Cuti sekolah masa sesuai aktiviti keluarga. |
Cuti sekolah merupakan masa yang ditunggu-tunggu oleh semua murid-murid kerana merupakan masa untuk melapangkan fikiran. Tetapi jika masa yang terluang hanya diisi dengan menonton TV atau bermain video games tentu pengisian masa cuti sekolah ini tidak begitu mendatangkan faedah yang positif. Di sini mari kita perhatikan bagaimana kita boleh memanfaatkan masa yang ada bagi menjadikan setiap masa semasa cuti sekolah ini lebih bermanfaat.
Cuti sekolah memberikan kita peluang untuk mempelajari perkara-perkara yang tidak dapat dipelajari di sekolah. Banyak perkara yang boleh membantu kita mempertingkatkan kemahiran diri semasa cuti sekolah terutama dengan meluangkan masa melakukan aktiviti-aktiviti di luar rumah - kerana interaksi dengan alam sudah tentu membuka pemikiran kita terhadap alam yang luas. Semua ini akan memperkembangkan lagi keupayaan pemikiran kita dan perkembangan otak yang normal.
Daya Interaksi dan Perkembangan Otak
Interaksi dengan alam tidak boleh dilakukan di dalam kelas mahupun melalui peralatan elektronik. Ini kerana ransangan yang kita alami mengaktifkan keseluruhan deria yang terdapat pada tubuh. Semasa kita menyentuh cacing untuk memasang umpan misalnya, deria sentuhan akan mengenal pasti akan kelembutan badan cacing tersebut. Manakala deria bau akan memberitahu akan bau daripada tanah di mana cacing itu tinggal. Ya, ia mungkin mendatangkan rasa geli dan sebagainya. Tetapi ini adalah pengalaman di mana kita perlu alami sebelum dapat membuat keputusan yang tepat mengenai penilaian yang akan kita tentukan (samada geli atau sebaliknya).
Begitu juga bagi yang suka merentasi denai-denai di hutan seperti dalam aktiviti 'Jungle Tracking'. Walaupun ia kelihatan mudah, adakalanya kita perlu memikirkan di mana kaki kita berpijak. Musim hujan akan memburukkan lagi keadaan - kita perlu berhati-hati untuk mengelakkan daripada tergelincir. Ini memerlukan otak kita membuat penilaian tentang persekitaran dan bagaimana kita perlu bertindak. Ia merupakan satu proses yang tidak kita sedari. Namun otak akan terus bekerja supaya kita sentiasa berada di dalam keadaan yang selamat.
Bagaimanapun kemahiran otak ini perlu dilatih dengan pengalaman. Otak tidak mampu membuat keputusan tepat tanpa latihan. Bayangkan kali pertama kita memecahkan telur ayam. Ianya satu latihan penting untuk membantu otak membuat anggaran dan melatih tangan untuk membuat ketukan yang tepat pada cengkerang telur. Kita tidak perlu kuathir sekiranya tidak dapat melakukan proses pertama ini dengan baik, kerana otak dalam proses menyukat akan kekuatan ketukan yang betul - ini membantu atlet-atlet sukan memperbaiki hasil ketukan mereka dalam sukan golf.
Imbangan Satu Latihan Terbaik
Imbangan badan merupakan satu proses yang amat sukar. Otak kita bekerja keras membantu kita berjalan dengan betul semasa di peringkat kita masih bayi lagi. Namun apabila dewasa kita memerlukan kemahiran imbangan ini untuk proses yang lebih kompleks seperti menungang basikal atau bermotosikal. Semua ini berkait rapat dengan daya imbangan badan dan kemahiran otak untuk membuat andaian mengenai imbangan.
Sekiranya kita mampu melakukan kedua-dua proses di atas dengan baik makalah boleh mencuba aktiviti ini pula, iaitu bermain kasut roda, papan luncur atau bermain ski. Tapi perlu berhati-hati kerana sukan ini boleh mendatangkan bahaya sekiranya dilakukan tanpa mengikut peraturan keselamatan yang betul. Apa yang penting, kita tidak membiarkan potensi otak kita tanpa digunakan kerana otak sihat membantu kepada pertumbuhan minda yang cerdas.
Untuk latihan imbangan yang lebih mudah kita bolehlah melakukan latihan menari kerana ianya lebih selamat. Walaupun ianya mudah, ia turut membantu badan melakukan senaman dalam masa yang sama. Ini membantu perjalanan darah yang lebih baik serta menggalakkan fungsi sistem badan berjalan dengan lancar. Mungkin latihan menari ini juga boleh digantikan dengan permainan yang lebih menceriakan seperti permainan lumba lari, polis sentri, galah panjang dan sebagainya (mungkin permainan ini juga sudah semakin dilupakan).
Lawatan
Lawatan juga memberikan ransangan kepada pendedahan otak untuk berfikir lebih luas mengenai alam. Ini memberikan ransangan kepada kita untuk mengetahui lebih banyak seterusnya meneroka perkara-perkara baru untuk dipelajari. Adakalanya ia berkaitan, haiwan, tempat-tempat menarik, bentuk muka bumi, cuaca, teknologi, rekabentuk, budaya dan sebagainya yang dapat kita perhatikan daripada sesuatu lawatan yang dilakukan.
Lawatan ke taman-taman seperti taman burung, taman rama-rama ataupun zoo misalnya adalah untuk memudahkan kita melakukan proses ini. Ini kerana bahan-bahan pameran dikumpulkan di satu tempat untuk memudahkan pemerhatian. Di mana dalam keadaan sebenar ianya mungkin agak sukar untuk ditemui dan berada di tempat yang sukar untuk dilawati. Jadi kita perlu menggunakan kesempatan ini sekiranya berpeluang.
Cuti di Rumah
Bagi yang terpaksa tinggal di rumah pula kita tidak semestinya tidak dapat memanfaatkan masa cuti dengan lebih baik. Terdapat banyak saluran berbentuk pendidikan di kaca TV hari ini. Pastikan kita menontonnya dalam Bahasa Inggeris kerana dalam masa yang sama kita dapat mempelajari Bahasa Inggeris. Tentu kita ingin mengetahui sesuatu dan gunakan masa ini untuk mencari maklumat yang kita perlu ketahui.
Sebagai contoh tidakkah kita ingin mengetahui bagaimana tenaga elektrik dihantar kerumah kita? Di mana ini membolehkan kita menonton TV, bermain komputer dan menerangi rumah kita. Bagaimana ianya dihasilkan dan bagaimana pula sekiranya kita ingin menghasilkan tenaga elektrik sendiri? Jadi semasa keputusan bekalan elektrik, kita tidak perlu bergelap. Mungkin juga kita masih mendapat bekalan elektrik sewaktu membuat lawatan ke kawasan pendalaman.
Jadi banyak sekali perkara yang boleh dilakukan disepanjang cuti sekolah ini yang dapat membantu kita untuk belajar lebih banyak perkara menarik. Pastikan kita tidak melakukan satu aktiviti sahaja dan mempelbagaikan aktiviti ini melibatkan aktiviti fizikal dan juga bergaul dengan orang lain. Apa yang lebih menarik mungkin suatu hari kita boleh berkongsi dengan orang lain tentang apa yang kita pelajari disepanjang cuti sekolah ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan