Persembahan 'cak lempong' kembali popular untuk majlis-majlis. |
Hiburan merupakan
elemen yang penting di dalam kehidupan terutama bagi menyerikan lagi sesebuah
majlis keramaian samada kenduri kendara mahupun sambutan sesuatu majlis.
Mungkin kita tidak menyangka terdapat banyak pilihan hiburan yang boleh
membantu kita membangkitkan kemeriahan majlis yang bakal kita adakan nanti.
Memandangkan
negara kita yang kaya dengan pelbagai masyarakat dan budaya, sudah semestinya
mempunyai kepelbagaian bentuk hiburan yang boleh kita persembahkan kepada para
tetamu bagi menyerikan sesuatu acara yang ingin dijalankan. Mahupun acara
berbentuk kesenian, keramaian, perayaan, meraikan kejayaan atau majlis sambutan
kelab dan sebagainya. Semunya hanya bergantung kepada kreativiti anda bagi
menyelitkan hiburan yang sesuai dengan majlis-majlis yang ingin diadakan.
Hiburan Mudah Masa Kini
Peralatan yang mudah kendali merupakan kelebihan mengapa hiburan 'karaoke' ini menjadi pilihan utama dalam majlis. |
Bagi mendapatkan
satu hiburan yang ringkas dan mudah, hari ini dapat kita saksikan kebanyakan
majlis menyediakan sedikit hiburan muzik dan ‘karaoke’ bagi menghiburkan para
tetamu. Maka dengan cara ini tetamu merasa lebih seronok berada di dalam majlis
tersebut dan adakalanya menjadi bahan gurauan sanak-saudara yang hadir.
Penyediaan bentuk
hiburan dengan cara ini merupakan yang paling mudah dan ringkas memandangkan ia
hanya perlu dikendalikan oleh kakitangan yang sedikit dan peralatan yang mudah
dikendalikan. Kebiasaanya kos untuk mendapatkan perkhidmatan ini juga
berpatutan. Apa yang diperlukan adalah sistem P.A. yang sesuai, beberapa
monitor, sistem pembesar suara yang bersesuaan dan koleksi lagu-lagu yang
bersesuaian dengan majlis (mungkin juga para tetamu).
Hiburan Bersifat Kebudayaan
Dondang sayang merupakan hiburan berunsur 'rakyat', yang amat popular satu masa dahulu. |
Hiburan-hiburan
berbentuk kebudayaan juga semakin mendapat perhatian semula. Terdapat semakin
banyak kumpulan kebudayaan yang dijemput untuk menyerikan lagi majlis-majlis
terutamanya perkahwinan. Kumpulan-kumpulan seperti ‘cak lempong’, ‘tumbuk
kalang’, ‘tarian naga’ dan lain-lain corak hiburan kebudayaan mengikut bangsa
yang kembali diminati. Malah dalam situasi kita hari ini ia turut diminati oleh
pelbagai bangsa di dalam masyarakat.
Persembahan
kebudayaan ini memerlukan bukan sekadar peralatan malah mereka yang benar-benar
berkemahiran mengenai selok-belok sesuatu seni tersebut. Ia merupakan nilai
yang penting untuk dipertahankan. Seperti yang kita lihat pengetahuan mengenai
budaya ini semakin hari semakin berkurangan , jika usaha untuk
mempertahankannya tidak dilakukan mungkin satu hari nanti ia akan terus
dilupakan.
Bagi persembahan
berbentuk budaya. Banyak perkara-perkara tersirat berbanding yang tersurat disampaikan
– dan ini memerlukan pemerhatian yang teliti dari para penonton bagi
menghuraikan pengajaran-pengajaran yang diselitkan. Dalam persembahan ‘dondang
sayang’ misalnya, sindiran atau teguran disampaikan dalam bentuk pantun yang disusun
dalam perkataan penuh berkhemah. Disamping itu juga kepantasan penyampai dalam
menyusun susunan isi lagu juga memerlukan kemahiran yang tinggi.
Elemen hiburan
ini terdapat bagi semua kaum. Bagi masyarakat ia digunakan sebagai masa yang
digunakan untuk bersama-sama berehat setelah penat bekerja untuk sesuatu
majlis. Biasanya ia diadakan setelah menuai, gotong-royong beramai-ramai atau
melepaskan penat setelah selesai majlis sesebuah kenduri. Ia merupakan satu
tanda meraikan/terima kasih bagi mereka yang sama-sama membantu.
Itu adalah secara
ringkas mengenai hiburan bagi majlis-majlis yang sering diadakan – paling umum
adalah majlis perkahwinan yang biasanya menyertakan elemen hiburan paling tidak
karaoke bagi menghiburkan para tetamu dan sanak saudara. Mungkin kita boleh
mempelbagaikan elemen ini disamping sama-sama memelihara unsur-unsur budaya
yang semakin dilupakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan