Pelan perlindungan kewangan membantu disaat memerlukan. |
Pengurusan dana kewangan dengan menyediakan
pelan kecemasan seperti pelan perlindungan Takaful dapat membantu disaat-saat anda
memerlukan. Walaupun pelan perlindungan kewangan seperti insurans konvensional
mahupun takaful telah lama berada di pasaran namun tahap kesedaran dan
pendidikan masyarakat umum mengenai pelan-pelan ini masih lagi di tahap yang
asas.
Pelan kewangan seperti ini sebenarnya
bertujuan membantu anda sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini
dan mengelakkan anda daripada berhadapan dengan krisis kewangan yang tidak
terduga. Ia juga mungkin mengakibatkan masalah berlanjutan kepada para pewaris,
perniagaan atau anda sendiri.
Pelan perlindungan kewangan Takaful
mematuhi beberapa prinsip dalam urusniaganya. Ini menjadikan ianya sedikit
berbeza daripada insurans konvensional. Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti
berikut:
Takaful Ikhlas antara syarikat terawal menawarkan pelan perlindungan Takaful. |
1) Anda mestilah mempunyai kepentingan
kewangan yang sah dalam subjek yang berkenaan untuk menyertai pelan Takaful.
Ini merupakan prinsip asas pelan perlindungan.
2) Kontrak Takaful adalah berdasarkan
prinsip penuh percaya mutlak (amanah) yang memerlukan anda mendedahkan semua
maklumat semula yang berkaitan. Anda perlu jelas mengenai perkara ini kerana
perlindungan anda boleh dibatalkan sekiranya maklumat yang diberikan adalah
tidak lengkap/tidak tepat.
3) Anda hanya boleh memporolehi nilai
kerugian kewangan anda dan bukan mendapat keuntungan berikutan sesuatu kerugian
yang boleh ditentukan nilainya. Sebagai contoh nilai kenderaan anda hanya akan
dibayar mengikut nilai kerosakan atau jumlah harga semasa dan bukan melebihi
daripada nilai tersebut. Katakan nilai kereta anda adalah RM 30,000.00, maka
jumlah kerugian maksima yang akan ditanggung hanyalah RM 30,000.00 dan tidak
boleh melebihinya.
4) Dalam menentukan pampasan, pengendali Takaful
akan mengenal pasti punca kerugian tersebut. Iaitu satu siasatan akan dijalankan
bagi membuktikan tiada unsur-unsur penipuan dalam pampasan yang dilakukan.
5) Setelah anda menerima pampasan bagi
kerugian tersebut, pengendali Takaful berhak menuntut daripada pihak ketiga
yang bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut. Ini berlaku di antara
syarikat-syarikat yang menguruskan pelan Takaful tersebut.
6) Sekiranya sesuatu kerugian ditanggung
oleh lebih daripada satu pelan Takaful atau polisi insurans, pengendali Takaful
yang telah membuat pembayaran kepada anda boleh meminta pengendali Takaful atau
syarikat insurans lain yang terbabit untuk menyumbang mengikut kadar bahagian masing-masing.
Ini berlaku sekiranya anda mengambil pelan perlindungan daripada dua pihak
pengendali Takaful berlainan untuk sesuatu perlingdungan (contoh:
rumah/kenderaan/kedai dll.)
Kefahaman Asas Takaful ini tidak jauh
bezanya daripada prinsip asas insurans biasa yang lebih dahulu diperkenalkan
sebelum ini. Maka dengan itu, pelan Takaful juga dipelbagaikan memenuhi semua
keperluan sama seperti insurans tersebut iaitu merangkumi;
MAA Takaful antara pengendali Takaful yang terbaik. |
- Pelan Keluarga
- Pelan Berkaitan Pelaburan
- Pelan Pendidikan Anak
- Pelan Perubatan dan Kesihatan
- Pelan Anuiti
Manakala di bawah Takaful AM pula
menyediakan perindungan termasuklah;
- Pelan Kebakaran/Empunya/Isi Rumah
- Pelan Motor
- Pelan Kemalangan Diri
Kesedaran mengenai pelan perlindungan kewangan
semakin mendapat perhatian masyarakat samada melalui pelan insurans mahupun
pelan Takaful. Namun begitu kefahaman mengenai bagaimana ia bekerja masih lagi
di tahap yang umum dan ianya hanya difahami oleh mereka-mereka yang
mengendalikan pelan-pelan tersebut secara professional.
Namun begitu, keperluan gaya hidup hari ini
menjadikan pelan perlindungan ini juga sebagai salah satu keperluan dalam
mengelakkan anda daripada menampung kerugian akibat perkara-perkara yang tidak
diduga.
Seperti pelan perlindungan kesihatan
misalnya berikutan perbelanjaan kos perubatan yang disediakan oleh badan-badan
kerajaan atau swasta hari ini adalah jauh lebih tinggi. Maka dengan itu anda
tidak perlu berhadapan dengan keseluruhan perbelanjaan tersebut dan apa yang
lebih baik bila ianya berlaku secara mengejut.
Berikut adalah senarai
pengendali-pengendali Takaful di Malaysia yang diluluskan daripada Bank NegaraMalaysia.
Institusi perbankan juga turut menawarkan pelan Takaful. |
- AIA AFG Takaful Bhd.
- AIA PUBLIC Takaful Bhd.
- AmFamily Takaful Berhad
- Etiqa Takaful Berhad
- Great Eastern Takaful Berhad
- HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Sdn. Bhd.
- Hong Leong MSIG Takaful Berhad
- MAA Takaful Berhad
- Prudential BSN Takaful Berhad
- Sun Life Malaysia Takaful Berhad (CIMB Aviva Takaful Berhad)
- Syarikat Takaful Malaysia Berhad
- Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.
Great Eastern turut menawarkan pelan Takaful. |
HSBC juga tidak ketinggalan. |
Secara umumnya kesemua syarikat pengurusan insurans
dan Takaful adalah di bawah selengaraan dan pemantauan Bank Negara kerana ianya
melibatkan jumlah wang yang besar. Selain itu juga ia mengawal dan meluluskan
jumlah premium yang dikenakan bagi jumlah perlindungan yang ditawarkan.
Walaubagaimanapun terdapat banyak pelan
insurans dan Takaful yang berbeza dan anda perlulah mendapatkan penjelasan yang
tepat sebelum membuat keputusan untuk sesuatu pelan yang ditawarkan. Anda juga
digalakkan menambah pengetahuan mengenai pelan-pelan ini bagi mengelakkan
wakil-wakil penjual yang cuba mengaut keuntungan yang lebih dengan menawarkan
perlindungan yang kurang tepat daripada yang anda perlukan.
Diharap ini dapat sedikit sebanyak dapat membantu
anda mendapat kefahaman mengenai perlindungan Takaful sepertimana yang biasa
kita dengar dari wakil-wakil penjual pelan perlindungan tersebut. Semoga kita
semua menjadi pengguna yang bijak dalam membuat pilihan.
MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan