LECA - kaedah penanaman yang mudah - hanya pastikan paras air mencukupi. |
Tanah merupakan medium penting untuk penanaman pokok dimana selain menyediakan sokongan kepada pokok ia juga mebolehkan akar pokok menjalar masuk ke dalam tanah untuk mendapatkan air. Kajian yang dilakukan oleh para saintis, petani dan orang ramai kini memahami, tanah bukanlah merupakan faktor utama yang membantu pokok untuk tumbuh dan berbuah. Jadi bagaimana kita boleh menanam pokok tanpa menggunakan tanah?
Ada beberapa perkara yang penting bagi tumbuhan untuk terus hidup dengan subur dan berbuah. Faktor-faktor inilah yang membolehkan tumbuhan untuk terus membesar antaranya:
- Air – kelembapan, bahan untuk mengangkut zat makanan dalam pokok.
- Cahaya – membolehkan tumbuhan menjalankan fotosintesis.
- Zat makanan – (baja) membolehkan tumbuhan terus hidup subur.
Jadi tumbuhan boleh terus hidup tanpa sebarang masalah selagi ketiga-tiga perkara di atas dapat dibekalkan kepadanya. Maka, tanah bukanlah merupakan perkara yang menyediakan keperluan asas tetapi adalah sebagai sokongan. Inilah yang membolehkan tanaman ditanam walaupun tanpa tanah.
Teknologi tanaman yang dinamakan ‘hydroponics’ bukanlah satu perkara yang baru dan kaedah-kaedah terbaru terus dihasilkan bagi memastikan kita dapat menanam tumbuh-tumbuhan walau di mana sekalipun kita tinggal. Kaedah penanaman ‘hydroponics’ yang diperkenalkan dahulu memerlukan sistem yang mengandungi ‘pam air’ serta penyambungan paip yang mungkin mendatangkan sedikit kesukaran bagi mereka yang sibuk untuk mencuba.
Lucky Bamboo yang ditanam di dalam air dan batu. |
Kaedah penanam ‘hydroponics’ hari ini menggunakan bahan gantian kepada tanah seperti;
- Serat – serat kelapa, serat-serat lain
- LECA – bebola tanah liat
- Perlite – sejenis serpihan batuan
Ketiga-tiga bahan ini dapat menggantikan tanah kerana ia menyediakan ruang-ruang untuk air mengalir dengan bebas disamping menyediakan sokongan kepada akar tumbuhan untuk menjalar bagi menyerap air dan zat makanan yang terkandung di dalam air. Di sini terdapat bahan yang boleh diperolehi secara semulajadi seperti serat kelapa atau serat lain daripada tumbuh-tumbuhan apabila tumbuhan mati misalnya. Bahan ini dapat menyimpan lembapan yang cukup untuk tumbuhan disamping aliran udara juga amat baik.
Bahan lain seperti LECA dan perlite juga berasal dari sumber semulajadi, namun telah melalui proses untuk memastikan ia berfungsi sebagai gantian kepada tanah tanpa mengalami perubahan seperti menjadi padat, bertukar bentuk dan bertukar sifat.
Penggunaan 'coco peat' dalam teknik tanaman tanpa tanah. |
Kaedah penanaman ‘hydroponics’ ringkas hanyalah menggunakan bekas yang digunakan untuk mengisi medium tanaman dan kemudiannya air yang mengandungi zat makanan (baja) diisikan bagi memastikan akar tumbuhan mendapat air secukupnya. Cara ini lebih mudah kerana anda hanya perlu memastikan air berada pada paras yang sesuai. Tiada pam air ataupun pemasangan elektrik diperlukan.
Kesesuaian pokok yang ditanam juga boleh disesuaikan dengan kaedah tanaman yang anda gunakan. Pokok yang tidak begitu tinggi mungkin lebih mudah untuk ditanam manakala pokok yang tinggi mungkin memerlukan sedikit sokongan – kerana medium tanaman ini tidak sekuat tanah dalam menyokong pokok yang tumbuh di dalamnya. Jadi tanaman kecil seperti sawi, kobis, bawang, lobak, salad adalah antara tanaman yang baik ditanam. Pokok yang memerlukan sokongan adalah seperti cili, tomato, kacang panjang, terung, timun dan pokok yang mempunyai ketinggian yang lebih.
Penanaman tumbuhan tanpa menggunakan tanah ini telah membolehkan kita menanam tumbuh-tumbuhan walaupun kita tinggal di rumah flat misalnya ataupun menanam sedikit pokok sebagai hiasan di dalam pejabat. Apa yang penting sebelum anda mencuba kaedah ini, anda perlulah mempelajari serba sedikit mengenai kaedah penanaman pokok dan perkara-perkara asas yang diperlukan untuk pokok hidup dengan sihat dan subur. Apa yang penting, teruskan mencuba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan