Jumaat, 29 November 2013

Jalan-jalan Ke Taman Rama-rama Kuala Lumpur

Rama-rama yang unik
Taman Rama-rama Kuala Lumpur atau juga dikenali sebagai Kuala Lumpur Butterfly Park merupakan taman rama-rama terbesar di dunia ini. Terletak di kawasan Taman Tasik Perdana yang menempatkan banyak lagi tempat-tempat untuk dikunjungi. Tidak seperti taman-taman yang lain taman ini menampilkan serangga rama-rama dari pelbagai spesis sebagai tarikan utamanya.

Rama-rama bebas menghisap madu

Perkara utama yang membantu taman rama-rama ini berjaya menempatkan spesis rama-rama di sini dibantu oleh landskapnya yang menarik. Berkonsepkan taman tropika ianya dipenuhi dengan hidupan mirip seperti habitat asal kepada serangga istimewa ini. Keseimbangan pada landskap inilah menjadikan taman ini begitu istimewa sekali - kerana selain daripada melihat kecantikan rama-rama tesebut anda juga dapat melihat bagaimana habitat serangga ini di hutan.

Dengan keluasan 80,000 kaki persegi dan dipenuhi dengan 5,000 rama-rama hidup di dalam taman yang dipenuhi paku-pakis serta tumbuhan berbunga yang lain anda mungkin tidak menyangka yang anda berada di persekitaran Bandaraya Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja malah kolam di dalam taman ini juga menempatkan spesis Koi, Jepun yang turut menambahkan lagi kedamaian semasa anda membuar rondaan di sini.

Pepatung juga terdapat di sini
Serangga-serangga lain yang ada

Terdapat juga serangga-serangga lain yang dijadikan bahan pameran di samping hidupan-hidupan lain. Serangga-serangga ini begitu unik kerana anda mungkin tidak perasan kerana ia kelihatan seolah-olah sebahagian daripada tumbuhan. Terdapat juga muzium serangga yang menampilkan koleksi rama-rama dan serangga dari seluruh dunia. Di sini anda akan melihat lebih lanjut akan keindahan sebenar dunia serangga, kerana terdapat pelbagai spesis rama-rama yang berwarna-warni dan serangga-serangga lain seperti kumbang juga yang amat cantik.

Lokasi


Taman Rama-rama Kuala Lumpur terletak berhampiran Masjid Negara. Jadi untuk ke sini anda dengan mudah sekali anda boleh berjalan kaki dari Dayabumi atau stesyen keretapi Kuala Lumpur. Tentu sahaja lebih mudah sekiranya anda menggunakan perkhidmatan teksi daripada lokasi-lokasi berhampiran. Sekiranya anda membawa kenderaan sendiri bolehlah juga membuat lawatan ke taman-taman berhampiran seperti taman burung, taman orkid atau planetarium negara.

Harga Tiket


Harga tiket untuk melawati taman ini juga amat berpatutan dan adalah seperti berikut:

Dewasa: RM20

Kanak-kanak: RM10

*harga istimewa untuk pemegang MyKad dan MyKid pada separuh harga.

**harga untuk sekeluarga bagi Rakyat Malaysia ialah: RM30
(2 dewasa + 3 kanak-kanak) dokumen pengesahan diperlukan.

Taman ini dibuka setiap hari dari jam 9:00 pagi hingga ke 6:00 petang

Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi Taman Rama-rama KL di talian: +603 2693 4799 atau ke laman web Taman Rama-rama KL.

Kolam kan Koi yang menyejukkan
Ini pula spesis kura-kura dari luar negara.

Juga terdapat kedai cenderahati untuk anda bawa pulang sebagai kenang-kenangan. Melihat kepada keunikan serangga-serangga tersebut sememangnya anda akan tertarik untuk membawa pulang di antaranya. Tapi perlu diingat yang telah dijadikan cenderahati sahaja boleh anda bawa pulang. Dengan sokongan kita semua menghargai taman ini semoga ia akan terus dapat menyediakan bahan pameran yang berkualiti untuk tatapan kita semua dimasa hadapan.



Free Download



Rabu, 27 November 2013

Jalan-jalan Ke Aquaria KLCC, Kuala Lumpur

Pari gergasi ini antara tarikan utama Aquaria KLCC

Aquaria KLCC, Kuala Lumpur bukanlah satu-satunya pusat aquarium di negara ini namun merupakan yang terbaik untuk dikunjungi kerana menyediakan ruang pameran yang terbaik bagi pengunjung-pengunjung yang ingin melihat kehidupan marin dengan lebih dekat. Bersebelahan dengan Menara Berkembar Petronas dan lokasi sekitar Segitiga Emas, Kuala Lumpur ia merupakan tarikan baru sejak ianya dibuka.

Berkeluasan kira-kira 60,000 kaki persegi dengan menempatkan lebih 5,000 bahan pameran yang terdiri daripada pelbagai hidupan laut dan darat pastinya memberi pulangan bagi anda yang mengunjungi pusat aquarium ini. Ini kerana bukan mudah bagi kita menemui semua hidupan ini di habitat sebenar mereka iaitu lautan yang luas.

Terbahagi kepada banyak bahagian pameran yang merangkumi dua aras berbeza menyediakan satu pengalaman yang pastinya berbeza. 'The Flooded Forest' misalnya menampilkan ciri-ciri hidupan di hutan paya yang semestinya sukar untuk dilawati kerana kawasan seperti ini dalam keadaan semulajadinya sentiasa dipenuhi selut dan lumpur. Begitu juga 'The Coast' yang menampilkan hidupan-hidupan di tepi pantai. Hari ini kawasan tepi pantai teruk musnah akibat pembangunan yang pesat. Jadi adalah sukar untuk menemui kesemua hidupan yang sepatutnya berada di situ.

Arapaima gergasi air tawar

Yang menjadi tarikan utama di sini tentulah 'Ocenarium' iaitu terowong dasar laut yang memberikan ada pengalaman mengenai kehidupan di dasar laut. Terowong dengan kepanjangan 90 meter ini membolehkan ada melihat kehidupan dasar laut dengan lebih dekat seperti Jerung Pasir, Ikan Pari Gergasi, Penyu dan kumpulan-kumpulan ikan yang lain. Akuarium ini juga dipenuhi dengan terumbu karang dan hidupan-hidupan laut yang lain.

Selain itu terdapat juga aquarium-aquarium kecil yang menyediakan ruang pameran untuk hidupan-hidupan tertentu seperti Belut Elektrik, Piranha, hidupan laut dalam dan hidupan-hidupan lain seperti memerang, reptilia serta serangga. Ini bagi memberikan peluang anda melihat mereka dengan lebih dekat. Haiwan-haiwan seperti ini sukar dilihat sekiranya ditempatkan dalam kurungan yang besar dan mungkin juga akan memakan hidupan yang lain seperti Piranha yang diketahui sememangnya agresif.

Harga tiket untuk melawat ke aquaria juga sangatlah berpatutan seperti berikut;

Terowong dasar laut yang unik
Dewasa (Biasa): RM69
Kanak-kanak (Biasa): RM59

Dewasa (MyKad): RM49
Kanak-kanak (MyKid): RM39

Warga Emas (Biasa): RM49
Warga Emas (MyKad): RM39

Untuk program lain seperti Fun & Learning pula harganya adalah;

Sleep with Sharks

Dewasa: -
Kanak-kanak: RM199

Front of House Tour

Dewasa: RM10
Kanak-kanak: RM8

Manakala aktiviti tambahan bagi dewasa pula adalah 'Dive With Us' dengan bayaran;

Cage Rage: RM211 (Dewasa)

Dive With Sharks: RM424 (Dewasa)

*kanak-kanak: (3 - 12 tahun)
*warga emas: (60 tahun dan ke atas)

Dibuka setiap hari dari jam 10:30 pagi hingga 8:00 malam

Tiket juga boleh dibeli secara online melalui laman web Aquaria KLCC

Menjanjikan pengalaman menarik
Banyak lagi aktiviti-aktiviti menarik yang berlaku di sini selain daripada promosi-promosi yang dijalankan oleh Aquaria KLCC anda juga boleh menempah untuk melakukan sebarang upacara di sini. Apa yang anda perlukan adalah munghubungi talian Aquaria untuk membuat tempahan: +603 2333 1971/ 1975/ 1976/ 1978 atau hantarkan email ke: marketing@aquawalk.com

Oh, kita belum habis lagi ya. Anda juga sebenarnya berpeluang untuk membeli barangan cenderahati untuk dibawa pulang sebagai kenangan. Barangan cenderahati di Atlantis Souvenir Store adalah pada harga yang berpatutan. Pelbagai cenderahati yang boleh mengingatkan kembali saat-saat manis sewaktu anda ke sini. Ia juga boleh dihadiahkan kepada ahli keluarga dan sahabat handai.

Selesai melawat ke sini bolehlah anda terus melawat ke Menara Berkembar Petronas yang bersebelahan pula atau melapangkan fikiran di Kuala Lumpur City Centre Park yang pastinya menyamankan.


Selasa, 26 November 2013

Jalan-jalan ke Central Market, Kuala Lumpur

Keunikan Kasturi Walk
Central Market atau juga dikenali sebagai Pasar Seni bukanlah satu destinasi pelancongan yang baru di negara kita. Sejak sekian lama ia menjadi satu destinasi yang mesti disinggahi bagi setiap pelancong yang berkujung ke Kuala Lumpur untuk mengenali lebih dekat mengenai kebudayaan dan keunikan negara kita Malaysia. Central Market juga amat terkenal bagi penduduk Malaysia sendiri terutama bagi pengiat-pengiat seni dan kebudayaan. Di sini mereka berkumpul untuk sama-sama menyumbangkan hasil seni masing-masing untuk tatapan semua.

Lokasinya yang strategik menjadikan Central Market destinasi yang paling mudah untuk dikunjungi kerana hampir semua kemudahan pengangkutan awam bertumpu nerhampiran dengan lokasi ini. Stesyen LRT Pasar Seni membawa sejumlah pengunjung yang ramai dari haluan KL Central yang juga menjadi hub pengangkutan ke destinasi lain seperti KLIA dan laluan-laluan KTM dari seluruh negara. Manakala pengangkutan lain seperti seperti bas juga singgah berhampiran stesyen ini dari destinasi-destinasi utama seperti Bandar Seremban. Begitu juga bagi penumpang yang menggunakan RapidKL dari stesyen Masjid Jamek, kerana perjalan dari stesyen tersebut tidaklah memakan masa yang lama dengan hanya berjalan kaki.

Bangunan 'Central Market' merupakan antara bangunan terawal di Kuala Lumpur.

Oleh kerana ianya menyatukan kebudayaan dari setiap negeri dari seluruh negara maka destinasi ini sesuai untuk setiap pengunjung dari dalam mahupun luar negara. Setelah sekian lama Central Market menjadi tumpuan bagi anak-anak seni Malaysia menyumbangkan hasil seni mereka, begitu juga ia turut menumpukan hasil kraftangan dari serata tanahair. Hari ini Central Market telah diberikan nafas baru dan menjadikanya lebih efisyen sebagai tumpuan pusat kebudayaan dengan menggabungkan semua aspek dalam kebudayaan masyarakat di Malaysia.

Sejarah

Wau Bulan yang menjadi inspirasi kepada Kasturi Walk
Antara gerai-gerai di dalam Central Market.

Terdapat kedai-kedai dan gerai-gerai kecil di dalamnya.

Central Market pada asalnya merupakan sebuah pasar basah semasa mula ianya didirikan pada tahun 1888. Ianya didirikan oleh Yap Ah Loi yang merupakan Kapitan yang mengetuai kawasan tersebut bagi pelombong-pelombong Cina yang datang bekerja di Kuala Lumpur. Ianya terus berjasa pada Kuala Lumpur sehingga pada tahun 1980 apabila ianya dipindahkan ke lokasi yang lain. Kesempatan ini digunakan oleh Badan Kebudayaan Malaysia yang meminta supaya bangunan asal ini tidak dirobohkan dan dijadikan sebagai sebuah pusat kesenian, kebudayaan dan kraftangan.

Pada tahun 2004, Kah Seng Group mengambil alih semula bangunan bersejarah ini. Memandangkan potensi yang besar ia turut digabungkan bersama dengan Annexe dan menukarkan landskap sekitar Central Market dengan mempromosikan hasil seni negara, kebudayaan dan warisan Malaysia.

Dengan perbelanjaan sekitar RM 10 juta keseluruhan kawasan diberikan nafas baru dengan memelihara ciri-ciri asal keunikan Central Market. Dengan membuka lebih kiosk-kiosk di sekitar kawasan Central market dan menaik taraf semula kiosk yang ada mejadikan keseluruhan keluasan pameran & niaga yang disediakan adalah melebihi 100,000 kaki persegi.

Antara bahagian yang mendapat perhatian utama.

Barangan kraftangan Malaysia juga boleh didapati di sini.

Pengubahsuaian ini turut diberikan kepada ruang sekitar Central Market dengan menyediakan ruang pentas untuk pertunjukan kebudayaan. Begitu juga keunikan 'Kasturi Walk' yang dibina bercirikan keunikan 'Wau Bulan' dari Negeri Kelantan yang menjadi bumbung bagi lalun tersebut. Laluan ini juga menempatkan kiosk-kiosk kecil yang menjual pelbagai barangan daripada cenderahati kepada makanan Malaysia yang unik.

Berhampirannya pula ditambah lagi dengan Annexe bagi menambahkan lagi kawasan untuk ruang pameran dan galery bagi memenuhi kepuasan setiap pengunjung dari pelbagai golongan. Ruangan baru ini menjadikan Central Market lebih menonjol dalam menampilkan seni budaya dan kreativiti yang merangkumi skop yang lebih luas dan lebih mencabar.

Apa Yang Menarik di Sini


Labu Sayong dari Perak.
Bagi pengunjung-pengunjung luar, Central Market memberikan sekali imbas pelbagai keunikan yang terdapat di seluruh negara. Dari keunikan wayang kulit, labu sayung, anyaman rotan dan sebagainya kepada hasil sentuhan lukisan-lukisan pelukis tanahair yang berbakat. Pengalaman ini mungkin membuka lebih minat untuk mendalaminya secara dekat lokasi di mana ianya dihasilkan.

Begitu juga bagi pengunjung biasa yang mendapati perubahan pada bangunan sejarah ini menghidupkan semula  atau menyemarakkan lagi usaha menyelamatkan keunikan budaya kita yang semakin sukar untuk dikekalkan. Ya, bukan mudah mengekalkan sebahagian hasil kraftangan tanahair seperti anyaman mengkuang, rotan dan juga labu sayung sekiranya bahan utama dan kemahiran untuk menghasilkannya tidak lagi diwarisi generasi baru.

Selain itu di sini juga anda boleh dengan mudah mendapatkan cenderahati bercirikan kebudayaan negara dengan harga yang berpatutan. Maka ia menjadi satu destinasi yang mesti dikunjungi untuk mendapatkan suatu kenangan kunjungan anda ke Kuala Lumpur atau dijadikan hadiah bagi seseorang yang bermakna buat anda.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai destinasi menarik ini anda boleh lah mengunjungi laman web Central Market sendiri. Seperti yang saya katakan, kunjungan anda ke sini pastinya akan membawa seribu satu kenangan menarik dalam mendalami kesenian dan kebudayaan tanahair tercinta.


Free Download



Isnin, 25 November 2013

Bagaimana Mencari Wangian Sesuai Untuk Anda

Pewangi lebih dari sekadar bauan
Wangian memang merupakan antara kemestian setiap kali kita keluar rumah samada ada untuk berkerja ataupun bersantai bersama rakan-rakan. Mengenakan wangian bermaksud kita memberikan perhatian kepada kebersihan diri selain daripada memberikan tahap status yang lebih baik. Di sini bukan bermaksud wangian anda perlu mahal tetapi anda sensitif terhadap perkara-perkara yang penting mengenainya.

Terdapat perbezaan bagi wangian lelaki dan perempuan walaupun ada juga wangian yang boleh digunakan untuk kedua-dua golongan. Ini kerana mengenakan wangian yang salah sewaktu menghadiri majlis-majlis tentu mungkin akan menyebabkan penilaian terhadap diri anda menurun kerana dalam kemahiran berikteraksi dan bersosial wangian juga memainkan peranan penting. Majlis-majlis seperti ini biasanya menjadi tapak untuk seseorang menjalinkan rangkain perniagaan atau kerjaya jadi sudah semestinya anda perlu lebih berhati-hati.

Mencari dan memahami keperluan wangian untuk diri anda bukanlah sesuatu yang sukar sekiranya anda memberikan sedikit tumpuan dan mempelajari beberapa perkara asas mengenainya. Anda juga boleh mencuba seberapa banyak contoh pewangi yang boleh didapati kerana ianya diberikan secara percuma di kaunter-kaunter pewangi. Ya, anda tak perlu risau sekiranya anda tidak berminat untuk membelinya kerana sememangnya ia adalah proses yang biasa.

Perkara penting yang anda perlu ketahui tentang pewangi moden adalah ianya gabungan beberapa wangian yang dipanggil 'notes' dan ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu top, heart dan base. Wangian ini akan hanya anda perasan setelah beberapa lama anda mengenakan sesuatu wangian. Bau yang mula-mula akan anda perasan adalah dari bauan 'top notes'. Ini akan diikuti pula oleh bauan 'heart notes' setelah beberapa lama kemudian. Manakala bauan 'base notes' akan kekal untuk beberapa lama bersama anda (mengikut ketahanan sesuatu wangian). Jadi anda tidak boleh membuat keputusan mengenai sesuatu pewangi sejurus selepas anda menyemburnya dan ia adalah kaedah sebenar yang perlu ketahui.

Terdapat beberapa jenis wangian yang diklasifikasikan mengikut beberapa kumpulan. Melalui kumpulan-kumpulan ini mungkin dapat memudahkan anda untuk mengenalpasti wangian yang sesuai untuk anda dan wangian-wangian yang sesuai untuk sesuatu tujuan atau majlis. Kumpulan-kumpulan ini merupakan pengklasifikasian yang biasa dilakukan oleh pengeluar-pengeluar atau pereka pewangi sendiri.

Bungaan/ Buah-buahan


Bau-bauan daripada bunga-bungaan sememangan merupakan wangian asal yang digunakan untuk wanita seperti bunga ros dan jasmine. Wangian dari bunga-bungaan juga boleh terdiri daripada satu jenis bunga sahaja atau gabungan daripada beberapa jenis yang sesuai untuk dipadankan. Wangain bungaan juga amat sesuai dipadankan dengan bau-bauan daripada buah-buahan untuk menimbulkan satu wangian yang lebih memikat. Buah-buahan yang biasanya digunakan sebagai haruman adalah seperti epal, berry, oren, plum dan sebagainya. Manakala bunga-bungaan pula adalah seperti ros, iris, jasmine, lavender dan sebagainya. Antara pewangi yang dihasilkan daripada bauan ini adalah: Flowerbomb dari Viktor & Rolf, Plum dari Mary Greenwell, Balenciaga dari Balenciaga Paris.

Bauan segar/ Fresh


Bauan dari jenis ini adalah lebih mudah untuk dipadankan kerana ianya sesuai untuk lelaki mahupun wanita kerana bauannya lebih ringan. Bauan seperti ini adalah lebih aquatic atau ozonic dan anda merasakan ianya lebih mudah apabila dihidu. Terdapat banyak wangian dari jenis ini kerana ianya mudah dipadankan dengan kebanyakan golongan pengguna dan sesuai untuk kebanyakan majlis juga. Bauan dari jenis ini dihasilkan daripada buah-buahan citrus dan tumbuhan-tumbuhan lain seperti: oren, bergamot, lemon, limau, blossom, pudina, basil dan serai. Antara pewangi daripada bauan ini pula adalah: Infusion d'Iris dari Prada, Neroli Portofino dari Tom Ford, Colonia Intensa dari Aqua di Parma.

Rempah/ Oriental


Bauan yang lebih memikat dikatakan tergolong dari kumpulan ini. Ia menghasilkan sensasi yang lebih menghairahkan dan bauannya juga lebih exotic. Namun bauan jenis ini biasanya digabungkan dengan wangian daripada bunga-bungaan untuk memberikan ianya aroma yang lebih lembut dan penyesuaian untuk bauan antara lelaki dan wanita. Bauan jenis ini amat dikenali kerana ianya lebih memikat dan mewah. Bauan dari kumpulan ini biasanya dihasilkan daripada bauan: resin, amber, musk, vanilla, kayu manis, cengkih, bunga lawang, halia, dan buah keras. Antara pewangi daripada bauan ini pula adalah: Gucci Guilty dari Gucci, Shalimar dari Guerlain, Opium dari Yves Saint Laurent.

Kekayuan/ Musk


Bauan jenis ini memberikan sensasi yang lebih kepada alam and ianya agak mendalam. Bauan dari jenis ini juga mungkin menarik minat anda atau sebaliknya - kerana ia tidak sesuai untuk semua orang. Bauan kekayuan dan musk ini pada aslinya adalah sesuai kepada kaum lelaki namun biasanya ia dipadankan dengan rempah dan bunga-bungaan untuk menjadikannya lebih lembut dan sesuai untuk golongan wanita. Bauan dari jenis ini biasanya dihasilkan daripada: patchouli, kayu cendana, cedar, pine, vetiver, oakmoss, amber, musk, geharu, birch, juniper, kulit dan tembakau. Antara pewangi daripada bauan ini pula adalah: Miss Dior Cherie dari Dior, Alien dari Thierry Mugler, Essence dari Norciso Rodriguez

Jadi itu adalah antara beberapa kumpulan asas pewangi yang anda perlu ketahui untuk mendalami mengenai jenis-jenis pewangi yang dihasilkan. Dengan mengetahui kumpulan pewangi ini adalah lebih mudah untuk anda membuat pilihan wangian yang sesuai untuk diri anda. Anda juga boleh memiliki wangian dari kumpulan yang berbeza untuk keadaan-keadaan yang berbeza. Ini kerana bauan yang segar/fresh lebih sesuai untuk digunakan sewaktu anda keluar bekerja manakala bauan yang lebih kuat seperti rempah/oriental pula sesuai untuk majlis malam di mana keadaan cuaca yang lebih sejuk.

Kita ikuti pula beberapa tips menarik mengenai pewangi yang perlu anda ketahui sebelum membeli pewangi yang sesuai untuk anda:

1) Pewangi mempunyai kesan bauan yang berbeza dengan setiap individu, jadi anda tidak boleh membeli sesuatu pewangi berpandukan bauan yang digunakan oleh orang lain. Anda perlu mencubanya ke atas diri anda terlebih dahulu.

2) Semburkan pewangi di bawah rambut di belakang tengkuk anda untuk ketahanan wangian yang lebih lama atau semburkan pada scarf bagi perempuan. Lelaki pula boleh menggunakan bauan di sekitar tengkuk dan bahu pada baju. ini kerana ia adalah lebih hampir kepada hidung orang lain. Bagaimanapun hati-hati sekiranya pewangi anda boleh meninggalkan kesan pada pakaian.

3) Simpan pewangi anda di tempat yang terlindung dari pancaran matahari dan kepanasan yang tinggi bagi mengelakkan pewangi anda rosak.

4) Pewangi moden adalah gabungan wangi-wangian yang berbeza. Bauan yang kekal lama pada anda adalah dari bauan 'base notes' seperti yang diterangkan. Jadi anda perlu memastikan bauan ini merupakan bauan yang anda mahukan. Tidak perlu terburu-buru semasa memilih wangian.

5) Adalah lebih tepat sekiranya anda penyemburkan pewangi pada kulit anda sendiri berbanding membuat penilaian bauan yang disembur pada kertas. Ini kerana keseluruhan bauan hanya akan dapat dikenalpasti dengan tindakbalas pewangi dan haba dari kulit. Ia juga perlu menimbulkan aroma bauan tersendiri daripada kulit anda.

Begitulah beberapa pekara yang penting yang perlu anda ketahui mengenai minyak wangi. Maka tidak hairanlah mengapa ianya menjadi kegilaan atau kemestian kepada sesetengah golongan yang bekerjaya. Bagi pereka minyak wangi pula ia merupakan satu pekara seni sama seperti rekaan fesyen dan karya-karya seni yang lain cuma ia dihasilkan dalam bentuk bauan. Tambahkan sedikit pengetahuan anda mengenai pewangi bagi memastikan anda membuat pilihan yang tepat.



Free Download



Sabtu, 23 November 2013

Cara Mudah Memastikan Kulit Sihat

Penjagaan kulit memastikan kulit sihat can dantik.

Penjagaan kulit sememangnya penting sebagai penampilan utama seeorang kepada dunia luar. Selain daripada menjadi pelindung kepada kulit juga boleh menunjukkan tahap kesihatan seseorang disamping memberikan gambaran tentang keperibadian diri kita.

Industri kecantikan sepatutnya tidak dipandang serong atau mungkin adakalanya ianya diberikan perhatian yang berlebihan. Untuk memastikan kulit yang sihat tidak semestinya kita berbelanja lebih melainkan kita hanya perlu memahami antara keperluan dan pembaziran. Gunakan produk yang tepat untuk kegunaan yang bersesuaian. Jadi anda perlu mengetahui beberapa perkara sebelum membuat keputusan membeli sesuatu produk penjagaan kulit.

Pastikan Jenis Kulit Anda


Memastikan jenis kulit dapat menjimatkan masa anda menentukan produk yang sesuai. Malah ia juga dapat memberikan kesan yang lebih efektif. Kulit yang sihat biasanya lebih tahan kepada bahan-bahan penjagaan kulit. Ini bermakna anda juga perlu mengekalkan kesihatan badan. Adalah mustahil kulit yang sihat datang daripada badan yang bermasalah, sakit dan sebagainya. Pastikan anda melakukan senaman dan mengekalkan kesihatan badan dengan bersenam dan pemakanan yang seimbang.

Kulit Kering/ Amat Kering


Bagi yang memiliki kulit jenis ini permukaan kulit biasanya berasa agak tegang dan adakalanya kelihatan berkeping (flakey). Kulit anda juga sukar untuk dilembabkan dengan pelembab biasa dan sekiranya terlalu kering ia akan berasa gatal. Kulit anda akan berasa lebih kering selepas mencuci muka kesan kehilangan lembapan yang berlebihan.

Kulit Biasa/ Kombinasi


Kulit anda boleh menjadi sangat mudah diurus atau adakalanya sukar untuk diatasi kerana bagi kulit kombinasi masalah mungkin timbul di sekitar kawasan T iaitu dahi dan pada kawasan hidung. Ini adakalanya menimbulkan jerawat dan sesekali agak berminyak. Masalah utama mungkin dalam menentukan produk penjagaan kulit yang sesuai.

Berminyak/ Jerawat


Samada kulit anda sentiasa berminyak atau mungkin pernah mengalami masalah jerawat semasa meningkat dewasa. Kulit anda akan kelihatan terlalu berminyak (shiny) dan ini menimbulkan masalah semasa mengenakan make-up kerana adakalanya ia mudah tanggal. Pemilihan pelembab juga agak sukar kerana anda merasa kuathir yang ini akan menambahkan lagi kesan berminyak pada kulit anda.

Apa Dan Bila Untuk Menggunakan

Anda tidak perlu membeli semua produk penjagaan kulit.

Anda juga tidak semestinya menggunakan jenama yang mahal.

Pencuci Muka


Gunakan pencuci muka dua kali sehari semasa bangun pagi dan sebelum masuk tidur (sekurangnya). Kotoran yang tinggal pada kulit ataupun kesan make-up boleh mengganggu kulit dan ini boleh mengakibatkan masalah. Gunakan pencuci muka yang bersesuaian dengan jenis kulit anda - yang tidak menyebabkan kulit merasa terlalu kering selepas menggunakannya. Bagi yang mempunyai kulit kering boleh gunakan pencuci dari jenis krim yang melembabkan kulit.

Toner (Penyegar)


Toner digunakan selepas proses mencuci dan selelum proses melembab. Anda mungkin pernah terbaca mengenai fungsi toner. Selain daripada membantu proses pembersihan selepas proses mencuci ia juga akan mengimbangi semula kesimbangan dan kesegaran kulit. Adalah terbaik sekiranya anda menggunakan toner setiap selepas proses pencucian namun sekiranya anda tidak keluar rumah atau mengenakan make-up anda boleh meninggalkan proses ini.

Mask


Mask menyediakan rawatan yang lebih mendalam untuk kulit anda. Anda boleh menggunakan mask sekali dalam seminggu bagi membantu proses pembersihan permukaan kulit. Terdapat pelbagai jenis mask dan kegunaannya, jadi pastikan anda membaca terlebih dahulu tentang fungsi dan kaedah penggunaan yang betul. Anda juga mungkin boleh menyediakan mask sendiri sekiranya anda tahu cara untuk membuatnya.

Penyental (Exfoliators)


Penyental juga adalah penting untuk memastikan kulit mati dapat betul-betul dibuang dari permukaan kulit. Sel kulit mati boleh menjadi sebahagian masalah kulit kasar, kegatalan dan jerawat. Jangan gunakan penyetal secara kasar (biasanya bagi lelaki) kerana ia juga boleh merosakkan kulit sebaliknya gosok dengan lembut pada bahagian yang memerlukan. Gunakan penyental ini 2 kali seminggu atau untuk penyental yang lembut anda boleh gunakan setiap hari.


Anda boleh menggunakan bahan semulajadi.

Kebanyakan bahan semulajadi mudah didapati.

Pelembab


Semua jenis kulit memerlukan pelembab termasuk kulit berminyak. Sel-sel pada kulit memerlukan lembapan bagi memastikan proses regenerasi yang optimum. Sekiranya anda bimbang kulit anda terlalu berminyak anda boleh menggunakan pelembab dari jenis bebas minyak (oil-free). Manakala untuk kulit kering pelembab yang diperkaya krim adalah sebaiknya. Anda juga harus mencuba menggunakan minyak seperti rose hip oil, cocoa oil, vitamin E dan seumpamanya pada waktu malam untuk membantu kulit membaikpulih semula. Ia juga berkesan menghilangkan pigmentasi dan kesan parut.

Serum


Serum menyediakan rawatan tambahan untuk masalah-masalah kulit tertentu. Ianya digunakan pada kawsan-kawasan tertentu atau pada keseluruhan muka. Serum adalah lebih mudah diserap oleh kulit dan membantu proses pembaik pulihan yang lebih cepat namun digunakan pada kuantiti yang sedikit (sebagai penggalak). Adakalanya serum digunakan sebagai pengganti kepada pelembab. Namun ia boleh digunakan sebelum anda menggunakan pelembab.

Krim Malam


Krim malam amat penting bagi yang memiliki kulit yang kering atau terlalu kering. Anda boleh menggunakan krim ini selepas mencuci muka dan sebelum tidur. Krim malam lebih kaya dengan pelembab jadi bagi yang memiliki kulit berminyak penggunaan krim biasa adalah memadai bagi mengkalkan lembapan pada kulit.

Krim Mata


Kulit disekitar mata adalah lebih tipis dan ia memerlukan krim yang bersesuaian bagi mengelakkan kerosakan. Ini kerana kesan keletihan seperti lingkaran hitam dan sembab mudah kelihatan pada mata. Jadi krim mata perlu digunakan sekiranya anda mempunyai masalah seperti ini. Sapukan krim mata dengan lembut kerana kulit sekitar mata amat nipis dan mudah cedera. 

Penjagaan Kulit Lelaki

Produk penjagaan kulit lelaki juga semakin banyak di pasaran.

Sudah pasti kulit lelaki juga memerlukan penjagaan sekiranya anda mahu mempunyai kulit yang sihat. Memandangkan keadaan pencemaran yang tinggi masalah ini menjadi lebih penting untuk diberikan perhatian. Mungkin ia tidak seperti penjagaan kulit perempuan yang lebih nipis dan sensitif tetapi sekadar mengekalkan kulit untuk kekal sihat. Penjagaan yang penting seperti pencuci, penyental dan penyegar adalah rutin harian yang perlu dilakukan. Anda sendiri boleh melihat perbezaan sekiranya anda boleh melakukan beberapa perkara asas ini.

Beberapa Tips Tambahan;


1) Adakalanya anda perlu menukar rangkaian penjagaan kulit anda terutama apabila berlaku perubahan cuaca atau keadaan persekitaran anda. Musim, tempat kerja atau kediaman (adakalanya pemakanan juga mempengaruhi).

2) Jangan gunakan jumlah pelembab yang terlalu banyak, semasa menyapu jumlah sebesar kacang peas adalah cukup untuk melembabkan keseluruhan kulit muka anda.

3) Berhati-hati sekiranya anda perlu menyentuh pelembab terus dari bekasnya. Pastikan tangan anda betul-betul bersih bagi mengelakkan pembiakan bakteria. Anda juga perlu menyimpannya dengan baik disamping tidak menggunakan pelembab yang telah lama disimpan (tidak  digunakan).

4) Sekiranya menggunakan sesuatu produk yang baru anda perlu menggunakannya sekurang-kurangnya sebulan sebelum dapat melihat perubahan. Namun begitu sekiranya timbul kesan seperti kegatalan dan kerosakan pada kulit, pastikan anda tidak meneruskannya.

5) Rangkaian produk penjagaan juga boleh bertukar mengikut usia anda. Ini kerana keadaan kulit berubah mengikut perubahan hormon badan dan usia seseorang. Jadi anda tidak semestinya menggunakan jenama yang sama semasa anda remaja di ketika usia yang lebih matang.

Jadi begitulah antara perkara penting yang anda perlu ketahui mengenai produk penjagaan kulit yang asas. Tidaklah menjadi kerugian sekiranya anda mengetahui kaedah yang betul dalam memastikan kulit anda tetap sihat. Mungkin ia boleh menjimatkan perbelanjaan anda dalam jangka masa panjang berbanding sekiranya kulit anda bermasalah dan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan tentu lebih besar. Diharap ini dapat membantu.


Free Download



Fungsi Sebenar Toner atau Penyegar

Mungkin kita semua selalu megabaikan penggunaan toner untuk kulit dalam penjagaan kulit seharian. Walaupun fungsi penjagaan kulit mungkin dianggap remeh terutama oleh golongan lelaki, tetapi perlu diingat anda tidak mungkin dapat mengundurkan waktu. Sekiranya anda ingin memastikan kulit anda kekal sihat sehingga ke hari tua - maka lakukan sedikit usaha pada usia yang awal.

Penjagaan kulit yang baik bukan bermaksud anda perlu menghabiskan wang ringgit yang banyak. Adakalanya memahami sesuatu perkara dapat membantu anda mencari satu alternatif lain yang mampu memberikan faedah yang sama dengan belanja yang lebih murah. Saya tidak percaya yang kita perlu menghabiskan belanja yang besar semata-mata untuk kekal sihat, kerana fungsi badan sentiasa mengembalikan kita kepada keadaan sediakala (bergantung kepada masa dan tahap kesihatan tubuh seseorang).

ACV boleh digunakan sebagai toner
Fungsi toner adalah untuk mengembalikan keseimbangan pH kulit selepas anda membersihkannya melalui proses mencuci. Pencuci muka anda bukan sahaja membersihkan kotoran, sel-sel kulit mati malah juga lembapan minyak semulajadi pada kulit. Minyak ini bertujuan mengelakkan jangkitan bakteria pada kulit dan memastikan kulit kekal lembab dan sihat. Ini memastikan kulit anda tidak berkedut pada usia sebelumnya.

Kebiasaannya toner dihasilkan untuk mengelakkan jangkitan dan mengembalikan semula keseimbangan kulit. Namun terdapat toner yang kurang sesuai untuk kulit, iaitu toner yang mengandungi alkohol misalnya kerana ia akan mengeringkan kulit walaupun mampu mengelakkan jangkitan dengan berkesan. Kulit mampu mengekalkan semula keseimbangan ini secara semulajadi setelah beberapa jam. Memandangkan proses mencuci juga adalah tidak semulajadi jadi penggunaan toner adalah digalakkan.

Terdapat pelbagai jenis toner di pasaran. Adalah lebih baik sekiranya anda menggunakan toner yang berbentuk krim kerana ianya mudah dipadankan dengan semua jenis kulit. Toner jenis ini boleh terus disapu menggunakan tangan dengan melakukan sedikit urutan pada kulit. Kulit anda perlu berasa segar tidak terlalu kering ataupun berminyak selepas menggunakan toner ini.

Selain dari itu anda juga perlu mengelakkan berkongsi tuala - terutamanya apabila digunakan pada kulit muka. Selepas proses mencuci muka, kulit amat terdedah pada jangkitan. Selain itu ia juga mungkin boleh membawa jangkitan lain pada mulut, hidung dan luka terdedah pada kulit anda.

Mari kita lihat bagaimana menyediakan toner sendiri di rumah. Anda boleh menyediakan toner sendiri dengan mudah menggunakan Apple Cider Vinegar atau ACV. Ia sepatut merupakan barangan yang murah sekiranya dibeli melalui farmasi atau pasaraya. Dapatkan botol yang sesuai - sebaiknya botol yang telah siap dengan penekan apabila anda perlu menggunakannya. Cairkan ACV pada kepekatan 3 bahagian air kepada 1 bahagian ACV. Kepekatan ini juga bergantung kepada jenis kulit anda, lebihkan air sekiranya kulit anda kering atau kurangkan air sekiranya kulit anda berminyak. Gunakan selepas anda mencuci muka dan jangan risaukan bauan ACV kerana ia akan segera hilang. Ini kerana toner yang siap dikedai dicampur bahan pewangi.

Semoga artikel kali ini membantu anda untuk mengekalkan kulit yang sihat. Kulit merupakan perlindungan utama badan daripada jangkitan, jadi anda perlu memastikan kesihatan kulit sentiasa dijaga dengan rapi. Ingin berkongsi pengalaman atau terdapat persoalan yang ingin anda ajukan. Ya, saya sentiasa mengalukannya.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Jalan-jalan Ke Taman Burung Kuala Lumpur

Pintu masuk utama Taman Burung Kuala Lumpur
Taman Burung Kuala Lumpur amat menarik, ini kerana Kuala Lumpur bukan sahaja merupakan pusat bandaraya yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan dan pusat membeli belah, malah ia juga menyediakan banyak destinasi pelancongan yang menarik. Sempena cuti sekolah ini mungkin ramai yang ingin membawa keluarga melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur.

Bagi yang tinggal berhampiran ataupun berkunjung ke Kuala Lumpur, Taman Burung Kuala Lumpur adalah satu satu destinasi yang harus anda kunjungi. Terletak di kawasan Taman Tasik Perdana ia juga berhampiran dengan taman-taman lain seperti Taman Orkid, Taman Bunga Raya, Taman Rama-Rama, Planeterium Negara, Muzium Kesenian Islam, Taman Rusa dan juga Memorial Tun Razak. Jadi sekiranya anda ingin berkunjung ke sini anda mungkin melawat lebih dari satu taman sahaja - tentu ia menjimatkan masa dan kos perjalanan.

Taman ini mudah dikunjungi dengan menggunakan kenderaan sendiri mahupun dengan pengangkutan awam. Terletak berhampiran dengan stesyen keretapi Kuala Lumpur dan anda cuma perlu menaiki teksi dengan anggaran masa 5 minit sahaja. Begitu juga yang berkenderaan kerana laluan di sekitar Taman Tasik Perdana tidaklah sesibuk di laluan utama yang lain. Lokasi GPS taman ini adalah N3 08.581, E101 41.294 untuk memudahkan perjalanan anda.

Burung comel yang sedang menikmati kuaci

Dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga ke 6.00 petang. Bayaran yang dikenakan pula adalah;

Dewasa (Biasa) RM 48.00
*Kanak-kanak (Biasa) RM 38.00

Dewasa (MyKad) RM 25.00
*Kanak-kanak (MyKid) RM 12.00

*Kanak-kanak dari 3 - 12 tahun

Salah satu landskap yang taman burung
Keistimewaan taman burung ini adalah ianya dikatakan antara yang terbesar di dunia. Terbahagi kepada Zone 1 dan Zone 2 (Zon 3 adalah taman Enggang dan Zon 4 sangkar-sangkar kecil) anda akan melihat pelbagai jenis burung terbang bebas di sekitar kawasan taman yang direka hampir menyamai kawasan hidupan sebenar.

Terdapat juga sangkar-sangkar kecil yang menempatkan burung-burung seperti kakak tua, helang, enggang dan lain-lain bagi membolehkan anda melihatnya dengan lebih dekat. Ini kerana adalah sukar untuk anda melihat burung-burung ini sekiranya ianya dibiarkan terbang bebas di dalam sangkar utama yang terlalu besar.

Sangkar khas untuk burung nuri
Melalui kunjungan ke sini anda bukan sahaja dapat melihat burung-burung yang jarang anda temui, malah anda juga belajar tentang habitat dan cara hidup mereka. Persekiran yang menyerupai habitat sebenar dapat menggambarkan tentang kehidupan burung-burung ini di kawasan liar.

Sekiranya anda bertuah anda mungkin berpeluang menyaksikan merak yang mengembangkan ekornya yang cantik dan berwarna-warni. Burung merak ini bergerak bebas di dalam taman dan bulunya juga sangat menarik (tidak rosak akibat dikurung). Begitu juga dengan burung-burung lain seperti flamingo yang banyak di dalam kolam buatan. Burung merpati mahkota pula di antara burung yang banyak berkeliaran di atas tanah.

Mahu bergambar dengan burung-burung?

Selain daripada melihat burung-burung ini anda juga berpeluang untuk mengambil gambar bersama burung-burung yang dilatih khas untuk bergambar bersama. Ianya terdiri daripada burung kakak tua, burung helang, burung hantu dan yang paling istimewa adalah burung enggang. Ya, saya pernah berpeluang menyentuh burung enggang ini dan ianya amat jinak.

Waktu makan, anda boleh menyaksikannya
Terdapat banyak informasi yang menerangkan nama-nama burung yang anda temui di merata kawasan. Jadi anda tak perlu risau sekiranya tidak mengetahui nama-nama mereka. Terdapat juga aktiviti-aktiviti menarik di sekitar taman dan bahagian pembelajaran yang membantu kanak-kanak mempelajari lebih lanjut mengenai dunia burung. Jadi taman ini sememangnya sesuai untuk peminat burung dan juga untuk seisi keluarga.

Bagi menikmati pengalaman sepenuhnya di sini anda perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya setengah hari kerana keluasan taman ini adalah seluas 20.9 ekar dan dipenuhi dengan kawasan-kawasan muka bumi rekaan yang pelbagai. Terdapat sekitar 3,000 burung daripada 200 spesis dari dalam dan luar negara. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Taman Burung Kuala Lumpur anda bolehlah menghubungi talian: +603-22721010 fax: +603-2273 5428 atau email: info@klbirdpark.com 



Free Download



Arkib Blog