Halaman

Sabtu, 14 Disember 2013

Perarakan Ketam Merah, Kepulauan Christmas Yang Menakjubkan

Perarakan ketam merah semasa musim pembiakan

Perarakan ketam merah atau juga dikenali sebagai Red Crab, Chritsmas Island ini sememangnya terkenal kerana semasa perarakan ini jutaan ketam berwarna merah akan bergerak menuju ke arah laut untuk tujuan pembiakan setiap tahun. Ketam-ketam ini adalah spesis ketam yang tinggal di darat tetapi membiak di laut. Terdapat anggaran 43.7 juta ketam dewasa yang menghuni kepulauan Chritsmas yang terletak di lautan Hindi ini namun dengan kehadiran semut 'yellow crazy ant' yang mengancam ketam-ketam ini menyebabkan kematian kira-kira 10 - 15 juta ketam dalam jangka masa beberapa tahun.

Ketam merah ini adalah lebih dikenali walaupun terdapat kira-kira 14 spesis ketam darat yang mendiami Pulau Chritsmas. Warna merah garang merupakan warna yang paling biasa dan adakalanya berwana oren dan jarang berwarna unggu. Saiz ketam jantan dewasa boleh menjangkau sehingga 116 mm, di mana saiz ketam jantan adalah lebih besar berbanding ketam betina. Ketam jantan juga mempunyai sepit yang lebih besar. Manaka badan ketam betina pula mempunyai badan yang lebih lebar berbanding ketam jantan. Perbezaan saiz ini kelihatan lebih ketara pada usia ketam menjangkau usia 3 tahun. Pertumbuhan ketam ini juga agak perlahan, mencapai saiz 40 mm pada usia 4 - 5 tahun iaitu usia matang ketam-ketam untuk turut bersama dalam perarakan menuju ke laut untuk tujuan pembiakan.

Ketam merah melintasi jalan raya

Untuk tujuan pembesaran ketam-ketam perlu menukar cengkerangnya beberapa kali semasa proses pembesaran. Namun begitu ketam-ketam yang telah mencapai dewasa tidak lagi menukar kulit sekerap ketam-ketam yang kecil. Proses penukaran kulit ini perlu dilakukan di dalam lubang-lubang ketam yang lembab.

Pemakanan ketam-ketam merah ini terdiri daripada daun-daun yang jatuh, buah-buahan, bungaan dan juga bijian. Lebih menggemari daun-daun muda dan lembut tetapi akan memakan semua daun-daun yang jatuh. Selain itu ia juga akan memakan hampir setiap benda seperti ketam lain yang mati, burung-burung, siput atau tinggalan sisa makanan manusia. Tidak terdapat banyak persaingan bagi ketam ini dalam mendapatkan sumber makanan memandangkan ia merupakan spesis utama di kepulauan ini.

Dari segi pemangsa pula, tidak terdapat pemangsa semulajadi bagi ketam-ketam dewasa di kepulauan ini. Melainkan spesis semut yang dibawa dari luar seperti yang disebutkan awal tadi 'yellow crazy ant'. Namun begitu bagi larva ketam semasa musim pembiakan terdapat spesis-spesis ikan yang menjadikan ia sebagai makanan seperti pari manta (manta rays), dan juga yu rasaksa (whale sharks). Ikan-ikan ini akan melewati kawasan kepulauan tersebut menjelang musim pembiakan.

Perarakan dan Proses Pembiakan

Induk ketam melepaskan telur ke laut

Perarakan besar-besaran ketam merah akan didahului oleh ketam-ketam jantan dengan meninggalkan lubang kediaman masing-masing di dalam hutan menuju ke laut. Musim pembiakan ini biasanya adalah pada bulan Oktober/ November dimana musim hujan akan bermula dan menyediakan kelembapan yang membolehkan ketam melakukan perjalanan dengan selamat. Perjalanan ini mungkin memakan masa sehingga seminggu. Sesampai di pantai ketam-ketam jantan akan menggali lubang dan memastikan ianya tidak dirampas oleh ketam-ketam jantan yang lain. Selepas proses mengawan berlaku ketam-ketam jantan akan kembali ke dalam hutan manakala ketam-ketam betina akan tinggal 2 minggu untuk menetaskan telurnya. Semasa proses penetasan ketam betina akan melepaskan telur-telurnya ke laut semasa air pasang pada separuh bulan akhir (last quarter moon). Selepas itu barulah ketam-ketam betina pula akan kembali ke hutan. Larva anak ketam akan berada di laut untuk 3 - 4 minggu sebelum naik ke darat sebagai ketam-ketam kecil.

Dalam tempoh sebulan di laut larva-larva ketam akan melalui proses perubahan sesuai bagi hidupan-hidupan lain sejenis dengannya. Ia juga akan berubah ke bentuk seperti udang yang dipanggil sebagai 'megalopae'. Pada keadaan ini ia akan berkumpul di dalam lopak-lopak berhampiran pantai 1 - 2 hari sebelum bertukar menjadi anak-anak ketam yang sedia untuk meninggalkan air.

Saiznya hanya 5 mm sahaja ketika mula naik ke darat dan memulakan perjalanan kembali semula ke hutan. Perjalanan ini mengambil masa sehingga 9 hari. Sesampai di hutan ia akan mencari tempat-tempat persembunyian sehingga jarang sekali ditemui dalam tempoh 3 tahun awal kehidupannya.

Tidak semua musim mengawan ketam-ketam ini menjanjikan anak-anak ketam selamat naik ke darat. Dikatakan hanya satu atau dua musim sahaja dalam tempoh 10 tahun yang betul-betul berjaya mengembalikan populasi anak-anak ketam ini dengan jumlah yang tinggi.

Ancaman Pada Ketam

Pergerakan ketam sukar dikawal

Kemunculan manusia sememangnya menjadi masalah kepada ketam-ketam ini. Perjalanan melalui kawasan yang diterangkan oleh manusia mendedahkan ketam kepada kehilangan lembapan dan boleh menyebabkan kematian. Selain itu ketam juga sering mati dilanggar kenderaan ketika menyeberangi jalan yang merentasi laluan penghijrahannya ke laut.

Sehubungan itu laluan-laluan ketam dibina bagi mengelakkan ketam melintas di atas jalan raya. Terowong disediakan dan tembok penghalang didirikan bagi memastikan ketam mengikut laluan yang betul dan selamat. Lalaun-laluan ini dibina di setiap lalun penghijrahan utama ketam menuju ke laut.

Musim Penghijrahan Ketam

Dinding pengawal ketam

Musim penghijrahan biasanya berlaku serentak di seluruh kepualauan dimana musim hujan memberikan kelembapan yang sesuai bagi ketam berhijrah dengan selamat. Masa penghijrahan ini juga dipengaruhi oleh fasa bulan yang mempengaruhi keadaan pasang surut laut. Ini bagi memastikan ketam-ketam selamat melepaskan telur-telurnya ke dalam laut. Walaupun perbezaan tempoh-tempoh penghijrahan namun ia akan mengikut fasa bulan yang tertentu.

Penghijrahan utama boleh memakan masa sehingga 18 hari. Perarakan ini akan membentuk sungai ketam merah yang menghala ke arah laut menggunakan laluan yang sama sepanjang tahun untuk ke laut dan kembali semula ke hutan. Perarakan biasanya berlaku pada awal pagi dan juga lewat petang di mana suhu persekitaran lebih sejuk dan mengelakkan ketam-ketam kekeringan dan mati.

Musim Penghijrahan 2013 dan 2014


Musim jangkaan untuk 2013 adalah 31 Oktober, 28 November atau 28 Disember.

Musim jangkaan untuk 2014 adalah 19 Oktober, 18 November atau 18 Disember.

Musim ini boleh berlaku seawal September atau selewat Januari tetapi bulan Oktober, November dan Disember adalah bulan-bulan yang lebih sering berlaku.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai penghijrahan ketam-ketam ini bolehlah menghubungi:

Parks Australia


Phone: +61891648700

Chritsmas Island Tourism Association


Phone: +61891648382

Begitulah serba sedikit mengenai keajaiban penghijrahan besar ketam-ketam merah di Chritsmas Island, Australia. Bagi yang berminat menyaksikannya sendiri bolehlah menghubungi badan-badan seperti yang disenaraikan bagi memastikan anda tidak terlepas peluang menyaksikan perarakan tersebut. Di harap ketam-ketam ini terus selamat untuk memastikannya tidak pupus.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan