Golden Poison frog yang sangat beracun. |
Katak merupakan haiwan amfibia yang unik kerana sebahagian hidupnya tinggal
di dalam air dan sebahagian lagi di daratan. Bagi yang pernah melihat haiwan
ini secara dekat mungkin tidak menyangka di bahagian dunia yang lain
terutamanya Amerika Selatan terdapat kumpulan katak-katak yang sangat berbisa
dan boleh mengakibatkan maut.
‘Poison dart frog’ itulah gelaran yang diberikan kepada kumpulan
katak-katak ini kerana ia digunakan pada jarum sumpitan dan panah puak-puak asli
di Amerika Selatan yang digunakan untuk tujuan berburu. Terdapat pelbagai jenis
katak berbisa yang menghuni di kawasan hutan Amazon yang luas kebanyakannya
sangat cantik kerana ia berwarna-warni dan terang. Mungkin satu perkara yang
perlu diketahui tentang alam ialah – warna terang seperti merah dan jingga
menunjukkan tanda amaran atau beracun.
Cantik tetapi beracun. |
Terdapat lebih daripada 175 species katak-katak yang mendapat gelaran ini.
Namun begitu hanya 4 daripadanya yang diketahui digunakan sebagai racun pada
jarum sumpitan dan anak panah. Ini bukan bermakna yang lainnya tidak beracun,
tetapi keempat-empat spesis tersebut merupakan antara yang mempunyai racun yang
kuat (atau yang mudah digunakan untuk tujuan tersebut).
Tidak seperti ular atau kala jengking yang menggunakan bisanya untuk tujuan
memburu mangsa, katak-katak ini menggunakan racunnya hanyalah untuk tujuan
pertahanan/perlindungan daripada gangguan sahaja. Namun begitu sebahagian
spesis katak-katak ini mempunyai racun yang amat kuat sehinggakan ajing atau
ayam boleh mati hanya bersetuhan dengan tuala kertas yang dilalui oleh katak
ini (Golden Poison frog).
Strawberry dart frog, kecil namun tetap beracun. |
Warna merah terang adalah amaran bahawa ianya beracun. |
Spesis katak beracun - Ronitomeya amazonica. |
Antara nama yang diberikan adalah 'Bumble bee dart frog'. |
Apa yang istimewa mengenai racun katak-katak ini adalah ia berpunca
daripada sumber makanannya. Secara tidak langsung tanpa sumber makanan tersebut
katak ini tidak mempunyai racun tersebut pada tubuhnya. Tapi, bagaimana kita
akan mengetahui katak ini beracun ataupun tidak? Adalah lebih baik untuk tidak
mengganggunya.
Saintis cuba menggunakan bahan kimia yang terdapat pada kulit katak-katak
ini untuk tujuan perubatan. Antara kegunaan yang digunakan adalah sebagai penahan
sakit, malah ianya adalah 200 kali lebih kuat berbanding ‘morphine’ yang
dipanggil ‘epibatidine’. Bagaimanapun kajian lanjut perlu dijalankan bagi
memastikan ubat tersebut selamat digunakan ke atas manusia.
Menarik bukan kisah mengenai katak-katak berbisa ini. Namun begitu tanpa
mengenalinya anda mungkin menjadi mangsa racunnya yang boleh membawa maut. Walaubagaimanapun
ia tetap berguna kepada manusia dengan
pelbagai cara. Jadi sama-samalah kita mempelajari dan memanfaatkan sumber alam
yang terdapat di sekeliling kita. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan