Rabu, 28 Mei 2014

Keunikan Pusingan Hidupan Serangga Rama-rama

Rama-rama dewasa
Rama-rama merupakan serangga yang boleh terbang dan berwarna-warni

Rama-rama amat dikenali di dalam dunia serangga selain lebah. Apa yang berbeza hari ini nyamuk dan lalat adalah jauh lebih mudah dikenali berbanding rama-rama kerana suatu masa dahulu rama-rama mudah dilihat terbang di halaman dari sekuntum bunga ke bunga yang lain. Apa yang ingin saya kongsikan hari ini bukan sekadar kisah menarik rama-rama sahaja malah termasuk juga yang berkaitan serangga-serangga yang lain.

Rama-rama yang kita lihat beterbangan adalah berbeza sekali semasa waktu ia mula-mula lahir dari telurnya. Iaitu sebaik sahaja telurnya dihasilkan oleh ibu rama-rama dan ia akan ditinggalkan pada daun atau ranting pokok-pokok tersebut sehingga menetas. Apabila menetas keluarlah anak rama-rama yang dipanggil ulat beluncas (ulat bulu).

Walaupun terdapat serangga lain yang melalui kitaran hidup sama seperti rama-rama iaitu nyamuk dan lalat. Kesemua serangga ini mempunyai nama yang berbeza bagi setiap peringkat umurnya. Sekiranya anak rama-rama dipanggil beluncas, anak lalat dipanggil berengga dan anak nyamuk pula dikenali sebagai jentik-jentik. Kesemua anak-anak serangga ini kelihatan berbeza sekali daripada ibu/bapa mereka.

Ulat beluncas akan memakan daun dengan banyaknya bagi memastikan ia boleh membesar dengan pantas. Kulitnya yang lembut bagaikan belon yang semakin hari semakin membesar. Ia memakan makanan yang banyak bagi membantunya untuk proses yang selanjutnya iaitu bertukar menjadi dewasa. Namun sebelum ia mencapai tahap dewasa ulat beluncas perlu melalui satu peringkat yang menukarkan ia menjadi seekor rama-rama dewasa.


Kitar hidup rama-rama
Kitar hidup rama-rama dan beberapa serangga yang lain.

Peringkat ini dinamakan kepompong. Semasa berada di dalam kepompong badan beluncas akan bertukar kepada bentuk cecair dan perlahan-lahan membentuk rama-rama dewasa. Oleh sebab itu semasa proses pertukaran ini ia perlu diselaputi oleh lapisan kepompong yang kuat bagi mengelakkan gangguan yang boleh mengakibatkan ia mati.

Apabila masanya sampai rama-rama akan keluar daripada kepompong dengan keadaan sayap dan badannya masih lagi basah. Ia perlu mengeringkannya terlebih dahulu sebelum boleh memulakan penerbangan pertamanya.

Rama-rama akan terbang dari satu bunga ke bunga yang lain. Rama-rama tidak memerlukan makanan daripada madu ini untuk membesar lagi melainkan sebagai pembekal tenaga untuk membolehkan ia terus hidup dan membiak. Seekor rama-rama betina akan menghasilkan sekitar 50,000 biji telur sepanjang usianya!.. Apa. 50,000!.. Ya, ini kerana kebanyakan anak-anaknya mati disebabkan pelbagai faktor selain daripada menjadi makanan kegemaran burung.

Ulat sutera juga merupakan sejenis kupu-kupu (seakan rama-rama) yang menghasilkan kepompongnya daripada lilitan bebenang sutera. Maka di dalamnya ulat beluncas akan perlahan-lahan bertukar menjadi rama-rama. Seperti yang dinyatakan tadi, selain daripada rama-rama terdapat beberapa serangga lain yang mempunyai kitar hidup seperti ini iaitu lalat, nyamuk, kumbang dan angkut-angkut. Kitaran hidup seperti ini dipanggil ‘metamorphosis’ lengkap.


kepompong sutera
Kepompong sutera yang dihasilkan oleh beluncas sutera.

Manakala sekiranya diamati serangga-serangga lain mempunyai kitar hidup yang berbeza. Di mana diperingkat kecil lagi mereka sudah menyerupai induk mereka yang dewasa. Serangga seperti ini adalah lipas, semut, pepatung, belalang dan cengkerik. Mereka perlu melalui proses bersalin kulit beberapa kali sebelum bertukar menjadi dewasa menyerupai induknya.

Bukan serangga sahaja perlu menjalani proses bersalin kulit, malah hidupan lain seperti ketam, udang, ular dan reptilia lain juga menjalani proses bersalin kulit untuk membolehkannya membesar. Jadi anda perlulah lebih peka dengan proses kitaran hidup haiwan-haiwan ini bagi membolehkan anda mengenali mereka pada tahap kehidupan mereka yang berbeza.

Begitulah serba sedikit mengenai keunikan kitaran hidup hidupan-hidupan yang berada di sekeliling kita. Dalam masa yang sama kesemua haiwan ini saling bergantung di antara satu sama lain dalam mengimbangi keseluruhan ekosistem. Sekiranya salah satu daripadanya kurang maka, sudah tentu mereka perlu mencerobohi kawasan manusia sebagai usaha untuk terus hidup!

Sama-sama kita perhatikan. 

Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog