Halaman

Rabu, 26 Mac 2014

Perkara Menarik Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Buluh

Rumpun Buluh
Rumpun buluh meneduh dan menyamankan.

Buluh merupakan satu tumbuhan yang penting kepada masyarakat Asia dalam kehidupan harian mereka. Ini bermakna buluh digunakan hampir setiap hari dalam kehidupan mereka. Bagaimana pula hari ini adakah buluh masih dianggap penting, atau ia semakin dilupakan?

Dalam kehiduan asli masyarakat Asia buluh memainkan peranan penting sebagai bahan yang digunakan untuk tujuan pembinaan, peralatan harian, memasak, barangan, perhiasan malah juga menjadi sumber makanan. Walaupun hari ini sebahagian fungsi buluh masih digunakan seperti masakan rebung buluh, namun ia semakin dilupakan – mungkinkah ada di antara kita yang tidak mengenali pokok buluh?

Terdapat pelbagai jenis buluh, daripada yang kecil dan dijadikan hiasan hinggalah kepada yang besar dan lebih digunakan untuk membuat rerangka dalam pembinaan bangunan seperti di negara-negara India dan China. Pokok buluh yang biasa dijadikan hiasan adalah bersaiz lebih kecil, rimbun dan tidak merebak terlalu luas – biasanya ini juga dikawal dengan mengawal jumlah buluh yang tumbuh. Buluh yang biasanya dijadikan hiasan taman adalah seperti buluh kuning dan spesis-spesis buluh-buluh kecil. Selain daripada menyediakan bahagian yang redup akar buluh juga dapat menguatkan struktur tanah kerana akarnya yang rapat – sesuai untuk bahagian tebing curam atau kolam.

  • Antara jenis-jenis buluh terdapat di Malaysia adalah seperti berikut;
  • Buluh akar
  • Buluh batu (buluh tumpat)
  • Buluh betong
  • Buluh Cina
  • Buluh duri
  • Buluh kasap
  • Buluh lemang
  • Buluh minyak (buluh padang)
  • Buluh peleting
  • Buluh perindu
  • Buluh sembilang

Nama-nama buluh juga berbeza mengikut daerah. Hanya mereka yang biasa dengan buluh sahaja dapat mengenalpasti buluh dan jenis-jenisnya. Perbezaan yang paling mudah dalam membezakan antara jenis-jenis buluh adalah saiz dan bentuk rumpunnya.

Buluh Dan Makanan

Kukus Buluh
Kukus buluh.

Sebagai bahan makanan bahagian buluh yang menjadi hidangan kepada manusia adalah rebungnya. Masakan rebung ini juga terkenal di negara-negara Asia yang lain seperti China, Jepun, Australia dan Asia Tenggara yang sememangnya mempunyai kaitan yang rapat di antara kita. Apa yang berbeza dalam kaedah masakan masyarakat yang lain, rebung mungkin tidak perlu dimasam kan seperti mana yang biasa dilakukan oleh orang-orang Melayu. Walaupun hampir kesemua rebung buluh boleh dimakan, terdapat jenis rebung yang lebih lembut berbanding yang lain seperti ‘rebung manis’. Rebung jenis ini sesuai dimasak terus tanpa proses pemasaman (peram).

Batang buluh juga digunakan untuk memasak makanan seperti ‘lemang’ atau ‘putu bambu’. Masyarakat Cina pula menggunakan daun buluh untuk membungkus makanan sebelum di masak. Bekas kukus juga boleh dibuat menggunakan buluh seperti yang biasa digunakan oleh masyarakat Cina. Kukus buluh dapat mengekalkan haba selain daripada menambah aroma kepada bahan masakan.

Buluh Dan Perhiasan

Gazebo Buluh
Gazebo daripada buluh sangat sesuai untuk istirehat.

Sebagai bahan perhiasan buluh mudah digunakan untuk membuat perkakas-perkakas seperti tabung, bekas air, bakul-bakul malah juga perabot. Industri perhiasan buluh merupakan antara yang paling popular bagi menjana pendapatan bagi penduduk kampung yang mempunyai sumber buluh yang mencukupi. Buluh juga boleh dianyam untuk membuat bahan perhiasan kecil seperti raga bunga hiasan atau bakul sebagai bekas untuk cenderahati majlis perkahwinan. Buluh yang disediakan dengan teliti dan diwarnakan tentu dapat menghasilkan barangan perhiasan yang juga cantik.

Begitu juga buluh digunakan untuk menghasilkan barangan perabut. Seperti juga rotan buluh digunakan untuk menghasilkan kerusi dan meja ruangan rehat. Perkakasan buluh juga dapat menimbulkan suasana yang lebih bersifat semulajadi atau ‘alami’. Buluh sering digunakan untuk membuat pangkin dan juga ‘gazebo’. Proses penyediaan buluh yang lebih mudah berbanding kayu (dari pokok ke papan), menjadikan ia bahan yang lebih ringkas dan pantas untuk digunakan sebagai bahan binaan.

Buluh Dan Kehidupan Harian

Bubu perangkap ikan
Bubu antara peralatan yang dibuat menggunakan buluh.

Buluh juga digunakan dalam aktiviti-aktiviti harian lain terutamanya dalam aktiviti menjana sumber pendapatan. Batang buluh dengan mudah boleh digunakan sebagai pancing. Buluh juga digunakan untuk membuat perangkap ikan seperti lukah dan bubu. Malah serkap juga dibuat menggunakan buluh. Buluh dan rotan sering digandingkan di mana rotan digunakan sebagai bahan pengikat.

Bagi menyediakan sangkar/ jebak burung juga buluh digunakan disamping pelepah bertam. Buluh yang dipotong dengan cermat  dan diraut, kemudian dicucuk melalui batang bertam yang memegang bilah buluh tersebut yang membentuk dinding sangkar. Malah bilah-bilah buluh juga digunakan dalam penyediaan ‘satay’.  Penggunaan bilah buluh ini digunakan juga sebagai batang bunga telur, pencucuk bebola ikan atau ‘nugget’ di pasar-pasar malam. Batang pencungkil gigi juga turut dihasilkan menggunakan buluh. Begitu juga penyepit makanan segera menggunakan buluh bagi mengurangkan kos bahan.

Bahan hiburan lain yang dihasilkan menggunakan buluh antaranya adalah wau. Buluh yang diraut digunakan sebagai tetulang bagi menyokong badan wau untuk membolehkannya terbang apabila ditiup angin. Buluh mudah dilentur dan lebih ringan apabila kering. Ini menjadikan ia sesuai digunakan untuk tujuan ini.


Begitulah antara sebahagian kecil fungsi buluh dalam kehidupan seharian masyarakat dahulu. Maka tidak hairanlah sekiranya masyarakat dahulu seringkali mengabadikan buluh di dalam karya-karya seni mereka. Selain daripada pohonnya yang menghijaukan pandangan dan menguatkan lagi tebing kolam-kolam, banyak lagi jasa buluh dalam kehidupan masyarakat. 


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan