Halaman

Isnin, 31 Mac 2014

Pelaris Perniagaan Yang Perlu Dimiliki

Cafe premise
Premis perniagaan yang bersih sentiasa menjadi pilihan pelanggan.

Pelaris bukanlah asing dalam dunia perniagaan samada dalam dunia perniagaan klasik ataupun dunia perniagaan moden. Sebenarnya apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah mengenai pelaris yang boleh dilakukan oleh semua peniaga dan tiada kaitan dengan penggunaan sihir ataupun ilmu hitam.

Dunia perniagaan sememangnya penuh dengan cabaran namun begitu terdapat 1001 cara untuk kita melariskan perniagaan. Terdapat kaedah yang boleh dilakukan walau dimana sekalipun tahap kemampuan perniagaan anda. Bagi kemudahan semua, di sini kita akan lihat dari sudut perniagaan makanan dimana ia merupakan perniagaan yang paling ramai diceburi oleh peniaga-peniaga Melayu Bumiputra.

Produk Berkualiti


Perkara yang paling utama dalam semua perniagaan tentulah berkaitan dengan produk yang baik. Untuk mencapai ke tahap ini peniaga perlulah memastikan barangan yang dihasilkan dalam keadaan yang selamat untuk pengguna. Barangan yang berkualiti memastikan pelanggan datang semula ke premis perniagaan kita. Penggunaan bahan yang sentiasa dipantau bagi mengelakkan kualiti barangan yang rosak. Jangan ambil risiko dengan memberikan pelanggan barangan yang kurang berkualiti – peliharalah/hargailah kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kepada anda.

Produk berkualiti juga merujuk kepada produk yang menjadi ‘trademark’ perniagaan anda. Jagalah kualiti produk anda dari segi kualiti dan rasa. Elakkan anda hanya menghidangkan produk yang sama seperti 10 kedai lain yang sebaris dengan anda. Namun begitu juga produk anda berkualiti ia masih boleh mengatasinya. Anda juga bertanggungjawab memastkan segala bahan dan produk yang dihasilkan mengikut standard anda sendiri. Jadi jangan abaikan tanggungjawab utama ini.

Kebersihan

clean cafe
Premis yang bersih menambahkan keselesaan.

Pastikan kebersihan premis anda sentiasa dalam keadaan baik. Sediakan kemudahan untuk pekerja membuat kerja-kerja pembersihan setiap beberapa jam. Gunakan kaedah yang tidak mengganggu pelanggan. Pastikan juga troli, penyapu, baldi atau bekas yang digunakan pekerja untuk kerja-kerja pembersihan itu juga bersih. Pelanggan amat menyukai premis yang bersih. Mereka juga merasa lebih dihargai.

Gunakan pembersih yang sesuai dengan keadaan di premis anda. Bahan pembersihan untuk premis perniagaan biasanya berbeza dengan yang digunakan di rumah. Gunakan juga bahan pembunuh kuman bagi mengelakkan jangkitan ke dalam makanan serta serangga perosak. Amalkan kerja-kerja pembersihan untuk keseluruhan premis setiap kali membuka dan menutup perniagaan dan anda akan mendapati kerja-kerja pembersihan akan menjadi lebih mudah berbanding sekiranya hanya dilakukan sekali-sekala.

Kebersihan Pengendali


Kebersihan para pekerja juga penting samada yang berada di bahagian hadapan ataupun melakukan kerja-kerja memasak di bahgian belakang premis. Pastikan para pekerja mengenakan pakaian yang bersih semasa datang ke tempat kerja. Adalah lebih baik sekiranya anda menyediakan baju seragam kerana ia melambangkan kesungguhan perniagaan anda. Bekalkan juga apron yang bersih bagi pekerja-pekerja di dapur bagi mengelakkan pakaian menjadi kotor.

Pastikan pekerja mengamalkan penjagaan kebersihan sepanjang masa dan mengetahui kaedah pengendalian makanan yang betul. Sediakan tempat dan pencuci tangan khas bagi pekerja membersihkan tangan sebelum menyentuh apa-apa bahan makanan.  Pastikan juga kuku pekerja yang mengendalikan proses memasak sentiasa pendek dan bersih. Sekiranya perlu tekankan aspek-aspek kebersihan diri menyeluruh seperti penjagaan rambut, kumis dan sebagainya.

Layanan

layanan customer
Senyuman kepada pelanggan menjalinkan hubungan baik, juga sebagai tanda terima kasih.

Layanan merupakan perkara yang utama dinilai pelanggan. Ini mungking kerana mereka tidak berpeluang untuk melihat keadaan di dapur tempat memasak makanan. Malah ia merupakan sebab utama mengapa ramai pelanggan memilih untuk ke kedai mamak kerana layanannya yang cepat – walaupun kualiti makanan dan layanan tidaklah begitu istimewa.

Pastikan anda menyediakan pekerja yang cukup untuk memberikan layanan yang pantas. Elakkan pelanggan menunggu terlalu lama untuk membuat pesanan ataupun menerima tempahan makanan. Masa adalah penting bagi semua orang jadi mereka amat menghargai sekiranya anda menghargai masa mereka.

Latihlah perkerja untuk memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan. Jangan bergaduh dengan pelanggan dan sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik apabila terdapat sebarang krisis. Gunakan bahasa yang baik semasa berada di premis. Ini akan melatih pekerja untuk sama-sama menggunakan bahasa yang baik kepada pelanggan.

Ambil inisiatif untuk mengenali pelanggan anda dengan lebih rapat. Pelanggan amat berbesar hati apabila anda mengenali mereka dan mungkin akan terkejut sekiranya anda boleh mengingati nama mereka. Hubungan inilah yang menjalinkan hubungan yang baik antara anda dan pelanggan-pelanggan setia.

Keceriaan


Hiaslah premis anda dengan baik sesuai dengan tema premis anda. Selain daripada memberikan ketenangan kepada pelanggan, ia juga memberikan keyakinan bagi pelanggan-pelanggan baru. Adakalanya perhiasan ini tidaklah memerlukan perbelanjaan yang besar, cuma elakkan keadaan yang berserabut.

Bagi menambahkan seri premis, anda mungkin juga boleh menambah sedikit muzik yang sesuai atau tontonan seperti TV (sekiranya bersesuaian). Namun begitu muzik adalah lebih baik – kerana ia akan memberikan suasana yang aman kepada para pelanggan dengan pilihan muzik yang betul.

Periksa juga kerusi dan meja anda supaya bersih dan dalam keadaan yang selamat. Ini kerana anda tentu tidak mahu pelanggan anda tercedera semasa menikmati hidangan mereka.

Servis Tambahan

Jangan takut untuk memberikan sedikit kelebihan kepada pelanggan anda.

Servis tambahan boleh memberikan anda sedikit kelebihan berbanding dengan premis-premis yang lain. Jadi sekiranya berkemampuan jangan takut untuk menyediakan servis tambahan seperti Wi-Fi, kemudahan surau, tandas dan sebagainya. Servis tambahan ini bergantung kepada kemampuan anda. Namun pada pelanggan sedikit kelebihan ini adalah amat penting.


Itu adalah beberapa pelaris mudah yang perlu ada kepada setiap premis perniagaan. Sekiranya anda tidak mengambil serius tantang perkara-perkara ini maka janganlah anda fikir pelanggan akan tertarik ke premis anda. Lebih malang lagi sekiranya berlaku kes-kes seperti keracunan makanan yang boleh mengakibatkan premis anda ditutup. Ambillah langkah awal dan kekalkan bagi kebaikan semua iaitu pelanggan dan perniagaan anda sendiri. Tunjukkan kesungguhan anda dan pastinya pelanggan akan menghargainya.



Free Download





Tiada ulasan:

Catat Ulasan