Halaman

Isnin, 6 Ogos 2012

Bubur dan Pengat; Hidangan Berbuka yang Membuka Selera

Bubur cha cha enak dan menarik dengan pelbagai warna

Penat sungguh seharian menjalani ibadah berpuasa kan! Biasanya ketika berbuka juadah manisan seperti buah kurma, kuih-muih tradisi dan moden serta bubur/ pengat pasti dapat mengembalikan semula tenaga yang hilang. Sebut pasal pengat ni, bagi saya semestinya saya akan cuba sediakan setiap hari sebagai sebahagian hidangan berbuka. Bagi saya sajian manis bukan sahaja dapat mengembalikan semula tenaga yang hilang malah memberikan saya lebih semangat untuk kembali ceria melalui sebahagian malam pula.

Biasanya bubur dan pengat yang disediakan sewaktu bulan puasa adalah manis, namun terdapat juga bubur yang tidak manis seperti bubur lambuk, bubur ayam, bubur nasi dan sebagainya. Berlainan pula dengan pengat yang sememangnya manis-manis dan disediakan dengan pelbagai bahan termasuk buah-buahan yang menambahkan lagi kelazatan pengat tersebut.

Bubur ayam juga sesuai untuk makanan kanak-kanak

Walaupun pengat disediakan dengan bahan asas yang hampir-hampir sama iaitu daun pandan, gula dan santan, namun terdapat banyak variasi pengat yang disediakan hari ini. Mungkin kita boleh lihat dengan lebih jelas jenis-jenis bubur dan pengat ini sekiranya kita berkunjung ke ‘bazar ramadhan' di sepanjang bulan puasa. Jadi untuk menghasilkan pengat yang betul-betul menyelerakan apa yang paling penting adalah kreativiti dalam memilih bahan yang akan dimasukkan ke dalam pengat tersebut.

Mungkin pengat boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk memahami akan proses mereka cipta bubur/ pengat yang kreatif.  1) Bahan kuah - biasanya kita memilih santan kelapa, tapi ianya boleh juga menggunakan air sahaja atau susu/ yogurt. 2) Bahan isi - bahan isi biasanya menjadi bahan utama yang memberikan sesuatu bubur/ pengat tersebut namanya tersendiri. Isi biasanya terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan bahan-bahan lain. Isi biasanya yang akan dimakan bersama kuah sebagai penambah rasa. 3) Bahan perasa - bahan perasa adalah yang memberikan bubur/ pengat rasa seperti gula Melaka, gula merah, garam, limau, dan halia. Biasanya bahan-bahan perasa ini juga memberikan aroma tambahan kepada bubur/ pengat. 4) Bahan tambahan - bahan tambahan merupakan bahan sokongan kepada isi utama bubur biasanya terdiri daripada biji sagu, tepung pulut, cha cha, atau buah-buahan.

Pengat pisang salah satu contoh penggunaan dalam juadah
 berasaskan buah-buahan

Hari ini jarang didapati bubur dengan resepi yang asli memandangkan bubur tersebut telah diubahsuai untuk memenuhi citarasa semasa. Memandangkan bahan-bahan tambahan lebih mudah didapati di pasaraya-pasaraya maka mudahlah untuk kita hari ini mengubah sendiri bubur/ pengat menjadikannya lebih sedap dan berkhasiat.

Biasanya bagi saya setiap bulan puasa saya akan menikmati bubur/ pengat ini semasa waktu berbuka dan sebahagian lagi akan dinikmati pada waktu malam sebagai santapan yang ringan. Bubur mudah dihadam disamping kurang mengandungi lemak menjadikan ianya sesuai walaupun dimakan sebelum waktu tidur. Hidangan bubur yang ringkas menjadikan ianya sesuai dinikmati ketika berbual bersama keluarga atau ketika melayari internet dan mengemaskini buku harian sebelum melelapkan mata.

Mungkin anda semua mempunyai bubur/ pengat kegemaran anda sendiri yang menjadi satu kemestian ketika bulan puasa. Apa yang penting resepi bubur-bubur ini sentiasa akan berubah mengikut peredaran semasa namum tidak akan hilang. Kongsikan pengalaman anda bersama kami mengenai bubur ini diruangan komen nanti ya.

Bubur kacang paling mudah dipelbagaikan dengan tambahan
durian, sagu, pulut dan sebagainya



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan