Halaman

Selasa, 24 Disember 2013

Pokok Hiasan Dalam Rumah Tetap Cantik Dan Segar

Pokok hiasan dalam rumah kelihatan sihat & menarik

Pokok hiasan dalam rumah atau pejabat bukan sahaja cantik dipandang malah ia juga membantu menyegarkan lagi ruangan di dalam rumah atau pejabat. Pokok hidup kelihatan berbeza sekali daripada pokok tiruan, maka tidak hairanlah mengapa penggemar pokok hidup berusaha sebaik mungkin untuk memastikan pokok hidup mereka kekal sihat di dalam rumah. Terdapat beberapa perkara penting sekiranya kita ingan memiliki pokok hiasan yang cantik berada dalam rumah. Mari kita ikuti artikel kali ini yang membincangkan topik menarik ini.

Jenis Pokok


Jenis pokok yang bersesuaian untuk ditanam di dalam rumah adalah dari jenis yang boleh tahan berada di dalam persekitaran yang kurang cahaya, kurang air, tanah, baja dan sebagainya. Ini kerana bekas tanaman seperti pasu, botol atau bekas tanaman untuk menempatkan pokok tersebut akan menghadkan pokok daripada bebas untuk mendapatkan makanan seperti pokok yang ditanam di halaman atau di atas tanah. Maka tidak hairanlah terdapat segelintir tanaman sahaja yang betul-betul boleh hidup dengan subur di dalam rumah. Selain itu penjagaan juga memastikan pokok ini akan terus hidup subur.

Pokok lidah buaya juga sesuai sebagai tanaman hiasan dalaman.


Medium Tanaman


Walaupun pokok biasa ditanam di atas tanah tetapi pokok tidak semestinya hidup apabila ditanam di dalam tanah sahaja. Malah untuk tanaman di dalam rumah banyak medium tanaman yang lebih sesuai di pasaran untuk memastikan tanaman tetap segar dan hidup lebih baik. Ini kerana tanaman di dalam rumah lebih rumit untuk mendapatkan nutrient yang diperlukan. Maka medium tanaman yang disediakan lebih sesuai untuk memastikan tanaman mendapat zat makanan yang diperlukan oleh tumbuhan dapat dibekalkan secukupnya.

Penggunaan bebuli gel adalah antara contoh medium tanaman yang baik untuk tanaman di dalam rumah. Tetapi gel ini tidak mampu menyokong pokok yang besar. Maka dengan itu medium dipilih bersesuaian dengan jenis pokok yang ingin ditanam. Ada juga pokok yang boleh hidup dengan air sahaja, tetapi ini boleh mengakibatkan nyamuk bertelur pula. Maka penggunaan air sahaja adalah tidak digalakkan. Pastikan anda memasukkan kelikir dan air di bawah paras kelikir tersebut bagi mengelakkan nyamuk bertelur.

Pencahayaan


Pokok memerlukan cahaya untuk membuat makanan. Jadi anda perlu memastikan pokok anda mendapat cahaya yang cukup. Cahaya lampu mungkin boleh membantu, tetapi pastikan ianya cukup terang dan sesuai untuk tanaman anda. Cara yang paling baik adalah dengan memastikan pokok anda diletakkan berhampiran tingkap atau anda boleh juga sesekali membiarkan pokok berada di luar rumah. Tapi anda perlu elakkan daripada terkena pancaran terus matahari - kerana pokok yang disimpan di dalam rumah biasanya kurang daya tahan terhadap pancaran terus matahari.

Tingkap merupakan sumber cahaya yang baik.


Suhu


Walaupun pokok memerlukan kepanasan, keadaan yang terlalu panas juga boleh mengakibatkan pokok anda mati. Jadi keadaan bilik biasa yang sesuai bagi manusia berada di dalamnya adalah baik untuk pokok. Suhu sekitar 15 ~ 25 darjah celcius adalah yang terbaik. Ini merupakan suhu yang membolehkan tumbuhan berada dalam keadaan aktif, di mana proses pembesaran untuk tumbuhan dapat berjalan dengan baik.

Kelembapan


Selain daripada suhu yang sesuai, tumbuhan juga memerlukan kelembapan. Kelembapan yang sesuai adalah sekitar 80% - ini adalah bagi pokok-pokok yang mempunyai daun yang nipis dan lebar. Bagi rumah yang dilengkapi dengan penghawa dingin, bekas berisi air boleh diletakkan berhampiran tumbuhan anda (masukkan juga kelikir - untuk mengelakkan nyamuk bertelur). Selain itu pokok-pokok juga boleh diletakkan berhampiran antara satu sama lain bagi menambahkan kelembapan ini.

Pembajaan


Pokok di dalam rumah juga memerlukan pembajaan, malah ianya lebih penting kerana akar pokok tidak dapat mencari sumber baja sendiri. Pembajaan sebaiknya menggunakan baja cecair (atau baja yang dicairkan untuk memudahkan penyerapan). Pembajaan juga perlu dilakukan dengan cermat iaitu gunakan sukatan yang sedikit dahulu bagi mengelakkan pokok rosak. Sentiasa periksa pokok anda dan kesan pada daun bagi mengetahui keadaan pokok. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai baja anda boleh mengikutinya melalui artikel baja.

Pembajaan juga dapat membantu anda mengawal tumbuhan untuk proses pembesaran dan pembungaan. Walaubagaimanapun anda perlulah mengikut kesesuaian pokok anda bagi mengelakkan pokok rosak atau mati. Ini bermakna pokok perlu diseimbangkan antara berdaun dan berbunga.


Pokok Yuka antara pokok yang menarik.

Pasu dan Bekas Tanaman


Antara yang menarik mengenai tanaman dalam rumah adalah termasuk bekas tanaman juga. Bekas boleh terdiri mungkin terdiri daripada pelbagai jenis bahan daripada tanah liat, seramik atau kaca yang cantik. Apa yang penting bekas dapat menampung pokok untuk hidup dengan selesa. Bekas yang bersesuaian menambahkan lagi penampilan pokok anda. Bekas kaca misalnya sesuai untuk pokok-pokok yang kecil dan boleh hidup dengan air sahaja. Manakala pokok yang bersaiz besar pula mungkin boleh menggunakan pasu-pasu besar yang diperbuat daripada tanah liat yang cantik.

Diharap bagi yang meminati tanaman dalam rumah mendapat serba-sedikit informasi yang berguna kali ini. Semoga terus mencuba untuk mempelbagaikan lagi tanaman anda. Apa yang penting teruskan mencuba untuk mendapatkan hasil yang terbaik kerana sesuatu yang cantik biasanya memerlukan usaha yang berterusan. Selamat mencuba dan semoga berjaya.




Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan