Halaman

Isnin, 23 Julai 2012

Ke Mana Perginya Semua Burung-burung Ini?

Burung Bayan kelihatan seperti burung kakak tua.
Seronok rasanya dapat pulang ke kampung halaman ni. Maklumlah dah lama merantau, balik pun sekejap-sekejap. Tapi kali ni saya balik untuk masa yang agak lama jadi dapatlah saya membuat lebih pengamatan tentang susana sekeliling. Memanglah banyak perkara yang dah berubah, walaupun tak kampung ni tak berubah menjadi sebuah bandar ada beberapa perkara yang mungkin saya lebih suka dalam keadaan sebelumnya. Timbul dalam persoalan saya, ke mana hilangnya burung-burung yang dulunya menjadi buruan saya?

Haha, mungkin keadaan ini kurang mendapat perhatian bagi kaum wanita (pendapat saya sahaja).. bukan apa, bagi kami yang lelaki ni, dulu-dulu suka merayau ke dalam semak-samun semata-mata untuk mencari burung-burung (apa sahaja yang boleh dilastik). Saya bukanlah pakar dalam melastik seperti kawan-kawan yang lain. Bagi saya burung merupakan haiwan yang cantik. Saya suka memerhatikan pergerakan haiwan ini. Macam-macam yang saya perhatikan, rupa bentuk, warna, cara kehidupannya, tabiat, bunyi, dan lain-lain lagi. Pernah saya mengumpulkan gambar burung-burung ini untuk dimasukkan ke dalam koleksi lukisan saya. Macam tu lah antara minat saya terhadap burung.

Kalau anda nak tahu antara burung-burung yang ketara berkurangan dan ada yang dibimbangi telah pupus dari bumi Bukit Rokan ini adalah seperti yang dinyatakan di bawah:

i) Burung Bayan;

Burung bayan merupakan burung yang paling saya minati kerana ianya menyerupai burung kakak tua. Malah burung ini turut berkelakuan seperti burung yang popular itu. Biasanya burung ini suka memegang makanannya dengan kaki untuk dikunyah dengan paruhnya yang kuat. Sebahagian besar badannya berwarna hijau. Tapi bagi burung bayan yang tua, warnanya akan bertambah cerah dan lebih menarik.

Burung bayan biasanya bergerak dalam kumpulan. Ini bagi menjamin keselamatan kumpulan tersebut. Biasanya burung bayan akan singgah di kawasan ini apabila tiba musim buah rambutan. Namun terdapat juga buah-buahan hutan yang biasanya menjadi makanan burung ini.

ii) Burung Tiong Batu;

Tiong Batu bersaiz lebih besar dengan bulu yang berkilau.

Burung ini masih kelihatan sesekali terbang di kawasan ini. Tapi amat membimbangkan kerana tiada lagi tempat untuk burung ini membiak dan agak sukar baginya untuk mendapatkan makanan. Tiong batu kelihatan seolah-olah seperti burung tiong, namun sebenarnya ia amat jauh berbeza.

Tiong batu agak unik, paruhnya yang merah serta bulunya yang berkilat menjadikan ia lebih menarik berbanding tiong biasa. Saiznya juga adalah jauh lebih besar. Manakala cara ia terbang juga nampak berbeza daripada burung tiong. Suka bersarang di tempat yang tinggi dan mempunyai tabiat makanan yang cerewet menjadikan ianya sukar untuk dipelihara.

iii) Burung Kuning;

Dendang Selayang lebih mudah dilihat pada waktu senja.
Burung Dendang Selayang, atau biasanya dipanggil burung kuning (nama bagi kami semasa kecil dulu) juga didapati semakin berkurangan. Walaupun masih terdapat burung ini beterbangan sesekali, namun jumlahnya terlalu sedikit berbanding semasa saya meninggalkan kampung dulu.

Makanan utama burung ini adalah serangga yang biasanya beterbangan di waktu senja. Biasanya burung ini akan membuat bunyi yang bising sewaktu makan di waktu senja. Jadi pastilah kehilangan burung ini mudah untuk dikenalpasti. Suaranya agak lantang tetapi merdu (kalau dibandingkan dengan suara manusia, burung ini mungki bertaraf penyanyi).. Oleh kerana burung ini merupakan pemangsa utama bagi serangga yang terbang pada waktu senja (terutamanya anai-anai), maka adalah dibimbangi jumlah anai-anai akan semakin bertambah.. huhu

Mungkin itu sebahagian daripada kehilangan spesis burung yang utama. Malah banyak lagi burung-burung lain yang tidak dapat dikesan seperti burung sepah, burung kelicap jantung, burung berek-berek (tetapi burung ini hanya singgah mengikut musim sahaja), burung layang-layang, burung helang, ruak-ruak dan lain-lain spesis lagi.

Walaupun kita tidak bergantung dengan haiwan-haiwan ini semua, namun fungsi mereka dalam keseimbangan ekosistem pelu diambil kira. Mungkin fungsi mereka kecil tetapi boleh menyebabkan kehilangan yang besar sekiranya mereka terus hilang dari kawasan kita. Apa yang dapat dilihat punca utama kehilangan spesis burung-burung ini adalah kerana pokok buah-buahan yang menjadi sebahagian punca makanan mereka telah ditebang. Manakala penebangan hutan berhampiran juga mengurangkan lagi sumber makanan bagi mereka. Mungkinkah suatu hari nanti burung-burung ini akan kembali semula?


Free Download



6 ulasan:

  1. Saya di Salak South KL, uniknya tgh2 kesibukan bandar ni, setiap hari saya dpt tgk Burung Kuning ni..dkt dgn tingkap rumah saya...
    Alhamdulillah... 😊

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih.

      Suatu masa dahulu di kampung kami, burung kuning ni merupakan burung yang paling mudah dilihat terutama di waktu petang. Namun sekarang sudah berkurangan. Ya, mungkin di kawasan saudari, burung-burung ini merasa lebih selamat. Kami harap, suatu masa nanti ia akan kembali semula ke kampung kami.

      Padam
  2. dulu kt kg saya diterengganu, burung ni byk tapi sekarang x nampak dah. Skrg saya menetap di bukit mertajam, yg peliknya setiap hari saya nampak burung ni, walaupun persekitaran sini adalah taman perumahanan. Saya agak, mungkin sini adalah habitat yg terpencil utk burung ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih, En Usop.

      Ya, kebanyakan burung-burung ni mungkin dah mencari penempatan baru. Burung kuning tu, sekarang lebih mudah dilihat di kawasan-kawasan bandar. Tapi, saya masih tidak melihat burung bayan dan serindit untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

      Padam
  3. Burung kuning , dendang selayang, tapi dikawasan sy( Perlis) lebih dikenali sebagai burung Teras Nangka... Masih boleh dilihat terbang bebas dgn populasi yg bg sy terkawal, xla byk, tp mudah dilihat dimana2.. murai Kampung( dikawasan sy dipanggil Murai Cacing ) semakin hilang, sukar dilihat .. makin pupus agaknya... Ki tinggal dikawasan sawah padi.. burung2 kicau kurang didapati..tp di kawasan pinggir hutan Perlis, Murai Batu, Jambul Hitam, Luris Leher, Kiambang, dan lain2 spesis kicau madih byk, terutama Luris Leher yg populasinya amat menakjubkan .. walau ditulis dlm akta perhilitan dilindungi sepenuhnya... Suara mmang piaww sebaris burung candik( merbah jambul,burung daun)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih kerana berkongsi pengalaman. Hanya dengan ini ramai dari pembaca dari kawasan-kawasan lain dapat mengetahui keadaan di tempat saudara. Burung kuning ini kini didapati berpindah ke kawasan-kawasan bandar, namun dalam populasi yang lebih kecil. Manakala burung-burung lain, populasi mereka adalah semakin kecil atau jarang kelihatan.

      Padam