Halaman

Ahad, 8 Disember 2013

Keistimewaan Bunga Telang, Nasi Kerabu

Bunga Telang Biru
Bunga Telang merupakan rahsia kenapa Nasi Kerabu bewarna biru. Bagi saya sendiri selalu tertanya kenapa nasi kerabu berwarna biru dan bagaimana ianya dihasilkan. Nasi kerabu yang popular di pantai timur ini, kini menjadi sajian di merata tempat di sekitar Malaysia terutama di bazar ramadhan dan gerai-gerai yang menjual makanan dari pantai timur.


Bagi yang tidak mengenali bunga telang mungkin tidak menyangka ia digunakan untuk mewarnakan makanan kegemaran ramai ini. Ini kerana bunga telang tumbuh meliar di pinggir halaman atau belukar. Pokoknya yang melilit seperti juga pokok bunga seri pagi memerlukan pokok lain atau pagar sebagai sokongan bagi membolehkan ia menjalar dan mendapatkan lebih cahaya matahari. Keistimewaan utama bunga ini adalah ia sangat berguna sebagai pewarna makanan.

Bunga telang atau nama saintifiknya 'Clitoria ternata' tumbuh di sekitar kawasan khatulistiwa di Asia, namun ia juga diperkenalkan ke kawasan lain seperti Afrika, Australia dan Amerika. Ia juga dikenali dengan nama seperti kembang telang (Sunda), kembang teleng (Jawa), temen raleng (Bugis) dan lain-lain lagi. Bunga ini juga digunakan di dalam makanan di Thailand dan Burma.

Bunga dan Kacang Telang

Seperti tumbuhan kekacang yang lain pokok bunga telang tumbuh daripada biji dari kekacangnya. Tumbuhan ini melilit jadi ia memerlukan 'junjung' seperti pokok kacang panjang atau biasanya di tanam supaya melilit di pagar. Ia juga boleh digunakan untuk mengembalikan kesuburan tanah kerana seperti juga pokok semalu yang mempunyai backteria 'rhizobia' yang mengikat Nitrogen di dalam udara untuk digunakan oleh tumbuhan. Jadi melalui pereputan pokok ini ia akan mengembalikan semula kesuburan kepada tanah.

Bunganya akan melayu setelah tamat proses pendebungaan dan akan menghasilkan kantung kekacang yang berukuran 5 - 7 cm panjang. Ianya agak leper seperti juga kacang peas dan mengandungi antara 6 ke 10 biji kacang di dalam satu kantung. Kacang yang telah matang akan kelihatan coklat manakala bijinya akan bewarna gelap. Biji ini bolehlah disemai sekiranya anda berminat untuk menanam pokok bunga telang.

Teh Bunga Telang

Untuk menggunakannya sebagai pewarna makanan, ia direndam di dalam air panas yang kemudian digunakan untuk memasak nasi, bagi nasi kerabu. Selain itu ia juga digunakan untuk menyediakan minuman yang dikenali sebagai 'nam dok anchan' di Thailand. Ia akan betukar warna kepada 'pink-purple' apabila dicampurkan sedikit perahan limau. Tedapat juga makanan yang menggunakan bunga ini yang dipanggil sebagai kuih ketan atau pulut tai tai oleh masyarakat Peranakan/Nyonya.

Untuk merawat bisul bunga telang dilumatkan secukupnya dan dicampurkan dengan asam jawa yang kemudiannya digunakan pada kawasan yang menghidapi bisul. Selain itu air rebusan akar telang putih juga boleh digunakan untuk tujuan membersihkan darah.

Tom dok anchan dari Thailand
Nasi Kerabu merupakan makanan popular Pantai Timur, Malaysia.
Nasi Kerabu mudah dipadankan dengan sebarang hidangan.

Air rebusan akar telang juga dikatakan merawat demam serta masalah berkaitan pernafasan seperti kahak dan bronkitits, selain membantu melawaskan pembuangan air kecil. Untuk tujuan ini akar pokok telang yang kering direbus di dalam air (4 cawan) sehingga tinggal 2 cawan. Air yang telah sejuk, bolehlah diminum 2 kali sehari.

Keradangan mata juga (mata kelihatan merah) boleh dirawat menggunakan air daripada rendaman bunga telang. Rendam bunga telang secukupnya di dalam air sehingga air bertukar menjadi biru. Gunakan air tersebut untuk mencuci mata yang kemerahan.

Begitulah antara keistimewaan tumbuhan pokok telang ini. Bagi yang tidak mengetahui keistimewaanya mungkin menyangka ianya adalah pokok biasa yang tumbuh di belukar. Tapi anda mungkin bertukar pendapat sekiranya anda selalu menikmati hidangan nasi kerabu. Mungkin terdapat banyak lagi keistimewaan pokok serta bunganya. Jadi bagi sesiapa yang tahu bolehlah berkongsi maklumat di dalam komen. Terima kasih.

Benih pokok ini boleh didapati dari: tanamsendiri.com


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan