Serai penting dalam masakan ayam dan daging. |
Serai bukan sahaja terkenal di Malaysia, negara-negara lain yang ditumbuhi dengan tumbuhan ini juga tahu memanfaatkan kegunaannya. Serai lebih digunakan untuk tujuan perubatan berbanding sebagai perasa makanan sahaja. Minyak serai sering digunakan untuk merawat sakit-sakit sendi, sakit kepala, keletihan, sakit perut dan dan juga sakit otot.
Mari kita lihat nama-nama lain untuk serai, tapi terdapat juga serai yang hanya digunakan untuk perubatan sebagai minyak serai atau mandian menggunakan wap. Nama lain serai seperti lemongrass, barbed wire grass, silky heads, cironella grass, cha de Dartigalongue, fever grass, tanglad, hierba Luisa atau gavati chaha.
Serai turut terkenal di negara-negara lain seperti Togo dan Republik Demokrasi Kongo di Afrika manakala Mexico di Amerika Selatan yang menggunakan serai sebagai teh. Serai turut digunakan sebagai racun serangga dan pengawet. Kajian menunjukkan serai boleh digunakan sebagai anti kulat. Malah selain daripada kegunaannya sebagai racun serangga ia juga digunakan untuk menarik perhatian lebah. Ini kerana serai boleh menghasilkan pheromone seperti yang dihasilkan oleh lebah. Pendek kata minyak serai boleh juga digunakan untuk menarik perhatian lebah.
Di negara kita Malaysia, penggunaan serai dalam masakan sememangnya amat popular terutama untuk masakan ayam dan daging, kerana ia dapat membangkitkan aroma bau masakan. Serai juga merupakan bahan penting dalam penyediaan masakan Tom-Yam. Ianya sangat sesuai bagi masakan yang memerlukan rasa sengit seperti laksa dan masakan asam. Selain serai, tumbuhan lain yang sering digunakan bersama adalah bunga kantan, daun kesum dan daun limau purut. Gandingan bahan-bahan ini tentu menjadikan masakan anda lebih menyelerakan.
Serai wangi seakan serai biasa tetapi lebih tinggi |
Penghalau serangga dari serai. |
Pelbagai produk menggunakan serai. |
Lagi produk yang dihasilkan menggunakan serai. |
Tetapi minyak serai dihasilkan daripada serai yang dipanggil 'serai wangi' (cymbopogon nardus) yang hanya digunakan untuk kegunaan luar berbanding serai biasa yang boleh digunakan untuk masakan. Bagaimanapun bau serai wangi adalah lebih kuat. Serai wangi ini digunakan untuk membuat minyak serai atau losyen yang boleh digunakan untuk mengelakkan gangguan nyamuk. Minyak serai juga boleh digunakan seperti minyak angin untuk meredakan masalah sakit kepala, sakit perut dan minyak urut untuk melegakan sakit-sakit sendi.
Akarnya digunakan untuk merawat masalah diuretik (kerap kencing) dan sudorifik atau diaporetik (berperanan sebagai peransang pengeluaran peluh). Manakala air rebusan daun serai wangi bersama daun gendarusa dan lada hitam digunakan untuk memandikan kanak-kanak semasa bayi.
Penanam serai wangi boleh dikatakan agak mudah tetapi memerlukan kawasan yang lapang dan mempunyai cukup cahaya. Ia tidak boleh hidup di kawasan yang menakungi air atau terlindung daripada cahaya matahari. Jadi untuk memastikan kesuburan tanaman ini anda perlu memastikan kawasan yang ingin ditanam dengan serai wangi mempunyai saliran yang baik. Manakala dari segi penjagaan ianya agak mudah dan tahan lasak.
Sekiranya anda memiliki kawasan yang agak lapang di bahagian tepi atau belakang rumah bolehlah cuba menanam serai dan memanfaatkan kegunaannya untuk masakan atau penjagaan kesihatan. Dari segi pembajaan pula baja tanah bakar dan kompos adalah merupakan baja yang amat sesuai. Apa yang perlu diberikan perhatian adalah keadaan tanah yang sentiasa dalam keadaan saliran yang baik & gembur bagi menggalakkan serai terus membiak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan