Isnin, 25 November 2013

Bagaimana Mencari Wangian Sesuai Untuk Anda

Pewangi lebih dari sekadar bauan
Wangian memang merupakan antara kemestian setiap kali kita keluar rumah samada ada untuk berkerja ataupun bersantai bersama rakan-rakan. Mengenakan wangian bermaksud kita memberikan perhatian kepada kebersihan diri selain daripada memberikan tahap status yang lebih baik. Di sini bukan bermaksud wangian anda perlu mahal tetapi anda sensitif terhadap perkara-perkara yang penting mengenainya.

Terdapat perbezaan bagi wangian lelaki dan perempuan walaupun ada juga wangian yang boleh digunakan untuk kedua-dua golongan. Ini kerana mengenakan wangian yang salah sewaktu menghadiri majlis-majlis tentu mungkin akan menyebabkan penilaian terhadap diri anda menurun kerana dalam kemahiran berikteraksi dan bersosial wangian juga memainkan peranan penting. Majlis-majlis seperti ini biasanya menjadi tapak untuk seseorang menjalinkan rangkain perniagaan atau kerjaya jadi sudah semestinya anda perlu lebih berhati-hati.

Mencari dan memahami keperluan wangian untuk diri anda bukanlah sesuatu yang sukar sekiranya anda memberikan sedikit tumpuan dan mempelajari beberapa perkara asas mengenainya. Anda juga boleh mencuba seberapa banyak contoh pewangi yang boleh didapati kerana ianya diberikan secara percuma di kaunter-kaunter pewangi. Ya, anda tak perlu risau sekiranya anda tidak berminat untuk membelinya kerana sememangnya ia adalah proses yang biasa.

Perkara penting yang anda perlu ketahui tentang pewangi moden adalah ianya gabungan beberapa wangian yang dipanggil 'notes' dan ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu top, heart dan base. Wangian ini akan hanya anda perasan setelah beberapa lama anda mengenakan sesuatu wangian. Bau yang mula-mula akan anda perasan adalah dari bauan 'top notes'. Ini akan diikuti pula oleh bauan 'heart notes' setelah beberapa lama kemudian. Manakala bauan 'base notes' akan kekal untuk beberapa lama bersama anda (mengikut ketahanan sesuatu wangian). Jadi anda tidak boleh membuat keputusan mengenai sesuatu pewangi sejurus selepas anda menyemburnya dan ia adalah kaedah sebenar yang perlu ketahui.

Terdapat beberapa jenis wangian yang diklasifikasikan mengikut beberapa kumpulan. Melalui kumpulan-kumpulan ini mungkin dapat memudahkan anda untuk mengenalpasti wangian yang sesuai untuk anda dan wangian-wangian yang sesuai untuk sesuatu tujuan atau majlis. Kumpulan-kumpulan ini merupakan pengklasifikasian yang biasa dilakukan oleh pengeluar-pengeluar atau pereka pewangi sendiri.

Bungaan/ Buah-buahan


Bau-bauan daripada bunga-bungaan sememangan merupakan wangian asal yang digunakan untuk wanita seperti bunga ros dan jasmine. Wangian dari bunga-bungaan juga boleh terdiri daripada satu jenis bunga sahaja atau gabungan daripada beberapa jenis yang sesuai untuk dipadankan. Wangain bungaan juga amat sesuai dipadankan dengan bau-bauan daripada buah-buahan untuk menimbulkan satu wangian yang lebih memikat. Buah-buahan yang biasanya digunakan sebagai haruman adalah seperti epal, berry, oren, plum dan sebagainya. Manakala bunga-bungaan pula adalah seperti ros, iris, jasmine, lavender dan sebagainya. Antara pewangi yang dihasilkan daripada bauan ini adalah: Flowerbomb dari Viktor & Rolf, Plum dari Mary Greenwell, Balenciaga dari Balenciaga Paris.

Bauan segar/ Fresh


Bauan dari jenis ini adalah lebih mudah untuk dipadankan kerana ianya sesuai untuk lelaki mahupun wanita kerana bauannya lebih ringan. Bauan seperti ini adalah lebih aquatic atau ozonic dan anda merasakan ianya lebih mudah apabila dihidu. Terdapat banyak wangian dari jenis ini kerana ianya mudah dipadankan dengan kebanyakan golongan pengguna dan sesuai untuk kebanyakan majlis juga. Bauan dari jenis ini dihasilkan daripada buah-buahan citrus dan tumbuhan-tumbuhan lain seperti: oren, bergamot, lemon, limau, blossom, pudina, basil dan serai. Antara pewangi daripada bauan ini pula adalah: Infusion d'Iris dari Prada, Neroli Portofino dari Tom Ford, Colonia Intensa dari Aqua di Parma.

Rempah/ Oriental


Bauan yang lebih memikat dikatakan tergolong dari kumpulan ini. Ia menghasilkan sensasi yang lebih menghairahkan dan bauannya juga lebih exotic. Namun bauan jenis ini biasanya digabungkan dengan wangian daripada bunga-bungaan untuk memberikan ianya aroma yang lebih lembut dan penyesuaian untuk bauan antara lelaki dan wanita. Bauan jenis ini amat dikenali kerana ianya lebih memikat dan mewah. Bauan dari kumpulan ini biasanya dihasilkan daripada bauan: resin, amber, musk, vanilla, kayu manis, cengkih, bunga lawang, halia, dan buah keras. Antara pewangi daripada bauan ini pula adalah: Gucci Guilty dari Gucci, Shalimar dari Guerlain, Opium dari Yves Saint Laurent.

Kekayuan/ Musk


Bauan jenis ini memberikan sensasi yang lebih kepada alam and ianya agak mendalam. Bauan dari jenis ini juga mungkin menarik minat anda atau sebaliknya - kerana ia tidak sesuai untuk semua orang. Bauan kekayuan dan musk ini pada aslinya adalah sesuai kepada kaum lelaki namun biasanya ia dipadankan dengan rempah dan bunga-bungaan untuk menjadikannya lebih lembut dan sesuai untuk golongan wanita. Bauan dari jenis ini biasanya dihasilkan daripada: patchouli, kayu cendana, cedar, pine, vetiver, oakmoss, amber, musk, geharu, birch, juniper, kulit dan tembakau. Antara pewangi daripada bauan ini pula adalah: Miss Dior Cherie dari Dior, Alien dari Thierry Mugler, Essence dari Norciso Rodriguez

Jadi itu adalah antara beberapa kumpulan asas pewangi yang anda perlu ketahui untuk mendalami mengenai jenis-jenis pewangi yang dihasilkan. Dengan mengetahui kumpulan pewangi ini adalah lebih mudah untuk anda membuat pilihan wangian yang sesuai untuk diri anda. Anda juga boleh memiliki wangian dari kumpulan yang berbeza untuk keadaan-keadaan yang berbeza. Ini kerana bauan yang segar/fresh lebih sesuai untuk digunakan sewaktu anda keluar bekerja manakala bauan yang lebih kuat seperti rempah/oriental pula sesuai untuk majlis malam di mana keadaan cuaca yang lebih sejuk.

Kita ikuti pula beberapa tips menarik mengenai pewangi yang perlu anda ketahui sebelum membeli pewangi yang sesuai untuk anda:

1) Pewangi mempunyai kesan bauan yang berbeza dengan setiap individu, jadi anda tidak boleh membeli sesuatu pewangi berpandukan bauan yang digunakan oleh orang lain. Anda perlu mencubanya ke atas diri anda terlebih dahulu.

2) Semburkan pewangi di bawah rambut di belakang tengkuk anda untuk ketahanan wangian yang lebih lama atau semburkan pada scarf bagi perempuan. Lelaki pula boleh menggunakan bauan di sekitar tengkuk dan bahu pada baju. ini kerana ia adalah lebih hampir kepada hidung orang lain. Bagaimanapun hati-hati sekiranya pewangi anda boleh meninggalkan kesan pada pakaian.

3) Simpan pewangi anda di tempat yang terlindung dari pancaran matahari dan kepanasan yang tinggi bagi mengelakkan pewangi anda rosak.

4) Pewangi moden adalah gabungan wangi-wangian yang berbeza. Bauan yang kekal lama pada anda adalah dari bauan 'base notes' seperti yang diterangkan. Jadi anda perlu memastikan bauan ini merupakan bauan yang anda mahukan. Tidak perlu terburu-buru semasa memilih wangian.

5) Adalah lebih tepat sekiranya anda penyemburkan pewangi pada kulit anda sendiri berbanding membuat penilaian bauan yang disembur pada kertas. Ini kerana keseluruhan bauan hanya akan dapat dikenalpasti dengan tindakbalas pewangi dan haba dari kulit. Ia juga perlu menimbulkan aroma bauan tersendiri daripada kulit anda.

Begitulah beberapa pekara yang penting yang perlu anda ketahui mengenai minyak wangi. Maka tidak hairanlah mengapa ianya menjadi kegilaan atau kemestian kepada sesetengah golongan yang bekerjaya. Bagi pereka minyak wangi pula ia merupakan satu pekara seni sama seperti rekaan fesyen dan karya-karya seni yang lain cuma ia dihasilkan dalam bentuk bauan. Tambahkan sedikit pengetahuan anda mengenai pewangi bagi memastikan anda membuat pilihan yang tepat.



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog