Ahad, 29 Julai 2012

Ingin Tahu; Makanan Eksotik Masyarakat Filipina


Balut makanan yang popular di Filipina
Hai apa khabar ya, mungkin anda rasa ruangan makanan-makanan eksotik saya ini akan menjadi lebih reda dengan artikel-artikel baru-baru. Hmm, sebaliknya saya bercadang membawakan anda keunikan makanan-makanan eksotik masyarakat dunia sebenar yang kita perlu ketahui. Ya, mungkin dari situ kita boleh belajar yang kita ini dijadikan berbeza rupa, pendapat, kecenderungan, minat, kepandaian dan sebagainya. Jadi seharusnya kita lebih menghargai tentang keunikan masing-masing kerana seperti yang telah saya katakan "Anda mungkin pelik dengan orang lain. dan orang lain juga pelik dengan anda". Mari kita ikuti artikel seterusnya.


Telur Itik

Ya kali ini kita akan melihat makanan yang dikenali sebagai 'balut' atau telur. Apa keistimewaan telur ini adalah ianya perlu melalui beberapa proses sebelum boleh dimasak dan dinikmati. Telur biasanya adalah dari jenis telur itik namun boleh juga dari telur ayam. Apa yang berbeza telur tersebut sudah pun hampir mengeram sebelum ianya dijadikan hidangan. Proses pemilihan telur perlu dilakukan dengan teliti untuk mendapatkan balut yang memenuhi citarasa. Ini kerana ianya menentukan samada embrio yang terbetuk di dalam telur masih kecil atau telah membentuk keseluruhan struktur anak itik.

Balut dikatakan mengandungi khasiat yang tinggi, selain mampu menambah kekuatan seks. Sering dihidangkan dengan arak, namum balut juga turut disediakan dengan pelbagai variasi resepi-resepi yang digubah oleh pakar-pakar pembuat balut.

Tikus Ladang

Tikus ladang begini makanan biasa
Tikus ladang merupakan tikus yang hidup liar di kawasan perladangan. Perbezaannya adalah tikus-tikus ini tidak mendiami longkang-longkang dan pembentungan. Terdapat pelbagai resepi penyediaan bagi tikus ladang ini antaranya turut dimasak dengan santan kelapa atau lebih dikenali sebagai "ginataang daga" atau dengan kunyit sebagai "sinampalukang daga". Lebih mudah lagi, tikus ini juga boleh digaul tepung dan digoreng.

Katak Ladang
Resepi katak boleh dipelbagaikan

Seperti juga tikus ladang tadi penyediaan untuk katak ladang ini juga hampir sama. Ini kerana menurut komen rasa kedua-dua makanan istimewa ini hampir sama dengan rasa ayam (betul ker ni?).. Katak juga boleh disediakan dengan teknik memanggang dan resepi ini dipanggil sebagai "rellenong palaka" - "palaka" bermaksud katak dalam bahasa Filipina. Seperti biasa katak ini juga sesuai disediakan sebagai 'adobo'.

Cengkerik

Cengkerik juga hidangan istimewa

Berbanding dengan makanan yang lain, cengkerik lebih popular di kalangan petani di Filipina. Bagi mereka cengkerik adalah jauh lebih sedap berbanding dengan daging ayam. Cengkerik di tangkap dengan menuang air di kawasan yang dirasakan didiami oleh banyak cengkerik. Kemudian mereka akan menari di atas kawasan tersebut. Ini akan membuatkan cengkerik keluar dan membolehkan ianya ditangkap. Huhu, hebat sungguh cara mereka menangkap cengkerik kan! Dari segi masakan pun terdapat pelbagai variasi untuk hidangan cengkerik.

Belalang

Hidangan belalang

Mungkin anda pernah mendengar tentang sajian belalang. Ya, di negara kita juga pernah saya dengar mengenai makanan daripada belalang terutama masyarakat dahulu. Oleh kerana belalang merupakan makluk perosak yang mengganggu tanaman jadi sebaliknya, para petani menjadikan ianya sebagai hidangan. Hidangan belalang ini popular di bahagian Utara Filipina. Belalang dibuang sayap serta kakinya sebelum dimasak. Rasa belalang ini (bagi pengemar belalang) adalah seperti udang!..

Kelawar

Kelawar sajian enak

Kelawar juga dikatakan mempunyai rasa yang seakan ayam!.. Kelawar dimasak dengan aneka resepi dan rasanya amat enak. Mungkin disebabkan kelawar ini mempuyai daging yang lebih, jadi kelawar lebih mudah dipelbagaikan di dalam masakan. Malah bukan sahaja di Filipina, kelawar ini juga turut dijadikan hidangan oleh masyarakat di serata Asia.

Kumbang dan Larva Kumbang (anak kumbang)

Kumbang digoreng tanpa minyak
Kumbang dan larva kumbang juga merupakan antara makanan yang popular bagi Masyarakat Filipina. Ianya boleh dipanggang, diperap atau di digoreng dengan garam beserta perasa. Antara kumbang yang terkenal dipanggil "salangubang" dan biasanya dipanggang (goreng tanpa minyak) akan menghasilkan bau yang kurang sedap, namun tetap rangup ketika dimakan. Biasanya makanan ini akan dihidangkan bersama-sama minuman keras.


Ular

Ular ini sedia untuk dimasak dengan aneka masakan terutama 'adobo'.
Ular juga termasuk dalam ketegori makanan kegemaran masyarakat di Filipina. Oh, sudah tentu rasanya seperti daging ayam juga - menurut mereka. Seperti biasa hidangan yang popular adalah disediakan dengan kaedah 'adobo', iaitu proses memerap. Jadi ular yang dijadikan hidangan ini termasuklah ular yang berbisa dan juga ular sawa.


Jadi itulah antara makanan eksotik Masyarakat Filipina yang dapat saya kongsi buat kali ini. Mungkin ada di antara makanan tersebut juga menjadi hidangan sebahagian masyakat kita di Malaysia ini ya. Seperti pepatah Orang Melayu "alah bisa tegal biasa", begitulah kita manusia sesuatu yang menjadi kelaziman sudah tentu tidak menjadi keganjilan lagi. Apa nak diherankan, sekiranya sesuatu itu selamat dijadikan hidangan sudah tentu ada penggemarnya melainkan dibatasi oleh sesuatu kepercayaan, adat atau pantang larang sesetengah kaum. Apa yang penting bagi kita memahami antara sesama kita dan orang lain bagi saling menghormati. 


Free Download



Rabu, 25 Julai 2012

Ingin Tahu: Makanan Tradisional Rakyat Kelantan

Hai, kembali lagi dalam ruangan ingin tahu. Kali ini saya ingin membawa para pembaca mengenali makanan tradisional Rakyat Negeri Kelantan. Saya bawakan tajuk ini kerana ingin berkongsi maklumat bahawa antara makanan kegemaran yang biasa kita nikmati mungkin sebenarnya berasal dari negeri ini. Ya, Oleh kerana makanan setiap negeri-negeri di Malaysia ini semakin mudah untuk didapati di serata negara, maka mungkin kita terlupa asal-usul sesuatu hidangan tersebut. Jadi tanpa membuang masa apa kata kita lihat antara hidangan istimewa dari Negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Bagi memudahkan untuk kita mengenal pasti makanan-makanan tersebut, saya telah mengklasifikasikan makanan seperti di bawah*. Cuma perlu diingatkan bahawa saya bukan bertujuan menghuraikan mengenai resepi kuih-muih tersebut tetapi sekadar ingin memperkenalkan serta berkongsi serba sedikit maklumat.

Kuih-muih;

i) Akok

Kuih Akok

Kuih akok adalah kuih yang biperbuat menggunakan telur, pati santan, gula, gula melaka, tepung gandum dan daun pandai sebagai pewarna dan pewangi. Walaupun kuih akok memang simple, tapi ramai yang menggemari kuih ini.

ii) Tahi Itik

Kuih Tahi Itik

Aper cerita pulak tahi itik ni kan? Namanya istimewa, dan cara membuatnya agak mudah sekali iaitu dengan menggunakan putih telur (telur itik), santan kelapa, gula pasir, tepung pulut dan tepung beras. Semua bahan dimasukkan sekali dengan api yang perlahan kacau sehingga adunan menjadi pekat dan berketul (kering). Comel jer, kuih ni kan?..

iii) Jala Emas

Kuih Jala Emas

Hmm, lain pulak dengan jala emas, ianya diperbuat daripada kuning telur (telur itik) sahaja, gula pasir dan daun pandan. Jadi kuih ni sepasang lah kan! Kalau kita buat jala emas, kenalah buat tahi itik. hehe

iv) Buah Tanjung

Buah Tanjung/ Bunga Tanjung

Buah tanjung ni agak istimewa dari segi bentuk dan warna. Berbeza dengan sajian kuih-muih yang lain ianya turut menggunakan bunga cengkih dan bahan pewarna. Tetapi kuih bunga tanjung ini masih menggunakan telur itik sebagai salah satu ramuan asas. Istimewa sekali telur itik kepada Masyarakat Kelantan ya!

v) Cendol Pulut Tapai

Cendol Pulut Tapai

Cendol pulut tapai ni juga terdapat di Pantai Barat Semenanjung. Tetapi mungkin ia sememangnya berasal daripada Negeri Kelantan. Cendol yang dinikmati bersama-sama pulut dan tapai sememangnya lebih nikmat kerana pulut menambahkan lagi rasa di dalam menikmati kelazatan kuah cendol.. Hmmm.

vi) Lompat Tikam

Lompat Tikam, sajian manisan.

Berbanding sebagai kuih, lompat tikam lebih sesuai sebagai pencuci mulut. Terbahagi kepada 3 lapisan iaitu hijau, putih, merah dan dihidangkan dengan sirap gula melaka. Tentu istimewa kuih ini ya. Apa yang penting cara anda menghidangkannya.

Viii) Pulut Bakar

Pulut Bakar berbeza dari Pulut Panggang

Pulut bakar ni disediakan dengan beras pulut, santan pekat, gula pasir, bunga cengkih dan halba. Hmm, berbeza pulak dengan pulut panggang yang biasa kita makan di Pantai Barat ni ya.. tu lah. Ada uniknya resepi orang lain kan!

ix) Kuih Cara Berlauk

Kuih Cara Berlauk

Ops, apa istimewanya kuih cara berlauk ni ya. Kuih cara yang biasa saya tengok di kedai berwarna hijau dan takder lauk. Tapi itulah istimewanya, juadah dari Kelantan ini. Cubalah nanti.


xi) Tepung Pelita

Tepung Pelita

Hmm, dalam banyak-banyak senarai kuih-muih ni, mungkin tepung pelita merupakan antara juadah yang paling biasa saya makan. Tak tahu plak ianya merupakan resepi Negeri Kelantan. Memang sedap rasanya.

xii) Bute'i Nangka

Bute' Nangka/ Biji Nangka

Kuih ini di Pantai Barat dipanggil "Biji Nangka". Masih mengekalkan resepi asalnya kuih ini biasa terdapat di bazar-bazar Ramadhan di Bulan Puasa.

Hidangan Masakan;

i) Nasi Kerabu

Nasi Kerabu Berwarna Biru

Nasi Kerabu juga antara makanan Pantai Timur yang biasa didapati di mana-mana di negara kita. Warnanya yang biru menjadikan nasi ini sedikit istimewa. Nasi kerabu juga biasanya dihidangkan dengan beberapa lauk tertentu. Itulah beberapa keistimewaan nasi kerabu ni.

ii) Nasi Tumpang

Nasi Tumpang

Nasi tumpang agak istimewa kerana ianya nasi yang dibungkus di dalam daun pisang beserta dengan lauk-lauknya sekali. Lauknya juga agak istimewa iaitu ikan tongkol. Hmm, macam best jer bunyi nyer kan?

iii) Laksam

Laksam, dihidangkan dengan pelbagai sayuran

Sekali pandang makanan ni macam 'Kueh Tiow' jer. Tetapi Laksam sememangnya berbeza walaupun ianya juga diperbuat daripada tepung beras. Laksam dihidangkan bersama-sama dengan kuahnya dan juga beberapa sayur (kesum, taugeh, bunga kantan dan sebagainya). Kalau dilihat dengan teliti laksam ni umpama laksa yang berwarna putih!

iv) Ayam Perencit

Ayam Perincit

Ayam perencit ni sama jer dengan ayam percik. Perbezaannya pulak saya tak pasti. Walau apa pun resepi asal dari Negeri Kelantan pasti ada keistimewaannya yang tersendiri kan!.. Jangan lupa nanti cuba.

v) Sambal Daging Serunding

Serunding Daging/ Ayam

Sambal daging serunding juga terdapat pelbagai versi. Mungkin setiap negeri di Semenanjung mempunyai versi sambal serunding tersendiri. Walaupun rupa dan bahan asas yang hampir-hampir sama, tetapi perbezaannya tetap ketara dari segi rasa.

vi) Ketupat Sotong

Ketupat Sotong, hidangan unik

Ketupat sotong ni.. bukan ketupat.. tapi nampak gayanya memang sedap. Yelah, pulut diisikan ke dalam sotong kemudian dimasak dengan gula melaka dan bahan-bahan lain. Bagi yang tak pernah merasa tu bolehlah mencuba nanti kan?.

vii) Itik Solo

Itik Solo

Itik Solo ni lebih kurang itik panggang lah. Apa yang menariknya rempah-rempah yang digunakan oleh Masyarakat Kelantan sedikit berbeza dengan kita di Pantai Barat ni. Macam mana pun itu merupakan keunikan resepi ini.

viii) Etak

Etak/ Etok popular di Kelantan

Etak atau ada juga yang panggil etok-etok merupakan sejenis hidupan seperti kerang. Tapi yang menariknya hanya popular di Negeri Kelantan. Mungkin di tempak lain juga ada, cuma ianya tidak sepopular di sana.

Hidangan Lain;

i) Rojak Buah

Rojak Buah sedap dengan kuahnya

Rojak buah tidak mempunyai resipi yang tersendiri. Namun kebiasaannya rojak ini mempunyai keunikan pada sosnya. Ini kerana rojak buah adalah gabungan daripada pelbagai jenis buah-buahan.

ii) Budu

Budu istimewa dari Kelantan

Ini merupakan makanan yang sinonim dengan Rakyat Negeri Kelantan. Mungkin yang berminat untuk mencuba makanan ini perlulah mendapat tunjuk ajar bagaimana untuk menikmati makanan unik ini. Bagi yang tidak biasa mungkin tidak dapat menikmati hidangan istimewa ini sekiranya cara hidangannya salah.

Begitulah serba sedikit tentang keunikan makanan-makanan yang terdapat di Negeri Kelantan. Memang agak berbeza kerana sajian-sajian dari negeri ini kebanyakannya manis. Bagi yang akan berkunjung ke Negeri Kelantan diharap dapat memanfaatkan informasi ini dalam memilih hidangan yang akan anda cuba di sana. Mungkin anda boleh menikmatinya di Pantai Barat Semenanjung juga... tetapi menikmatinya di negeri asal makanan-makanan ini tentu menambahkan lagi 'manis kenangan' kunjungan anda nanti. Selamat mancuba.



Free Download



Isnin, 23 Julai 2012

Suatu Masa Dahulu,Teringat Pucuk Paku

Pokok pucuk paku yang biasanya tumbuh di kawasan paya
Entah macam mana dah petang-petang ni saya boleh pulak teringatkan sayur pucuk paku. Bagi kami yang tinggal di kampung ni tentu pernah bertemu dengan pokok pucuk paku ni.. katalah anda tidak pernah masuk ke kebun sekali pun tentu pernah makan pucuk paku ni kan?.. O.K.. kalau tak pernah jugak takper lah!.. Orang California pun kenal pucuk paku ni..

Sebenarnya kenangan yang paling indah mengenai pucuk paku adalah sewaktu memungut pucuk paku. Biasanya pucuk paku memang banyak tumbuh di kawasan berpaya yang biasanya lembab dan gelap. Hmm, walaupun saya tak pernah bersua dengan apa-apa yang ditakuti ketika mengutip pucuk paku ni.. tetapi jauh di dalam hati terkadang ada juga perasaan risau. Maklumlah di kawasan semak dan berpaya ni kan. Paling tidak perasaan tu membuatkan saya sentiasa berhati-hati.

Semasa memungut pucuk paku pergerakkan akan menjadi terhad kerana rimbunan pokok pucuk paku ini agak rapat meninggalkan hanya sedikit lorong laluan. Tambahan kawasan yang ditumbuhi pucuk paku biasanya berair.. silap hari bulan kalau nak berkejaran di sini boleh tersembam ke dalam lubuk. Jadi walaupun kerja mengutip pucuk paku ni taklah mencabar sangat tetapi kalau tak betul gayanya macam-macam bahaya boleh mengundang.

Dulu sewaktu saya mula-mula tinggal di bandar juga, saya tidak pernah membeli pucuk paku yang di jual di kedai sebagai hidangan yang sudah siap dimasak. Maklumlah kalau pulang ke kampung nanti saya boleh berkejar ke kebun dan mendapatkannya dengan percuma - cuma kena keluarkan sedikit tenaga. Lagipun saya memang menganggap aktiviti-aktiviti seumpama ini sebagai riadah apabila pulang ke kampung. Namun apabila jarang pulang ke kampung saya semakin tak tahan dengan selera untuk menikmati keenakan pucuk paku ni.. Jadi mahu tidak mahu terpaksa juga saya membelinya sebagai lauk yang telah siap di masak. Takperlah.. kalau pulang ke kampung nanti boleh cari lagi kan!.. memujuk hati lah tu.

Pucuk paku yang sudah dipetik dan sedia untuk dijual.
Terdapat beberapa jenis pucuk paku yang terdapat di sekitar kampung (Bukit Rokan). Namun yang paling popular adalah pucuk paku masak yang biasa didapati di pasar-pasar. Terdapat sejenis lagi pucuk paku yang lebih enak, namun sukar didapati iaitu pucuk paku sagat (mungkin orang lain mengenalinya dengan nama yang berlainan). Kemudian terdapat sejenis lagi yang jarang-jarang dimasak kerana habitatnya yang berlainan dan mungkin kurang popular sebagai hidangan iaitu pucuk paku merah.


Pucuk paku merah tidak sepopular spesisnya yang lain

Pucuk paku boleh dikatakan popular di seluruh negara kita Malaysia, dari Timur ke Barat dan dari Utara ke Selatan. Boleh dikatakan semua rakyat Malaysia mengenali sayur pucuk paku. Antara sajian yang popular disediakan menggunakan pucuk paku adalah kerabu pucuk paku, masak lemak pucuk paku, rendang pucuk paku, pucuk paku goreng belacan dan macam-macam lagi resepi moden yang kita berikan kepada sayur tradisional ini.

Mungkin pucuk paku ini bukan sekadar sedap pada rasanya sahaja. Apa yang membuatkan ianya sentiasa segar dalam iangatan adalah kenangan bagaimana sewaktu kecil dulu saya pernah meredah semak-samun untuk mendapatkannya. Hilai ketawa bersama kawan-kawan sewaktu kami bergurau di kawasan paya yang memecah kesunyian pada masa itu. Penghujungnya adalah senyuman kepuasan dengan sedikit usaha kecil yang kami lakukan kami membawa pulang sedikit sayuran yang dapat dijadikan santapan sekeluarga. Seronoknya di kampung!...

Kerabu pucuk paku merupakan sajian yang paling biasa disediakan menggunakan pucuk paku.

Free Download



Ingin Tahu: Makanan-makanan Eksotik Masyarakat Dunia


Sebelum saya memulakan ruangan ingin terlebih dahulu diingatkan bahawa tujuan saya memaparkan ruangan ini adalah untuk tujuan pembelajaran. Perlu diingat bahawa kita mempunyai pandangan yang berbeza dalam pelbagai perkara. Mungkin pada kita pelik, tapi bagi sesetengah masyarakat ianya adalah perkara biasa - sebaliknya kita pula yang menjadi pelik pada mereka.

Bagi memulakan ruangan kali ini ingin saya memberitahu lebih awal bahawa ianya tiada kaitan dengan bulan puasa (yang menyebabkan saya ingin menceritakan perihal makanan). Tetapi lebih kepada tujuan saya bagi memperkenalkan kepelbagaian ragam manusia yang seharusnya menjadi renungan bagi kita dalam mengenal keunikan masing-masing. Baiklah tanpa membuang masa apa kata kita melihat antara keunikan-keunikan tersebut.


Makanan yang pertama membawa kita ke Perancis iaitu makanan yang dipanggil "les cuisses grenouilles", atau bahasa kita "kaki katak". Hmm, jangan terkejut, kaki katak merupakan makanan terkenal bagi rakyat Perancis. Di negara Perancis sahaja kaki katak digunakan antara 3,000 hingga 4,000 tan setahun untuk dijadikan sajian. Oleh kerana katak merupakan spesis yang dilindungi di Perancis, kebanyakan kaki katak ini diimport dari luar termasuk Indonesia. Sekilogram "les cuisses grenouilles" berharga lebih kurang MYR 45.46.

Kaedah penyediaan makanan ini agak mudah, iaitu dengan mencelupkannya ke dalam tepung kemudian digoreng di atas kuali tidak melekat dengan menggunakan sedikit minyak zaitun dan bawang putih yang diketuk. Ini adalah resepi asas bagi makanan eksotik ini, namun terdapat pelbagai lagi resepi yang menjadi kegemaran rakyat di sana.


Makanan kedua masih lagi berkaitan dengan Negara Perancis iaitu "les escargots". Makanan apa tu? Ia adalah siput, tetapi siput darat. Ini juga merupakan makanan terkenal di Perancis. Negara itu menggunakan kira-kira 40,000 tan siput setahun.. Betul ker tak betul.. oleh sebab kulit siput tu berat, mungkin ada betulnya.

Kebanyakan siput ini membesar secara liar dan hanya 2% sahaja yang diternak. Jenis siput-siput yang menjadi kegemaran masyarakat Perancis adalah "escargot de Bourgogne" (siput Burgandy) dan juga "petit gris" (siput kecil). Bukanlah mudah sekiranya anda ingin menyediakan hidangan ini sendiri kerana siput-siput yang dikumpulkan perlu dibiarkan tanpa makanan selama 2 minggu!.. Makanan seumpama ini jika dinikmati di US harganya boleh menjangkau sehingga MYR 39.58. Hmm, boleh tahan...

Walaupun makanan siput Perancis ini diaggap eksotik oleh masyarakat dunia (mungkin kita sendiri). Bagaimana dengan masyarakat kita yang menjadikan siput paya sebagai makanan, atau ikan belacak! Tepuk dada tanyalah diri anda untuk membuat keputusan bagi diri sendiri. Namun begitu apa pendapat anda tentang makanan-makanan eksotik ini?



Free Download



Arkib Blog