Halaman

Rabu, 12 Mac 2014

Dunia Canggih Hari Ini Adalah Hasil Penemuan Dahulu

electronics circuit
Kepesatan teknologi hari ini membolehkan pelbagai rekaan baru dicipta.

Hasil kecanggihan dunia moden kita hari ini adalah dikecapi berdasarkan penemuan dahulu yang membolehkan lebih banyak barangan yang lebih baik dicipta. Jika kita amati kesemua peralatan moden adalah berdasarkan penemuan asal ataupun bergantung kepada penemuan terdahulu seperti elektrik, motor, telefon, radio dan sebagainya.

Saya begitu tertarik dengan penemuan penghasilan tenaga elektrik kerana kalau diamati dengan terperinci, tidak banyak perbezaan kaedah penghasilan tenaga elektrik sejak dahulu sehinggalah sekarang. Walaupun hari ini tenaga elektrik dapat dihasilkan dengan pelbagai cara ianya masih bergantung kepada tiga perkara utama;

i) Penjanaan menggunakan dinamo (aruhan magnet).

ii) Penjanaan menggunakan bahan kimia (seperti bateri).

iii) Penjanaan menggunakan cahaya (seperti panel solar).

Penjanaan menggunakan dinamo (aruhan magnet)

nuclear reactor
Penggunaan dinamo (generator) pada loji nuklear.

Walaupun hari ini kita mampu menjana tenaga elektrik daripada tenaga nuklear misalnya, ia juga adalah bergantung kepada penggunaan dinamo juga, di mana konsep asas penjanaan elektrik masih digunakan. Begitu juga penghasilan elektrik menggunakan empangan hidro, ataupun yang menggunakan arang batu sebagai sumber bahan api. Jadi pada asasnya penghasilan tenaga elektrik utama pada masa ini masih lagi menggunakan kaedah lama iaitu dinamo.

Penjanaan menggunakan bahan kimia (seperti bateri)

nerve impuls
Isyarat dihantar dalam bentuk elektrik pada sel saraf.

Penjanaan menggunakan bateri pula adalah berilhamkan kepada sistem saraf hidupan/manusia. Perkara ini ditemui oleh seorang saintis Itali bernama Luigi Galvani secara tidak sengaja semasa membuat eksperimen ke atas katak dan ianya telah dimajukan oleh Alessandro Volta. Maka tidak hairanlan mengapa tenaga elektrik diukur dalam unit Volt.

Sistem saraf menghantar isyarat dalam bentuk elektrik berhubung di antara saraf-saraf ke otak dan juga ke bahagian-bahagian untuk memberikan tindakbalas. Kaedah penghasilan elektrik inilah yang membawa kepada terciptanya tenaga elektrik menggunakan bateri (tindakbalas kimia). Sehingga kini kaedah penjanaan elektrik menggunakan bateri juga telah dipelbagaikan seperti sel kering biasa, sel basah (bateri kereta), sel yang boleh di cas semula, batery jam tangan dan bateri untuk kegunaan tertentu (seperti jantung tiruan).

Penjanaan menggunakan cahaya (seperti panel solar)

Solar panel on the roof
Panel solar yang dipasang pada bumbung.

Penjanaan menggunakan tenaga solar pula adalah diilhamkan daripada proses fotosistesis daripada tumbuh-tumbuhan. Penukaran tenaga cahaya dalam penghasilan makanan oleh tumbuh-tumbuhan memberikan sedikit sebanyak panduan bagaimana tenaga cahaya daripada matahari boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Teknologi solar hari ini mampu dihasilkan dengan bahan yang lebih murah dan lebih efisyen. Ini bermakna lebih banyak tenaga elektrik dapat dihasilkan untuk setiap keluasan cahaya yang digunakan. Tenaga solar sering digunakan untuk peralatan seperti kalkulator, jam, lampu taman, pemanas air dan sebagainya. Hari ini dengan kepesatan teknologi solar ia turut digunakan untuk menjana tenaga elektrik bagi kegunaan bangunan-bangunan dan juga keseluruhan isi rumah. Terdapat juga penghasilan tenaga solar dalam skala yang lebih besar dilakukan.


Jadi bagi anda yang meminati dunia inovatif adakalanya perlu memandang ke belakang untuk memastikan ruang yang masih perlu diperbaiki. Sememangnya banyak lagi perkara yang perlu ditemui dan mungkin ia berada di sekeliling kita setiap hari. Melalui pengamatan, penghayatan beserta ketekunan mungkin suatu hari anda akan menemui pula perkara-perkara baru yang boleh membawa kepada perubahan gaya hidup manusia. 



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan