai hanya beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 30 september 2004, dua orang pengkaji iaitu Tsunemi Kubodera dari ‘NationalScience Museum of Japan’ bersama dengan Kyoichi Mori dari ‘Ogasawara WhaleWatching Association’ telah berjaya merakamkan imej pertama sotong ini di habitat asal mereka. Sejumlah gambar lain disebarkan setahun kemudian (556 keping). Apa yang lebih menarik pada Julai 2012 NHK dan Discovery Channel telah bekerjasama dalam menghasilkan pengambaran mengenai sotong gergasi ini di habitatnya di Chichi-Jima dan ditayangkan untuk tatapan orang ramai pada Januari 2013.
Apa yang membawa mereka kepada kejayaan membuat rakaman ini adalah dengan mengekori kumpulan ikan paus yang lebih dikenali sebagai ‘sperm whale’ iaitu spesis ikan paus yang diketahui menjadikan spesis sotong ini sebagai makanan mereka. Kesan pergelutan antara sotong gergasi ini dan ikan paus kelihatan pada permukaan kulit ikan paus. Selain itu juga ia boleh dijumpai dalam perut ikan paus yang telah mati. Melalui bukti-bukti inilah kedua-dua pengkaji ini membuat andaian dan mengekori kumpulan ikan paus tersebut untuk menjejaki sotong ini di habitat mereka.
Diorama yang terdapat di Hall of Ocean Life di 'American Museum of Natural History'. |
Dalam usaha mereka menjejaki sotong ini mereka mengekori kumpulan ‘sperm whale’ sehingga jarak 970 km (600 mi) dari pantai dan tali pancing yang mampu mencapai kedalaman 900 meter (3000 kaki) telah digunakan. Tali pancing yang juga dilengkapi dengan umpan itu disertakan bersama peralatan kamera serta ‘flash’. Mereka hanya berjaya merakamkan hasil mereka setelah 20 kali percubaan untuk mendapatkan hasil gambar sotong gergasi mereka yang pertama.
Terdapat juga spesis lain sotong yang mencapai saiz yang lebih besar yang dikenali sebagai ‘colossal squid’ dan mempunyai tentikal yang lebih pendek berbanding sotong gergasi atau juga dikenali sebgai ‘Architeuthis’ ini. Sotong ‘colossal’ pernah ditangkap oleh nelayan di New Zealand pada tahun 2007 dan ia mencapai berat sekitar 1,000 pound. Mungkinkah terdapat sotong lain yang lebih besar atau masih belum ditemui?
Memandangkan saiz lautan yang lebih luas berbanding daratan dan manusia masih belum mampu meneroka pada kedalaman yang ekstrim (2,000 hingga 3,000 kaki) maka banyak kemungkinan yang masih belum kita ketahui. Apa yang menarik semakin ramai yang sedar bahawa apa yang kita ketahui mengenai lautan hari ini masih lagi terlalu sedikit bukan sahaja dari segi hidupan malah tinggalan sejarah di dasar laut juga semakin banyak yang ditemui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan