Tomato masak kelihatan enak |
Kebaikan khasiat tomato untuk kulit sememangya diketahui ramai. Selain boleh dimakan mentah seperti salad dan menjadi bahan utama dalam penyediaan makanan segera seperti burger ia juga turut dihidangkan sebagai jus tomato. Di negara kita tomato turut digunakan untuk menyediakan sambal menggantikan limau untuk memberikan sedikit rasa masam yang lebih unik.
Tomato bersasal dari Mexico dan disebarkan oleh orang-orang Sepanyol yang berhijrah ke Benua Amerika tersebut. Melalui penyebaran hampir 500 tahun itu tomato dikenali di mana-mana dengan nama yang hampir sama iaitu 'tomato'. Ia juga turut menjadi tanaman di merata tempat dan adakalanya ditanam di dalam rumah hijau - bagi tempat yang beriklim sejuk.
Pokok tomato tidak berkayu dan berbatang lembut biasanya akan berpaut pada pokok-pokok lain untuk mendapat sokongan. Dengan ketinggian antara 1 - 3 meter ia boleh menghasilkan buah sepanjang tahun (tidak bermusim selagi pokok bertahan). Tomato sesuai untuk kawasan yang beriklim sederhana dan boleh menghasilkan buah dengan anggaran berat 100 gram sebiji.
Hari ini tomato ditanam dan digunakan di serata dunia merangkumi pelbagai kegunaan. Sebagai bahan makanan ia bukan sahaja digunakan dalam masakan malah turut menjadi minuman yang disediakan di dalam tin. Sos tomato juga menjadi salah satu bahan penting untuk menambah perisa pada makanan seperti ayam goreng, mi goreng atau pencecah kuih.
Khasiat Tomato
Khasiat tomato yang berbeza dengan bahan makanan yang lain dikenali sebagai lycopene, merupakan anti-oksidan yang kuat. Sebagai anti-oksidan terdapat kajian yang menyatakan ia mampu mencegah kanser prostat - bagaimanapun dakwaan ini turut di tentang. Dalam satu kajian lain pula ia turut didapati membantu kulit daripada mengalami kesan 'sunburn' daripada cahaya UV yang dihasilkan oleh matahari. Kajian ini dilakukan oleh pengkaji-pengkaji di Universiti Manchester dan Newcastle yang membuktikan lycopene membantu melindungi kulit daripada bahaya pancaran sinar UV.
Walaubagaimanapun setelah sekian lama tomato memang dikenali sebagai bahan yang membantu untuk penjagaan kesihatan kulit. Kulit bermasalah seperti berminyak dan berjerawat bagus sekali sekiranya mengamalkan diet tomato untuk mengimbangi semula pengeluaran minyak ini. Tambahan pula tomato sememangnya amat mudah untuk dimakan - samada mentah (sebagai salad) atau pun dicampur ke dalam masakan.
Selain itu tomato juga boleh digunakan sebagai bahan pencuci wajah sama seperti limau. Ianya boleh terus di sapu kepada kulit setelah dipotong atau ingin dihancurkan terlebih dahulu sebagai masker. Sifat tomato yang sedikit berasid amat sesuai untuk menanggalkan sel-sel kulit mati seterusnya nutrient yang lain membantu menyihatkan lagi kulit anda.
Fakta Lain Mengenai Tomato
- Tomato terbesar pernah direkodkan mencapai berat sehingga 3.51 kg yang dibesarkan oleh Gordon Graham dari Edmond, Oklahoma pada tahun 1986. Manakala pokok tomato terbesar pula mencecah ketinggian sehingga 19.8 meter (keseluruhan panjang) yang dibesarkan oleh Nutriculture Ltd (UK) of Mawdesley, Lancashire, UK pada tahun 2000.
- Pokok tomato terbesar pernah ditanam di dalam sebuah rumah hijau khas di Walt Disney World Resort, Florida. Pokok ini menghasilkan buah sebanyak 32,000 biji dengan berat 522 kg. dengan purata melebihi 1,000 biji sekali berbuah pada satu tangkai. Ini tentu bukan dari jenis tomato biasa dan ianya dibesarkan dengan kaedah yang dikawal.
- Pada 30 August 2007, sekitar 40,000 warga Spanyol berkumpul di Buñol untuk berpesta dengan membaling kira-kira 115,000 kg tomato sesama mereka dalam pesta tahunan yang dikenali sebagai Tomatina fastival.
Begitulah sedikit sebanyak mengenai tomato dan khasiat-khasiat buah istimewa ini. Walaupun ia dipanggil buah tomato - ianya diketogorikan sebagai sayuran dan bukan buah-buahan. Setelah mengetahui serba-sedikit mengenai tomato bolehlah kita menambahnya ke dalam diet seharian dengan mempelbagaikan kaedah pengambilannya. Tentu anda ada cara tersendiri menikmati tomato.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan