Halaman

Selasa, 26 November 2013

Jalan-jalan ke Central Market, Kuala Lumpur

Keunikan Kasturi Walk
Central Market atau juga dikenali sebagai Pasar Seni bukanlah satu destinasi pelancongan yang baru di negara kita. Sejak sekian lama ia menjadi satu destinasi yang mesti disinggahi bagi setiap pelancong yang berkujung ke Kuala Lumpur untuk mengenali lebih dekat mengenai kebudayaan dan keunikan negara kita Malaysia. Central Market juga amat terkenal bagi penduduk Malaysia sendiri terutama bagi pengiat-pengiat seni dan kebudayaan. Di sini mereka berkumpul untuk sama-sama menyumbangkan hasil seni masing-masing untuk tatapan semua.

Lokasinya yang strategik menjadikan Central Market destinasi yang paling mudah untuk dikunjungi kerana hampir semua kemudahan pengangkutan awam bertumpu nerhampiran dengan lokasi ini. Stesyen LRT Pasar Seni membawa sejumlah pengunjung yang ramai dari haluan KL Central yang juga menjadi hub pengangkutan ke destinasi lain seperti KLIA dan laluan-laluan KTM dari seluruh negara. Manakala pengangkutan lain seperti seperti bas juga singgah berhampiran stesyen ini dari destinasi-destinasi utama seperti Bandar Seremban. Begitu juga bagi penumpang yang menggunakan RapidKL dari stesyen Masjid Jamek, kerana perjalan dari stesyen tersebut tidaklah memakan masa yang lama dengan hanya berjalan kaki.

Bangunan 'Central Market' merupakan antara bangunan terawal di Kuala Lumpur.

Oleh kerana ianya menyatukan kebudayaan dari setiap negeri dari seluruh negara maka destinasi ini sesuai untuk setiap pengunjung dari dalam mahupun luar negara. Setelah sekian lama Central Market menjadi tumpuan bagi anak-anak seni Malaysia menyumbangkan hasil seni mereka, begitu juga ia turut menumpukan hasil kraftangan dari serata tanahair. Hari ini Central Market telah diberikan nafas baru dan menjadikanya lebih efisyen sebagai tumpuan pusat kebudayaan dengan menggabungkan semua aspek dalam kebudayaan masyarakat di Malaysia.

Sejarah

Wau Bulan yang menjadi inspirasi kepada Kasturi Walk
Antara gerai-gerai di dalam Central Market.

Terdapat kedai-kedai dan gerai-gerai kecil di dalamnya.

Central Market pada asalnya merupakan sebuah pasar basah semasa mula ianya didirikan pada tahun 1888. Ianya didirikan oleh Yap Ah Loi yang merupakan Kapitan yang mengetuai kawasan tersebut bagi pelombong-pelombong Cina yang datang bekerja di Kuala Lumpur. Ianya terus berjasa pada Kuala Lumpur sehingga pada tahun 1980 apabila ianya dipindahkan ke lokasi yang lain. Kesempatan ini digunakan oleh Badan Kebudayaan Malaysia yang meminta supaya bangunan asal ini tidak dirobohkan dan dijadikan sebagai sebuah pusat kesenian, kebudayaan dan kraftangan.

Pada tahun 2004, Kah Seng Group mengambil alih semula bangunan bersejarah ini. Memandangkan potensi yang besar ia turut digabungkan bersama dengan Annexe dan menukarkan landskap sekitar Central Market dengan mempromosikan hasil seni negara, kebudayaan dan warisan Malaysia.

Dengan perbelanjaan sekitar RM 10 juta keseluruhan kawasan diberikan nafas baru dengan memelihara ciri-ciri asal keunikan Central Market. Dengan membuka lebih kiosk-kiosk di sekitar kawasan Central market dan menaik taraf semula kiosk yang ada mejadikan keseluruhan keluasan pameran & niaga yang disediakan adalah melebihi 100,000 kaki persegi.

Antara bahagian yang mendapat perhatian utama.

Barangan kraftangan Malaysia juga boleh didapati di sini.

Pengubahsuaian ini turut diberikan kepada ruang sekitar Central Market dengan menyediakan ruang pentas untuk pertunjukan kebudayaan. Begitu juga keunikan 'Kasturi Walk' yang dibina bercirikan keunikan 'Wau Bulan' dari Negeri Kelantan yang menjadi bumbung bagi lalun tersebut. Laluan ini juga menempatkan kiosk-kiosk kecil yang menjual pelbagai barangan daripada cenderahati kepada makanan Malaysia yang unik.

Berhampirannya pula ditambah lagi dengan Annexe bagi menambahkan lagi kawasan untuk ruang pameran dan galery bagi memenuhi kepuasan setiap pengunjung dari pelbagai golongan. Ruangan baru ini menjadikan Central Market lebih menonjol dalam menampilkan seni budaya dan kreativiti yang merangkumi skop yang lebih luas dan lebih mencabar.

Apa Yang Menarik di Sini


Labu Sayong dari Perak.
Bagi pengunjung-pengunjung luar, Central Market memberikan sekali imbas pelbagai keunikan yang terdapat di seluruh negara. Dari keunikan wayang kulit, labu sayung, anyaman rotan dan sebagainya kepada hasil sentuhan lukisan-lukisan pelukis tanahair yang berbakat. Pengalaman ini mungkin membuka lebih minat untuk mendalaminya secara dekat lokasi di mana ianya dihasilkan.

Begitu juga bagi pengunjung biasa yang mendapati perubahan pada bangunan sejarah ini menghidupkan semula  atau menyemarakkan lagi usaha menyelamatkan keunikan budaya kita yang semakin sukar untuk dikekalkan. Ya, bukan mudah mengekalkan sebahagian hasil kraftangan tanahair seperti anyaman mengkuang, rotan dan juga labu sayung sekiranya bahan utama dan kemahiran untuk menghasilkannya tidak lagi diwarisi generasi baru.

Selain itu di sini juga anda boleh dengan mudah mendapatkan cenderahati bercirikan kebudayaan negara dengan harga yang berpatutan. Maka ia menjadi satu destinasi yang mesti dikunjungi untuk mendapatkan suatu kenangan kunjungan anda ke Kuala Lumpur atau dijadikan hadiah bagi seseorang yang bermakna buat anda.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai destinasi menarik ini anda boleh lah mengunjungi laman web Central Market sendiri. Seperti yang saya katakan, kunjungan anda ke sini pastinya akan membawa seribu satu kenangan menarik dalam mendalami kesenian dan kebudayaan tanahair tercinta.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan