Ahad, 2 Oktober 2016

Keunikan Hidupan Laut - Mentimun Laut

Mentimun laut di dasar laut.

Mentimun laut juga lebih dikenali sebagai “sea cucumbers” merupakan satu lagi hidupan unik yang menarik perhatian MyRokan pada kali ini. Ini kerana selain mempunyai keunikan tersendiri, ia juga merupakan sebuah kumpulan hidupan yang besar dengan jumlah 1,717 spesis yang diketahui dengan sejumlah besarnya terdapat di kawasan sekitar Asia Pasifik. Maka tidak hairanlah mengapa masyarakat di sekitar kawasan ini menggunakan mentimun laut untuk pelbagai kegunaan, selain fungsi mentimun laut itu sendiri kepada alam semulajadi.

Oleh kerana jumlahnya yang besar itu, mentimun laut mempunyai pelbagai bentuk yang unik dan ada di antaranya juga yang mungkin agak kurang menyenangkan bagi sesetengah orang. Pada kebiasannya mentimun laut mempunyai saiz antara 10 hingga 30 cm (3.9 hingga 11.8 in) panjang. Namun saiz mentimun laut terkecil adalah hanya berukuran 3mm (0.12 in) panjang, manakala bagi jenis terbesar pula adalah mencapai sehingga 3 meter (9.8 ft). Walaupun kebanyakan mentimun laut berbentuk seperti silinder, namun ada juga yang berbentuk sedikit leper dan sebagainya. Malah ia juga mempunyai pelbagai rupa bentuk luaran yang menakjubkan.


Mentimun laut di kawasan dalam.

Mentimun laut.

Antara lain jenis mentimun laut.

Manakala mentimun laut sendiri memainkan peranan penting kepada ekosistem di mana ianya ditemui. Selain menjadikan bahan-bahan mereput sebagai sumber makanannya, mentimun laut sebenarnya merupakan agen pembersih yang penting dengan cara yang berbeza daripada hidupan-hidupan lain seperti tiram, kerang, siput, udang, ketam, belangkas dan sebagainya. Mentimun laut kebiasaannya akan menelan pepasir di dasar laut dan membersihkan pasir tersebut daripada sebarang bahan yang terlekat padanya. Namun terdapat juga spesis-spesis lain yang mempunyai tabiat pemakanan yang berbeza.

Di sesetengah kawasan, kepadatan jumlah mentimun laut adalah amat tinggi. Sebagai contoh di Laut Pasifik Selatan kepadatan mentimun laut boleh mencapai sehingga 40 ekor bagi setiap meter persegi. Pada jumlah ini mereka mampu membersihkan sehingga 19 kilogram sendimen bagi setiap meter persegi (34 lb /sq yd) setiap tahun. Namun keupayaan ini juga berbeza-beza mengikut spesis dan kaedah pemakanan mereka.

Kagunaan Kepada Manusia

Oleh kerana jumlah mentimun laut yang banyak dan mudah didapati, manusia telah mempelajari kaedah untuk memanfaatkan sumber mentimun laut ini. Selain dijadikan sebagai salah satu sumber makanan, mentimun laut juga mempunyai potensi sebagai bahan perubatan dengan contoh yang paling dikenali ramai iaitu “minyak gamat”.


Jenis mulut pada mentimun laut.

Antara masakan daripada mentimun laut.

Kawasan penternakan mentimun laut di Madagascar.

Bagi tujuan komersial, mentimun laut juga adalah diternak selain daripada diperolehi dari sumber liar. Teknik penternakan mentimun laut ini adalah dipelopori oleh China dan Jepun sebelum dikembangkan ke India pada tahun 1988. Pembangunan teknologi penternakan mentimun laut terus berkembang ke negara-negara lain seperti Australia, Indonesia, New Celedonia, Maldives, Solomon Islands dan juga Vietnam. Teknik penternakan ini pada mulanya adalah untuk beberapa spesis tertentu sahaja dan ianya semakin bertambah kepada spesis-spesis yang lain.

Antara kaedah yang popular adalah penternakan di bawah jaring ternakan ikan atau udang dalam sangkar. Kehadiran mentimun laut di bawah sangkar ini dapat membantu membersihkan bahan buangan dari ikan atau udang yang diternak di atasnya. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan hasil keluaran mentimun laut, malah ini juga menyediakan keadaan yang lebih bersih dan mengurangkan kerosakan serta bau yang tidak menyenangkan di kawasan penternakan tersebut. Melalui kaedah ini sahaja, China mampu mengeluarkan sehingga 90,000 tan mentimun laut dengan pertumbuhan anak-anak mentimun laut dengan lebih pantas.

Walaupun mentimun laut diternak secara komersial, permintaan pasaran terhadapnya adalah amat tinggi dan menyebabkan harganya menjadi mahal. Ini menyebabkan masih ada di antara mentimun laut yang diperolehi dari sumber liar. Penangkapan dari sumber liar ini menyebabkan populasi mentimun laut menjadi semakin berkurangan. Keadaan ini juga menyebabkan persekitaran tempat tinggal asal mentimun laut diancam dengan kotoran sendimen yang menjadi makanan mereka.

Makanan Dan Ubatan

Sejak sekian lama, khasiat mentimun laut sebagai bahan ubatan telah lama digunakan masyarakat setempat di Malaysia. Gamat atau mentimun laut dari jenis ‘golden sea cucumber’ (Stichopus horrens) digunakan dalam penghasilan produk-produk berasaskan gamat. Memandangkan teknik penternakan gamat di Malaysia kurang berjaya, jumlah populasi gamat adalah semakin berkurangan setiap tahun.

Berbanding dengan negara-negara lain, mentimun laut ini lebih popular sebagai bahan makanan. Dikenali sebagai trepang (atau trīpang) di Indonesia ia digunakan untuk menyediakan sajian-sajian unik dengan pelbagai kaedah masakan. Antara nama lain bagi mentimun laut adalah bêche-de-mer di dalam bahasa Perancis, namako di dalam bahasa Jepun dan balatan di dalam bahasa Tagalog. Walaupun mentimun laut boleh didapati di pasaran, harganya mungkin agak tinggi kerana permintaannya yang tinggi pula. Kebanyakan mentimun laut adalah dijual di pasaran dalam bentuk kering.


Begitulah serba sedikit mengenai keunikan hidupan mentimun laut yang amat unik. Walaupun ia kelihatan kurang menarik bagi sesetengah orang, ia tetap mempunyai fungsi yang amat penting serta permintaan yang amat tinggi. Banyak lagi perkara yang perlu diketahui mengenai hidupan unik ini bagi membolehkan ianya terus dimanfaatkan tanpa mengganggu jumlahnya di habitat liar - kerana ia juga mempunyai fungsi yang amat penting kepada ekosistem.


Free Download




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog