|
Labu digunakan dalam pelbagai juadah. |
Bagi menyambung artikel yang terdahulu saya
akan menyenaraikan pula tentang buah-buahan yang tergolong di dalam kategori
sayur-sayuran. Oleh kerana ia terdiri dalam ketegori sayur-sayuran tentulah
ianya akan digunakan dalam masakan. Namun begitu terdapat sebahagian buah yang
digunakan lebih dari sekadar masakan biasa. Mari kita lihat.
Labu
Labu adalah sayuran yang agak popular juga
dan adakalanya menjadi sebahagian hidangan di majlis-majlis kenduri. Genre yang
paling popular bagi masakan labu adalah masak lemak labu yang menggunakan daun
kunyit sebagai penambah perasa dan bau. Hidangan ini tentu tidak akan
diketepikan jika dihidangkan bersama dengan ikan masin dan sambal (sambal
belacan, sambal ikan bilis dll.). Terdapat juga jenis sayuran yang dipanggil ‘labu
air’ yang lebih mirip kepada buah kundur berbanding labu. Ia juga sering
digunakan dalam masakan.
Keunikan labu turut dijadikan pengat dan ada
juga yang digunakan dalam penyediaan kuih-muih yang lain. Bingka labu misalnya
agak popular sebagai hidangan sarapan pagi atau minuman petang.
|
Kundur mudah dimasak dan sedap sebagai halua. |
Kundur
Kundur bagaikan pasangan rapat pada labu
walaupun kedua buah ini jauh berbeza. Kundur biasanya digoreng sebagai ‘masakan
manis’. Walaupun terdapat masakan kundur berkuah atau sebagai bahan campuran
masakan lain.
Antara lain kundur juga dijadikan halua
iaitu sejenis makanan kudapan seperti gula-gula. Mungkin anda tidak menyangka
anda pernah menikmatinya kerana ia seakan gula-gula atau makanan kering lain
(asam masin).
|
Pelbagai jenis terung dan masakan menggunakan terung. |
Terung
Terdapat banyak jenis terung dan kesemuanya
digunakan untuk masakan. Jadi sudah tentu ianya dimasak dengan pelbagai jenis
penyediaan. Terung telunjuk adalah dari jenis terung kampong biasa yang ditanam
di kampong-kampung. Ia juga boleh tumbuh dengan mudah di kawasan halaman atau
di pinggir dapur.
Terung dari jenis yang ditanam komersil
pula adalah terung yang berwarna ungu. Terdapat terung bulat atau yang
berbentuk lonjong dan saiznya agak besar. Terung biasa digunakan sebagai bahan
campuran masakan kari ikan tongkol. Hmmm, menyelerakan.
Jenis lain terung tempatan adalah ‘terung
pipit’ atau ‘terung belimbang’. Terung ini juga boleh dijadikan bahan campuran
masakan. Terung ini juga digunakan oleh kanak-kanak untuk kegunaan permainan
senapang dimana buahnya digunakan sebagai peluru.
Peria
Peria adalah buah yang agak pahit namun
masih sedap dijadikan bahan masakan terutama sebagai bahan campuran masakan
ikan. Peria liar adalah bersaiz lebih kecil dan lebih pahit – ianya sesuai
untuk dijadikan ulam. Ulam peria masih diminati secara segar atau dicelur
dengan air panas.
Keluarga terdekat peria adalah kambas yang
juga dijadikan sebagai bahan masakan. Kedua-dua buah ini digunakan dengan cara
yang sama. Namun begitu saiz kambas yang agak besar dan jarang sekali dimakan
sebagai ulaman.
Petola
Petola adalah dari jenis yang dijual secara
komersil. Jarang petola hidup secara meliar. Jenis asal petola liar mungkin
yang dikenali sebagai ‘petola licin’ yang berbentuk bulat tanpa jaluran di
kelilingnya. Sayuran ini mempunyai serat yang lebih kasar berbanding petola
yang biasa dijual dipasar dari jenis yang ditanam di ladang.
Petola biasanya dimasak manis seperti masak
lemak, tumis air atau digoreng. Seperti biasa masakan ini akan dihidangkan
bersama ikan masin dan sambal bagi menambah rasa masin dan pedas.
|
Kacang panjang sayur yang mudah digunakan. |
Kacang Panjang
Kacang panjang merupakan sayuran yang biasa
dan boleh ditanam di sekitar rumah. Ia mudah dimasak kerana boleh dipadankan
dengan kebanyakan masakan dengan pelbagai kaedah masakan. Kacang panjang juga
sesuai dijadikan ulaman secara mentah ataupun dicelur dengan air panas. Ia
boleh dimakan begitu sahaja atau dengan gandingan sambal kegemaran anda.
Kancang panjang merupakan antara sayuran yang boleh digandingkan dengan segala
hidangan segera seperti nasi goreng, mee goreng, mee segera dan sebagainya.
Jadi kancang panjang antara sayuran yang perlu dipastikan berada dalam peti
sejuk anda.
Kacang Buncis
Kacang buncis lebih pendek berbanding
daripada kacang panjang dan ia kelihatan lebih bulat dan licin. Kacang buncis
mempunyai rasa yang lebih manis dan mudah digunakan dalam masakan atau sebagai
bahan campuran. Seperti kacang panjang juga ianya mudah ditanam dipersekitaran
rumah.
Kacang Kelisa/Botol
Kacang kelisa mempunyai bentuk yang aga
unik kerana ianya bersegi. Selain daripada sebagai bahan masakan dan campuran
kepada masakan lain ia turut popular sebagai ulaman seperti juga kacang
panjang. Ulaman kacang kelisa ini amat sedap samada mentah ataupun dicelur. Ia
juga lebih enak jika digandingkan bersama-sama dengan sambal.
Antara kacang-kacang lain yang popular
sebagai masakan adalah kacang peas dan kacang parang. Kesemua kacang-kacang ini
digunakan dalam masakan. Berbeza daripada kacang soya, kacang hijau, kacang
merah di mana ia digunakan sebagai hidangan berbentuk pemanis pulut seperti
bubur, pengat. Manakala sebagai makanan yang telah diproses bagi kacang soya
seperti tempeh, taufu atau kicap.
Bendi
Bendi juga merupakan sayuran yang mudah
ditanam. Walaupun ia biasanya ditanam secara komersil, penanaman kecil-kecilan
juga adalah sangat mudah untuk sayuran ini. Bendi yang muda adalah amat sedap
sebagai bahan campuran masakan terutama bagi masakan seperti ‘masak asam pedas’,
‘singgang’, kari ataupun digoreng. Oleh kerana sayuran bendi ini menghasilkan lendir
ianya kurang sesuai dijadikan bahan campuran untuk masakan lemak. Bendi juga
boleh dijadikan ulam samada mentah ataupun dicelur.
|
Petai ulam kegemaran Masyarakat Melayu/Rakyat Malaysia. |
Petai
Petai adalah dari ketegori ulaman sering
juga digunakan di dalam masakan dan ia juga amat digemari. Antara hidangan
masakan yang popular menggunakan petai adalah sambal petai dan juga masakan
lemak ikan dicampur dengan petai. Selain itu juga adakalanya ia dicampurkan
dalam masakan ‘sambal daun kayu’ - sejenis masakan yang menggunakan pelbagai
jenis daun-daunan dan tempoyak yang amat popular. Hari ini ianya telah
digantikan dengan hidangan sambal - ‘acar buah’ (asam masin) yang menggunakan
buah-buahan jeruk.
|
Jering bagi peminat ulaman yang lebih extreme. |
Jering
Jering juga digunakan antara ulaman yang
digunakan di dalam masakan. Terdapat pelbagai kaedah masakan jering sama juga
seperti petai iaitu sambal atau campuran bahan masakan. Jering tua biasanya
akan direbus bagi melembutkannya sebelum digunakan dalam masakan. Apapun
kedua-dua buah ulaman (jering dan petai) ini amat menarik apabila digunakan di dalam masakan.
Mungkin terdapat banyak lagi buah-buah
sayuran yang biasa digunakan di dalam masakan yang saya terlepas pandang. Ini
kerana banyak lagi kawasan di negara kita yang menggunakan buah-buahan sebagai
bahan masakan - terutama buah-buahan liar. Seperti kata pepatah “jauh
perjalanan, luas pengalaman”, jadi sekiranya anda dapat membantu saya dalam
melengkapkan lagi maklumat mengenai buah-buah yang biasanya digunakan dalam
masakan ini bolehlah menyenaraikannya semula di bahagian komen.
Apa yang penting di sini adalah usaha
memperkenalkan semula masakan tradisi kita yang menggunakan bahan-bahan yang
adakalanya kita tidak terduga. Mungkin kita pernah terserepak dengan
buah-buahan ini tetapi tidak menyangka yang ia boleh dimasak sebagai makanan
yang menyelerakan. Mungkin di lain masa saya akan mencari pula sayur-sayuran
tradisi yang saya percaya ia merupakan satu senarai yang lebih panjang. Terima
kasih