Penghasilan baja kompos di rumah |
Sekiranya anda memiliki halaman yang agak luas dan memiliki tanaman yang mencukupi adalah lebih menjimatkan bahan-bahan lebihan dari taman anda dikitar semula untuk dijadikan baja kompos. Ini kerana baja ini bukan sahaja menjimatkan malah selamat dan tidak mendatangkan mudarat pada tanaman anda.
Penyediaan baja kompos juga tidaklah terlalu rumit sekiranya semua keperluan untuk membuat baja ini telahpun sedia ada dirumah anda kerana anda hanya perlu menggunakan barangan terpakai dalam tujuan penghasilannya. Langkah-langkah untuk penghasilan baja kompos adalah seperti berikut;
1) Sediakan bekas untuk membuat baja kompos samada daripada kayu, atau pun bekas plastik. Sekiranya anda memerlukan saiz penghasilan yang lebih besar anda dinasihatkan menyediakan tempat khas daripada papan (mungkin lubang daripada tanah juga sesuai bagi yang berkebun). Sediakan kawasan yang sesuai kerana proses ini mungkin menghasilkan sedikit bauan dan ia juga menarik haiwan seperti ayam dan burung untuk mencari makanan.
2) Masukkan bahan-bahan untuk dijadikan baja. Perlu diingat bahan-bahan tersebut perlulah yang boleh mereput dan terdiri daripada sisa-sisa tumbuhan. Ia perlu mengandungi beberapa bahan yang membantu baja anda lebih berkesan iaitu daun hijau, daun-daun kering dan lebihan daripada tumbuhan seperti kulit buah-buahan dan sisa makanan daripada tumbuhan. Daun-daun hijau seperti rumput yang dipotong atau dahan yang dicantas kaya dengan nitrogen dain ini menjadikan baja yang dihasilkan lebih baik. Anda juga boleh mencampurkan najis haiwan seperti ayam, arnab, lembu dan kambing. Haiwan seperti anjing dan kucing sama sekali tidak boleh!
3) Masukkan bahan ke dalam bekas yang disediakan dan gaul bahan tersebut (menggunakan garpu tanah atau sebagainya) sehingga agak rata (antara daun hidup dan daun kering). Biarkan bahan tersebut dalam keadaan sebegitu bagi membenarkan ianya mereput perlahan-lahan.
4) Anda boleh mengawasi penghasilan baja anda untuk mendapatkan hasil yang optimum. Ini kerana proses ini memerlukan kelembapan untuk berjalan dengan sempurna, dalam masa yang sama pengudaraan juga perlu. Jadi anda perlu menggaulkan sedikit bahan-bahan ini sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Pastikan ianya tidak terlalu basah atau terlalu kering. Jadi anda boleh menggunakan bekas yang sememangnya disediakan lubang di bawahnya. Sekiranya ia agak kering lembabkan sedikit dengan menyiram air atau menambahkan daun-daun hijau. Anda juga boleh meletakkan cacing ke dalam campuran ini untuk mempercepatkan lagi proses penguraian. Sekiranya semua berjalan lancar proses ini mengambil masa kira-kira 2 ke 4 minggu.
Bahan untuk menghasilkan baja kompos. |
Proses tambahan untuk mempercepatkan penghasilan kompos. |
Beberapa peringkat penghasilan kompos. |
Kompos, baja yang sesuai untuk tanaman organik. |
Perlu Diingat!
a) Jangan campurkan daging semasa membuat kompos.
b) Jangan gunakan najis haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.
c) Jangan campurkan tumbuhan berbiji kerana ia boleh tumbuh kemudian.
d) Jangan gunakan tumbuhan yang telah diracun.
Begitulah cara mudah bagaimana anda boleh menghasilkan sendiri baja kompos di rumah. Penggunaan kompos juga dapat mengekalkan kelembapan untuk tanaman anda berbanding sekiranya anda menggunakan baja kimia. Ia juga sesuai untuk semua jenis tanaman samada tanaman pasu ataupun yang ditanam terus di tanah. Mungkin juga anda boleh menjual baja kompos yang anda hasilkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan